Mana bukti tamat perkhidmatan Eric Liew?: Pemuda Umno Selangor



KUALA LUMPUR - Tempoh 24 jam diberikan kepada Cisco Systems Malaysia
(Cisco) Sdn Bhd bagi membuktikan kenyataan berhubung status penamatan
perkhidmatan kakitangan mereka, Eric Liew yang terbabit dengan isu
menghina Sultan Muhammad V di media sosial.

Naib Ketua Pemuda Umno Selangor, Amin Mohd Shukor, berkata, kenyataan
dibuat Cisco mengenai perkara itu terlalu umum tanpa perincian tindakan
yang dibuat oleh syarikat terhadap isu berkenaan.

Menurutnya, Cisco sepatutnya mengambil pendekatan sama seperti yang
dibuat oleh Honda Malaysia yang cukup responsif dan tegas.

“Walaupun Cisco menyatakan status Eric Liew yang kini sudah tidak lagi
bekerja di situ, mereka perlu membuktikan dengan mendedahkan surat
pemecatan atau peletakan jawatan.

“Ini bukan main-main tetapi libatkan perkara menghormati insititusi Di
Raja, kesejahteraan dan rukun negara,”katanya selepas menghantar
memorandum desakan bukti kepada Cisco di Menara 1 Sentral, di sini, hari
ini.

Katanya, Cisco perlu mencontohi Honda Malaysia yang dengan jelas
memaklumkan melakukan siasatan dalaman dan disusuli dengan tindakan
memecat kakitangan mereka yang terlibat dengan isu menghina kematian
Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Tambah Amin, ia adalah desakan kedua yang dibuat terhadap Cisco agar ia
menjadi pengajaran kepada semua rakyat Malaysia.

“Pemuda Selangor akan melakukan tindakan susulan ‘element of surprise’
sekiranya Cisco gagal memberi bukti tersebut dalam tempoh 24 jam.

“Bukan nak tunjuk Pemuda Umno ini samseng... tidak. Kita nak didik
masyarakat, nak tunjuk kita hormati perlembagaan negara dan akan ikut
lunas undang-undang.

Pemuda Umno Selangor berkumpul bagi menyerahkan memorandum desakan bukti
kepada Cisco
Pemuda Umno Selangor berkumpul bagi menyerahkan memorandum desakan bukti
kepada Cisco

“Ini bukan tentang perkauman, bukan sebab Eric Liew Cina sebaliknya atas
dasar kenegaraan. Sebelum ini juga ada suri rumah Melayu yang kena
penjara sebab hina Agong,” katanya.

Dalam masa sama, Amin turut menggesa tindakan tegas dari pihak berkuasa
terhadap Eric Liew apabila laporan polis turut dibuat pihaknya.

“Sebagai rakyat Malaysia yang menjunjung Perlembagaan Persekutuan dan
prinsip rukun negara, tindakan Eric Liew adalah cukup biadap, kurang
ajar dan tidak menjaga sensitiviti rakyat Malaysia serta tidak
menghormati Institusi Raja.

“Komen yang berunsur penghinaan secara terbuka di halaman Facebooknya
adalah berniat jahat dan jelas melanggar undang-undang sedia ada,” katanya.

Terdahulu Pengarah Urusan Cisco Malaysia Albert Chai, menerima
memorandum desakan bukti yang diserahkan Amin di lobi Menara 1 Sentral
di sini.

Nama Eric Liew menjadi tular di media sosial susulan tindakannya
menghina peletakan jawatan Yang Dipertuan Agong Ahad lepas, di Facebook.

Perkara itu menimbulkan rasa kurang senang netizen dan bertindak
memanjangkannya kepada majikan Eric Liew dan mendesak supaya tindakan
diambil.

Cisco menerusi kenyataan ditandatangani Pengarah Urusannya, Albert Chai,
dalam satu kenyataan rasmi hari ini memaklumkan pekerja mereka itu sudah
tidak lagi bersama syarikat berkenaan.

Dalam kenyataan itu tidak dinyatakan nama Eric Liew namun Cisco turut
menyatakan rasa kesal dan menyifatkan tindakan biadab itu adalah atas
kapasiti individu

- SINAR HARIAN -
Share:

No comments:

Post a Comment


Popular Posts

Recent Posts

Powered by Blogger.

Categories

Blog Menarik