SHAH ALAM: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak akan dapat
meletakkan calon di semua 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang
dimiliki Barisan Nasional (BN) di Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-14
(PRU14).
Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH)
Selangor, Dr Xavier Jayakumar, berkata ketika ini, PH lebih memberi
tumpuan kepada faktor kemenangan berbanding pengagihan kerusi mengikut
parti.
Katanya, parti komponen PH boleh membuat permohonan
meletakkan calon masing-masing di kerusi pilihan mereka, namun PH akan
mengambil kira faktor kemenangan dalam menetapkan pengagihan kerusi itu.
"Menerusi
perbincangan itu, PH akan mengekalkan kerusi yang dimenangi oleh parti
komponen sebelum ini (status quo) dan hanya 25 kerusi akan kita bincang
parti mana yang akan meletakkan calon.
"Semua 25 kerusi itu
membabitkan kerusi yang kini disandang PAS dan BN," katanya ketika
ditemui selepas menyerahkan bantahan Syor Kedua Kajian Persempadanan
Semula Selangor di Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya negeri di sini, hari
ini.
Bagaimanapun, Dr Xavier mengakui berlaku pertindihan
kerusi ketika mesyuarat pengagihan kerusi yang berlangsung minggu lalu
tetapi semua itu dapat diselesaikan hasil perbincangan bersama.
"Apa
guna kita letakkan calon masing-masing tetapi tidak boleh menang. Kita
berpegang kuat kepada apa yang dikatakan Pengerusi PH, (Tun Dr Mahathir
Mohamad) iaitu letak calon yang boleh menang.
"Kita jangkakan pengagihan kerusi ini akan dapat diselesaikan hujung bulan ini," katanya.
Khamis
lalu, Ketua Penerangan PPBM negeri, Sallehuddin Amiruddin berkata, PPBM
akan mempertahankan permohonan 12 kerusi milik BN untuk diletakkan
calon mereka walaupun PKR turut berhasrat meletakan calon di semua
kerusi terbabit.
Ketika ini, PKR menyandang 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), DAP (13), PAS (13), BN (12) dan Parti Amanah Negara (2). Dua DUN lagi adalah Bebas iaitu DUN Pelabuhan Klang dan Telok Datuk.
No comments:
Post a Comment