Berikut adalah wawancara Menteri Belia Dan Sukan, Khairy Jamaluddin bersama Berita Harian mengenai pemilihan UMNO dan perancangan beliau untuk Pemuda UMNO bagi penggal akan datang.
Pertandingan bagi merebut jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO pada pemilihan 12 Oktober ini juga menarik perhatian ramai kerana penyertaan begitu ramai calon. Selain Khairy Jamaluddin, yang akan mempertahankan jawatan, ada empat lagi mendaftar sebagai calon, Sabtu minggu lalu. Mereka terdiri daripada Akramsyah Muammar Ubaidah Sanusi, Syed Rosli Syed Harman, Abd Karim Ali dan Irwan Ambak Khalid Izhar. Bagi Khairy, soal sesiapa juga yang bertanding tidak mendatangkan masalah kepadanya, lagipun beliau antara pemimpin yang menyokong pindaan Perlembagaan UMNO yang membolehkan ahli bertanding atas semangat keterbukaan dalam parti.
Dalam temubual baru-baru ini, Khairy membuat perbandingan mengenai zaman beliau bertanding ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Presiden UMNO dan secara bersendirian sekarang. Ikuti temubual wartawan BH, Razak Rashid Ghows dengan beliau.
Wartawan: Kenapa saudara menawarkan diri untuk mempertahankan jawatan Ketua Pemuda dan tidak bertanding jawatan lebih tinggi?
Khairy: Saya melihat kerja saya dalam Pemuda UMNO masih lagi belum selesai. Saya sudah meletakkan fasa pertama ketika menjadi Ketua Pemuda di mana kita beri tumpuan kepada langkah menstrukturkan semula Pemuda UMNO. Tujuannya bagi menjadikan Pemuda badan yang fokus kepada masalah orang muda dan penyelesaian seperti isu pekerjaan, pendidikan, perumahan, iaitu lebih berorientasikan isu berbanding dulu. Sebelum ini ia lebih retorik politik, sekarang lebih kepada penyelesaian. Fasa kedua bagi memastikan perubahan ini dapat diinstitusikan melalui program pendidikan politik baru di mana kita mahu lahir ramai lagi pelapis yang mempunyai pandangan moden dalam politik di mana perjuangan untuk agama, bangsa dan tanah air tetap menjadi teras kita. Ahli politik dan pemimpin politik muda yang memahami cabaran yang dibawa politik baru, soal isu tadbir urus yang baik, hak asasi manusia, hubungan kaum dan sebagainya supaya kita dapat kembalikan sokongan orang muda kepada Barisan Nasional (BN) dalam kalangan seluruh rakyat Malaysia.
S: Apakah itu bermakna saudara tidak berpuas hati dengan pencapaian Pemuda UMNO sejak mengambil alih jawatan itu pada 2009?
J: Saya puas hati dengan pencapaian setakat ini, cuma kita kena melanjutkan prestasi kita. Kita kena pastikan apa yang kita dapat buat selama ini dapat ditanamkan ke akar umbi. Ada pelbagai cabaran untuk kita gerakkan Pemuda dari segi pentadbiran, dari segi semangat ahli. Kita kena beri tumpuan lebih kepada soal kepemimpinan. Bila kepemimpinan pada peringkat bahagian itu kuat dan punyai idealisme tinggi, kita dapat lahirkan lebih ramai pemimpin berkaliber peringkat bahagian dan kita dapat meningkatkan prestasi keseluruhan. Saya menawarkan diri untuk mempertahankan jawatan sebab penggal pertama, saya tidak ada jawatan dalam kerajaan. Penggal kedua sudah dapat amanah menjaga Kementerian Belia dan Sukan. Saya nampak kita boleh bawa agenda ini bersama di mana saya jaga belia negara dan juga Pemuda dalam UMNO itu sendiri. Kekuatan itu saya akan guna untuk tingkatkan lagi prestasi Pemuda UMNO.
S: Ke mana hala tuju Pemuda UMNO yang saudara akan bawa atau agenda Pemuda UMNO selepas ini sekiranya terpilih semula?
J: Agenda saya ialah untuk menjadi tempat pertemuan atau ‘interface’ utama bagi UMNO dan generasi muda. Kita tahu bahawa generasi muda menjadi kuasa besar pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dan juga akan menjadi kuasa besar dalam PRU-14. Kaji selidik yang dibuat oleh Merdeka Centre menunjukkan pengundi muda Melayu antara umur 21 hingga 30 tahun, kira-kira 54 peratus menyokong BN pada pilihan raya lalu. Itu petanda baik bagi kita, tetapi pengundi muda daripada kaum lain tak berapa menyokong BN. Itu cabaran untuk kita, macam mana UMNO boleh memainkan peranan bagi meningkatkan sokongan daripada orang muda Melayu dan macam mana boleh bantu BN untuk cuba meyakinkan yang lain juga. Jadi hala tuju saya masih lagi ‘politikal’, macam mana untuk bawa undi pada pilihan raya akan datang.
S: Ternyata saudara sudah melalui pelbagai dugaan dan jatuh bangun dalam politik. Bagaimana saudara melihat peluang kali ini?
J: Setiap kali bertanding saya serah kepada perwakilan atau pengundi, cuma kita boleh buat yang terbaik dengan menawarkan idea atau wawasan yang jelas. Yang selebihnya kita serah kepada perwakilan. Saya menang pada 2009 dalam keadaan yang susah. Waktu itu orang kata menantu Presiden UMNO dan sebagainya, tetapi presiden yang hendak keluar, Pak Lah (Abdullah) pada waktu itu hendak meletak jawatan. Jadi ia tidak beri apa-apa kelebihan kepada saya. Tapi dalam keadaan itu masih lagi boleh menang, lawan bekas menteri besar, lawan seorang yang ada nama besar dalam UMNO tetapi dapat mengatasinya, Alhamdulillah berkat sokongan daripada kawan-kawan. Jadi kali ini pun saya buat yang sama, bukannya saya mahu kekalkan jawatan ini untuk diri saya, tetapi saya menjawab panggilan perjuangan. Jadi saya serah kepada perwakilan sebab saya sudah tahu jatuh bangun dalam politik, peritnya bila kita jatuh, apa perasaannya selama empat tahun. Saya tidak tahu peluang saya macam mana dan saya serah pada budi bicara perwakilan. Saya yakin perwakilan boleh menilai sebab nak jaga Pemuda dengan keahlian hampir 650,000 dan jaga pentadbiran bukan perkara senang. Kita menghormati setiap calon yang menawarkan diri, tetapi kalau tak ada pengalaman jadi Ketua Pemuda bahagian atau cawangan, macam mana nak jaga organisasi nasional yang ada 650,000 ahli.
S: Dulu saudara bertanding dalam bayangan ‘Perdana Menteri’, kali ini bertanding sebagai Khairy Jamaluddin tanpa bapa mentua. Kini saudara menghadapinya bersendirian?
J: Saya tidak melihatnya sebagai masalah sebab pemilihan lepas pun tidak bawa apa-apa kelebihan kepada saya (sebagai menantu Perdana Menteri). Sebabnya, pada pemilihan lalu beliau adalah Perdana Menteri yang akan melepaskan jawatan, presiden yang akan melepaskan jawatan, jadi tak ada apa-apa pengaruh pada saya.
Baca Selanjutnya -> BroJinggo