PETALING JAYA: Tiada kenaikan tambang bas ekspres
menjelang Aidilfitri ini, sebaliknya ketetapan mengenai kadar baharu
akan diputuskan selepas sambutan perayaan itu.
Perkara itu disahkan Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas SeMalaysia (PMBOA) kepada mStar Online.
Sehubungan itu, Presidennya, Datuk Mohamad Asfar Ali meminta pengusaha
bas menjual tiket bas ekspres mengikut kadar ditetapkan Suruhanjaya
Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sebelum ini.
"Semua pengusaha bas boleh menjual tiket sempena Aidilfitri mulai
sekarang mengikut harga tambang sedia ada," katanya ketika dihubungi
mStar Online pada Khamis.
Mohamad Asfar berkata, beliau dimaklumkan bahawa kerajaan hanya akan
menetapkan kadar tambang baharu bagi bas ekspres selepas sambutan
Aidilfitri.
Katanya, PMBOA bersetuju dengan komitmen kerajaan itu kerana tidak mahu penumpang terbeban dengan tambang baharu itu.
"Kita juga tidak mahu merosakkan 'mood' mereka yang ingin balik ke
kampung halaman untuk meraikan hari raya bersama keluarga
masing-masing," katanya.
Pada masa sama, beliau berharap kerajaan menunaikan janji untuk
menaikkan kadar tambang seperti diusulkan PMBOA kepada SPAD pada Jun
tahun lalu.
"Sebagaimana kita bersetuju dengan hasrat murni itu, kita harap kerajaan
juga akan tunaikan janji untuk menaikkan kadar tambang seperti yang
diminta," katanya.
Pada Jun tahun lalu, PMBOA mengusulkan cadangan kepada SPAD untuk
menaikkan tambang bas ekspres sebanyak 30 peratus kerana berlaku
peningkatan terhadap kos operasi.
Katanya, kenaikan itu perlu dilaksanakan kerana kali terakhir harga tiket disemak semula adalah pada 2008.
Mohamad Asfar berkata, peningkatan harga alat ganti yang bukan barang
kawalan dan minyak pelincir iaitu bahan wajib bagi setiap bas juga
menaikkan kos pengusaha bas.
No comments:
Post a Comment