PEMANGKU Raja Pahang, Tengku Abdullah
Sultan Ahmad Shah hanya boleh ditabalkan sebagai Sultan Pahang sekiranya
ayahandanya, Sultan Ahmad Shah turun takhta dengan reda hati sendiri.
Berdasarkan
kepada Perkara 9 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang, Raja Pemerintah
iaitu Sultan Ahmad Shah boleh turun takhta dan melepaskan hak serta
kuasa diraja jika baginda ingin berbuat demikian dengan reda hati
sendiri dan perlu menandatangani Surat Perintah.
“Jika
pada masa turun dari takhta, Raja Pemerintah itu bersemayam dalam
negeri ini (Pahang), maka perintah mengesahkan turun dari takhta
hendaklah dijalankan dengan suatu Surat Perintah ditandatangani baginda
dan diletak cop Mohor Negeri.
“Surat
Perintah berkenaan hendaklah disaksikan Menteri Besar dan Setiausaha
Kerajaan yang kedua-duanya hendaklah hadir bersama-sama pada masa Raja
Pemerintah menurunkan tandatangan pada Surat Perintah itu,” mengikut
kandungan tertulis dalam dokumen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang.
Ia
turut menerangkan sekiranya Raja Pemerintah atau Sultan Ahmad Shah
tidak bersemayam dalam negeri ketika turun takhta, perintah mengesahkan
turun takhta itu hendaklah dibuat dengan Surat Perintah dengan diletak
cop Mohor Negeri ditandatangani Menteri Besar Pahang dan Setiausaha
Kerajaan Pahang.
“Selepas selesai
disempurnakan Surat Perintah turun takhta, maka Raja Pemerintah
hendaklah disifatkan bukan lagi Raja Pemerintah dan menarik diri
daripada hak-hak dan tuntutannya ke atas negeri.
“Surat
Perintah turun takhta itu hendaklah diisytiharkan dalam Warta Kerajaan
dan dihebahkan kepada penduduk-penduduk negeri dengan seberapa segera,”
mengikut dokumen berkenaan.
Portal,
twentytwo13.my hari ini dipetik sebagai berkata, kemungkinan Tengku
Abdullah bakal ditabalkan sebagai Sultan Pahang bagi membolehkannya
menjadi Yang di-Pertuan Agong.
Memetik
sumber dekat Istana Pahang, portal itu melaporkan ada perbincangan bagi
tujuan itu dan sekiranya berjalan lancar Tengku Abdullah akan ditabalkan
sebagai Sultan Pahang yang baharu menggantikan ayahandanya dalam masa
terdekat.
“Ia berkaitan masalah
kesihatan... untuk menjadikannya, baginda perlu ditabal sebagai Sultan
(Pahang) oleh ayahandanya (Sultan Ahmad Shah) untuk mengambil alih dan
pertabalan harus diadakan secepat mungkin,” kata sumber itu kepada
portal berkenaan.
Tengku Abdullah
dilantik sebagai Pemangku Raja Pahang selepas mendapat perkenan Sultan
Ahmad Shah yang diisytiharkan dalam surat rasmi kerajaan negeri
bertarikh 28 Disember 2016.
Sementara
itu, sumber rapat dengan Tengku Abdullah dan Pejabat Sultan Pahang di
Pekan ketika dihubungi enggan mengulas mengenai perkara itu.
Difahamkan,
Tengku Abdullah dijangka kembali ke tanah air Jumaat ini dan kini
berada di London untuk menghantar anakandanya, Tengku Panglima Besar
Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Tengku Abdullah melanjutkan
pengajian ke Akademi Tentera Diraja Sandhurst.
Mengikut
tradisi giliran, jawatan Yang di-Pertuan Agong selepas Kelantan adalah
Pahang diikuti Johor dan Perak, namun keputusan pemilihannya akan dibuat
oleh Majlis Raja-Raja.
Bagaimanapun
Sultan Ahmad Shah dikatakan sedang gering dan Tengku Abdullah boleh
ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong XVI sekiranya baginda dilantik
sebagai Sultan Pahang.
Majlis Raja-Raja
akan mengadakan mesyuarat khas di Istana Negara pada 24 Januari ini
untuk memilih Yang di-Pertuan Agong XVI dan Timbalan Yang di-Pertuan
Agong.
Majlis Raja-Raja juga akan
mengadakan mesyuarat khas bagi acara Mengangkat Sumpah Jawatan Yang
di-Pertuan Agong XVI dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong pada 31 Januari
ini.
Ahad lalu, Sultan Muhammad V
meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong XV yang dibuat selaras
Perkara 32 (3) Perlembagaan Persekutuan.
No comments:
Post a Comment