KOTA BHARU, 29 Jan (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM) sudah menerima senarai nama calon yang dikemukakan Barisan
Nasional (BN) untuk tujuan saringan awal menjelang Pilihan Raya Umum
Ke-14 (PRU14).
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki berkata
senarai calon BN itu hanya membabitkan beberapa individu tertentu
sahaja dan bukannya senarai lengkap.
"Setakat ini, kita hanya menerima beberapa senarai nama yang dikemukakan oleh pihak kerajaan...ia tidaklah lengkap lagi.
"Kita akan buat proses penyaringan terhadap nama-nama yang telah
dihantar," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke
SPRM Kelantan yang turut dihadiri pengarahnya, Datuk Moh Samsudin Yusoff
di sini, hari ini.
Beliau juga memberitahu pihaknya belum menerima senarai calon daripada parti-parti lain untuk saringan.
Mengulas lanjut, Azam berkata mana-mana parti tidak perlu bimbang
untuk menyerahkan senarai calon mereka untuk disaring SPRM kerana agensi
itu tidak membocorkan maklumat kepada mana-mana pihak.
"SPRM tidak pernah membocorkan rahsia kepada mana-mana pihak kerana ia
membabitkan etika dan amanah yang diberikan kepada kami.
"Kami dengan tangan terbuka sedia untuk membantu mana-mana parti
politik (untuk melakukan saringan kepada calon mereka)," katanya.
Dalam perkembangan lain, Azam berkata beliau telah mengarahkan SPRM
Perak untuk memulakan siasatan berhubung projek pembinaan dewan Sekolah
Menengah Kebangsaan (SMK) Hutan Melintang yang didakwa kurang memuaskan.
"Saya telah mengarahkan Pengarah SPRM Perak untuk segera memulakan
siasatan hari ini dengan mendapatkan dokumen-dokumen lengkap daripada
pihak tertentu yang terlibat dalam projek ini.
"Biasanya kes-kes begini melibatkan dokumen, jadi kita perlu meneliti
dokumen-dokumen tertentu dahulu. Dalam masa yang sama, kita melihat
kepada sudut rasuah ataupun salah guna kuasa dan keputusannya mungkin
dapat dilihat dalam tempoh dua atau tiga minggu daripada sekarang,"
katanya.
Sabtu lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,
ketika merasmikan dewan sekolah berkenaan, menyuarakan rasa tidak puas
hatinya dengan projek itu yang didakwanya tidak menepati standard yang
dikehendaki.
Pembinaan dewan berharga RM600,000 itu dibina menerusi peruntukan yang disalurkan oleh Jabatan Perdana Menteri.
Ditanya mengenai perkembangan terbaharu berhubung siasatan terhadap
pembinaan terowong dasar laut di Pulau Pinang, Azam berkata sebanyak 10
saksi baharu telah dipanggil untuk memberi keterangan.
"Kita masih lagi meneliti aspek-aspek teknikal berhubung perkara ini. Setakat ini, belum ada tangkapan dilakukan," katanya.
Mengenai Ikrar Bebas Rasuah (IBR) oleh kerajaan Selangor pula, beliau
berkata setakat ini, kerajaan negeri berkenaan masih belum
melaksanakannya.
"IBR adalah secara sukarela dan kami tidak beri tempoh khusus kepada
mana-mana pihak. Terpulang kepada mereka, jika mahu buat IBR, kami sedia
untuk memberi kerjasama bagi menjayakannya," katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment