KUALA LUMPUR: Kerajaan tiada rancangan untuk menurunkan harga petroleum sehingga ke paras RM1.50 seliter, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah.
Beliau berkata, kerajaan tiada rancangan sedemikian kecuali jika harga minyak mentah dunia turun ke paras itu.
Malahan,
katanya manifesto Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Umum lepas tidak
menyenaraikan perkara itu sebagaimana yang didakwa segelintir pihak.
"Saya
mencari di mana RM1.50 (disebut) dalam buku Pakatan Harapan, tetapi
tidak ada. Tidak tahulah jika ada pihak yang dalam keghairahan berkempen
menjanjikan perkara itu," katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan
Negara hari ini.
Beliau
menjawab pertanyaan Senator Datuk Ng Chiang Chin mengenai jumlah
subsidi minyak yang dibelanjakan dan rancangan kerajaan untuk menurunkan
harga minyak ke RM1.50 yang dikatakan dalam manifesto Pakatan Harapan.
Amiruddin
berkata, jumlah subsidi petrol bagi RON95 dan diesel yang ditanggung
kerajaan bagi tempoh Mei hingga Julai lalu adalah sebanyak RM1.667
bilion.
Katanya,
pada masa ini kerajaan masih mengekalkan harga runcit petrol RON95 dan
diesel masing-masing pada paras RM2.20 dan RM2.18 seliter walaupun harga
sebenar pasaran adalah lebih tinggi daripada harga yang dikekalkan.
Beliau
berkata, mekanisme terperinci mengenai pelaksanaan sistem subsidi
petroleum secara bersasar sedang dikaji dan akan diumumkan setelah ia
dimuktamadkan.
Menerusi
sistem subsidi bersasar itu, subsidi petrol diberikan pada kadar yang
sesuai setiap bulan dan mengikut satu kuota yang ditetapkan kepada
golongan kumpulan berpendapatan isi rumah 40 peratus terendah (B40).
"Subsidi
ini diberi kepada golongan yang layak untuk kegunaan motosikal 125cc ke
bawah dan kereta 1300cc ke bawah," jelasnya.-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment