PERMATANG PAUH 11 April - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat
(PKR), Azmin Ali berkata, parti itu harus keluar daripada terus
dibayangi Penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang akan bertanding mempertahan jawatannya bulan hadapan
menegaskan, perkara itu perlu dilakukan demi survival parti berkenaan
dalam landskap politik semasa.
Menurutnya, PKR yang ditubuhkan lebih 15 tahun lalu perlu bergerak ke hadapan untuk menghadapi keadaan yang semakin mencabar.
PKR bukan parti Anwar dan tidak boleh terus dibayangi oleh beliau.
Oleh itu, ahli- ahli mesti bergerak melebihi beliau dan untuk mencapai
hasrat berkenaan, kita perlu menonjolkan lebih ramai pemimpin muda dan
profesional demi parti," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan ahli PKR negeri di sini hari ini.
Azmin berkata, bagi tujuan kesinambungan kepimpinan parti, lebih
ramai tokoh muda dan profesional harus ditonjolkan untuk memastikan PKR
terus dominan termasuk dalam aspek kerjasama bersama Pas dan DAP.
Bagaimanapun, buat masa ini kita masih perlukan kepimpinan beliau (Anwar)," katanya.
Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak pada masa sama turut mengingatkan ahli supaya memikirkan masa depan parti sebelum mengundi.
Saya ingin tegaskan, bukanlah sesuatu perkara mudah berada dalam PKR pada hari ini kerana cabarannya terlalu besar," katanya.
Ditanya mengapa tidak membuat keputusan untuk bertanding merebut
jawatan Presiden selepas 15 tahun membuktikan kesetiaan bersama parti,
Azmin memberitahu, perkara itu sukar untuk dijelaskan.
Mengapa anda bertanya soalan sukar tetapi saya akui selesa bekerja
bersama Anwar dan Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail," katanya.
Bagaimanapun ketika ditanya adakah beliau tidak selesa bekerja
bersama Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Azmin
meminta media supaya tidak memaksanya mengeluarkan kenyataan tentang
perkara tersebut.
Dalam masa sama, beliau mengakui pernah mengkritik Abdul Khalid demi
kepentingan rakyat terutama dalam isu kenaikan gaji dan elaun Ahli Dewan
Undangan Negeri Selangor.
Sementara itu, Azmin menjelaskan beliau tidak gentar dengan pakatan
yang dibentuk oleh Nurul Izzah Anwar, Datuk Saifudin Nasution dan Rafizi
Ramli dalam pemilihan PKR kali ini.
Saya serahkan kepada ahli untuk membuat pilihan tetapi saya tidak
percaya terhadap konsep membentuk gabungan menjelang pemilihan parti,"
katanya.
No comments:
Post a Comment