Penduduk sekitar Bukit Belimbing dekat sini gempar selepas dua nelayan menemui bangkai buaya besar yang tersangkut di tepi sungai ketika mahu memancing udang di Jeti Jalan Tok Empat Masjid, Kampung Bukit Belimbing kira-kira lewat malam kelmarin.
Nelayan, Zaidi Jaafar, 23, berkata, dia tidak menyangka suluhan lampu
rakannya ketika menyusuri Sungai Selangor untuk memancing udang tertumpu
pada objek besar yang disangka kayu yang tersangkut pada dahan kayu di
tebing sungai.
“Kami mula menjarakkan sampan dan meneliti dari jauh. Namun, beberapa
minit kemudian kami memberanikan diri untuk melihat lebih dekat kerana
buaya itu tidak bergerak. Saya cuba menguis menggunakan pendayung dan
dapati buaya itu sudah tidak bergerak.
“Selepas sah buaya itu sudah mati, kami terus mendekati untuk melihat
keadaan fizikal buaya itu yang mungkin cedera di mana-mana yang
mengakibatkan kematian, namun hanya didapati gigi dan kuku sudah tiada,”
katanya ketika ditemui petang semalam.
Rakannya, Rosnizam Moktar, 30, berkata, penemuan itu menjadi satu
pengalaman yang tidak dapat dilupakan seumur hidupnya sepanjang tempoh
10 tahun menjadi nelayan sungai di kawasan itu kerana berdepan dengan
buaya jenis muara tembaga yang cukup besar.
“Namun ramai rakan lain pernah cakap mereka pernah terserempak dengan
buaya jenis itu dengan saiz lebih besar namun reptilia itu tidak pernah
mengganggu atau mengganas terhadap nelayan yang mencari makan di
sepanjang Sungai Selangor yang kaya dengan udang dan pelbagai jenis
ikan.
“Saya pun pernah terserempak dengan buaya ketika memancing di kawasan
sungai ini tapi tidak pernah haiwan itu mengganggu nelayan atau kaki
pancing yang sering mengunjungi Sungai Selangor untuk memancing udang
yang terkenal dengan saiz yang agak besar,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Selangor Rahim Ahmad menjelaskan,
pihaknya segera ke lokasi kejadian sebaik dimaklumkan dengan penemuan
itu dan mengangkut bangkai buaya terbabit ke Pusat Konservasi Hidupan
Liar Sungai Dusun untuk bedah siasat.
“Kita tidak boleh memberi sebarang komen buat masa ini berhubung punca
kematian, usia, jenis jantina dan saiz sebenar kerana menunggu keputusan
bedah siasat nanti dan penemuan ini adalah yang pertama dilaporkan
kepada Perhilitan di negeri ini,” katanya.
“Sebelum ini kita tidak pernah menerima laporan penemuan buaya dengan
saiz yang agak besar bagaimanapun sehingga kini kita juga tidak pernah
menerima aduan berhubung keganasan buaya di sepanjang sungai ini yang
mengakibatkan kematian,” katanya. - Metro
No comments:
Post a Comment