Kebelakangan ini banyak dugaan dan cabaran yang terpaksa dihadapi
negara. Ia sekali gus menguji kepintaran pemimpin negara menangani
pelbagai rintangan yang melibatkan isu-isu besar dari dalam dan luar
negara yang tidak pernah dijangka akan menggusarkan banyak pihak.
2. Hari ini cabaran yang terpaksa dipikul Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak amat besar dan ianya diatasi dengan penuh berhati-hati
agar hasil yang bakal diperolehi kelak tidak merugikan semua pihak.
3. Musibah kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH 17 yang
ditembak jatuh di Ukraine pasti merupakan dugaan besar bukan saja kepada
Perdana Menteri bahkan ia turut dirasai sendiri oleh rakyat Malaysia
keseluruhannya. Misteri kehilangan pesawat MH 370 juga sehingga kini
tidak bertemu jawapannya sudah pasti membuatkan Perdana Menteri sendiri
mencari pelbagai inisiatif bantuan seluruh dunia agar ianya ditemui.
4. Tak dinafikan cabaran Perdana Menteri ke enam ini jauh lebih
mencabar dengan pelbagai bentuk dugaan yang tidak terduga ditambah lagi
dengan kemodenan komunikasi yang sukar dibendung dalam kepelbagaian
bentuk penyebaran berita dan fitnah yang boleh mematikan semangat
pemimpin ini meneruskan perjuangannya memartabatkan kepentingan agama,
bangsa dan negara.
5. Melihat akan kepentingan rakyat terutama ahli UMNO, banyak
pembaharuan yang telah dijanakan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.
Antaranya adalah memberi kuasa kepada lebih 3 juta ahli UMNO menentukan
kepimpinan parti yang terbaik untuk diketengahkan dan secara tidak
langsung telah memberi satu nilai tambah kepercayaan dan keyakinan orang
ramai terhadap UMNO terutamanya.
6. Ini adalah salah satu pembaharuan dalaman parti yang dibawa
oleh Presiden UMNO dengan harapan UMNO lebih bersifat menyentuh nadi
hati sanubari ahli. Bukan seperti sebelum ini, di mana hanya kuasa
memilih diberikan kepada 2,500 Perwakilan dan terlalu banyak cerita
politik wang yang dibangkitkan. Tindakan ke arah membersihkan persepsi
bukanlah satu perkara yang dapat diselesaikan dengan cepat.
7. Rakyat dapat menilai Perdana Menteri bertungkus lumus
‘membaiki’ kesilapan lalu yang menyebabkan orang Melayu cuba menjauhi
parti Melayu ini terutamanya. Kesilapan lalu bukan terjadi dengan
sendirinya tetapi terjadi akibat daripada kerja-kerja tidak
bertanggungjawab orang kita sendiri yang lupa akan kepentingan rakyat.
Walaupun ianya tampak sukar dilaksanakan tetapi tidak mustahil jika
ditangani secara perlahan-lahan akan membuahkan hasil yang baik.
8. Pembangunan dan perkembangan ekonomi negara membangun pesat
saban tahun dan ia pastinya membanggakan rakyat Malaysia. Tetapi
kepentingan rakyat yang tersepit di antara peningkatan kos sara hidup
dan tempat tinggal telah menyebabkan pelbagai kepincangan tak terduga
boleh berlaku. Mengambil kira keutamaan kepada rakyat, hari ini pelbagai
bentuk dana dan bantuan kerajaan terus kepada golongan sasaran.
Ditambah dengan rancangan projek perumahan mampu milik antaranya PR1MA,
PPRT dan pelbagai lagi dibangunkan secara seimbang di dalam Kuala Lumpur
dan bandar-bandar lain seluruh negara.
9. Sekiranya mahu diceritakan di sini, terlalu banyak perkara
sudah diperbaiki oleh YAB Presiden UMNO. Ada di antara rancangan
kerajaan hari ini pasti tidak menampakkan hasil dalam tempoh terdekat
tetapi mungkin mengambil tempoh jangkamasa 10 tahun akan
datang.
- AGENDADAILY - 20/8/2014
- MOHD RAZLAN BIN MUHAMMAD RAFII
No comments:
Post a Comment