Home »
» RUMAH MAMPU MILIK MASIH TAK MENCUKUPI ! KENAPA ???
Kuala Lumpur – Pemuda UMNO Wilayah
Persekutuan menyarankan kerajaan untuk menghentikan penjualan tanah
kepada pemaju tetapi sebaliknya menyediakan tanah untuk dibangunkan
dengan perumahan awam dan rumah mampu milik.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohd Razlan
Muhammad Rafii berkata Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Syarikat
Perumahan Nasional Berhad (SPNB), syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC)
seperti FELDA atau mana-mana Yayasan juga perlu wujudkan skim sewa beli
kepada golongan sasar yang mana gagal mendapatkan pinjaman darpada
institusi perbankan.
“Sebagai contoh, Yayasan Wilayah Persekutuan yang membantu memberikan
pinjaman kepada penduduk yang berkeinginan membeli rumah Program
Perumahan Rakyat (PPR) yang diduduki tetapi mempunyai masalah kewangan,”
katanya di dalam satu kenyataan media.
Saranan-saranan ini telah dikemukakan oleh pihak Pemuda Umno di dalam
satu memorandum usul Bajet 2015, kepada Timbalan Menteri Kewangan Datuk
Ahmad Maslan semalam.
Mohd Razlan berkata kaji selidik yang dilakukan dalam laman sosial,
Facebook mendapati antara sebab anak muda gagal memiliki rumah adalah
sukar untuk mendapat pembiayaan perumahan daripada bank disebabkan
faktor gaji kerana harga jualan rumah paling rendah sekitar RM300,000 ke
atas.
“Jika dilihat pada tangga gaji lepasan Diploma bermula sekitar
RM1,300 sehingga RM2,000 dan lepasan Ijazah pula RM1,900 sehingga
RM3,000 sebulan, sudah tentu tidak memungkinkan seseorang itu
merealisasikan hasrat memiliki rumah sendiri.
“Walaupun tidak dinafikan Kerajaan telah menyediakan pelbagai bentuk
insentif seperti projek PR1MA, namun ia tetap gagal dimiliki oleh
golongan sasar kerana terdapat syarat-syarat yang terlalu ketat
dikenakan oleh pihak bank untuk memberi pinjaman.
“Mungkin sudah tiba masanya pihak bank melonggarkan sedikit syarat
atau memberi skim pinjaman istimewa untuk golongan memerlukan bantuan
membuat pembelian rumah pertama,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, mengambil kira faktor keperluan rumah mampu milik
hari ini, mungkin kerajaan boleh memikirkan satu projek perumahan yang
dinamakan sebagai Bandar Belia sebagai perintis bagi memacu demografi
Malaysia.
No comments:
Post a Comment