Isteri Mat Yo buat kecoh

Petaling Jaya: Insiden kekecohan membabitkan isteri pemain bola sepak negara dengan seorang pengawal keselamatan di Subang Skypark, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), di sini, baru-baru ini, tersebar meluas di media sosial mulai kelmarin.

Rakaman berdurasi 54 saat itu, turut menampakkan wajah Nor Shahrul Idlan Talaha atau lebih dikenali Mat Yo, yang menyaksikan ‘perang mulut’ antara isterinya dengan pengawal keselamatan terbabit, Azman Md Nayan, 49.
Bagaimanapun, imej wanita berkenaan tidak kelihatan dalam rakaman yang dipercayai dibuat menggunakan telefon bimbit.


Insiden itu berlaku pada jam 11.42 pagi, 12 September lalu.
Berikutan insiden berkenaan, kedua-dua pihak membuat laporan polis.

Enggan mengulas

Mat Yo ketika dihubungi, malam tadi, enggan mengulas insiden berkenaan dan menyerahkannya kepada peguamnya untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, pula mengesahkan menerima dua laporan berhubung kejadian berkenaan dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana bergaduh dan melakukan kekecohan di tempat awam.

Sementara itu, Azman mendakwa ketika dia sedang mengawasi lalu lintas di kawasan berkenaan, sebuah Mini Cooper putih berhenti di tempat letak teksi.

Azman mendakwa penumpang kereta itu meminta kebenaran untuk berhenti seketika dengan alasan mahu membeli tiket.

Bagaimanapun, selepas hampir 10 minit, kenderaan yang dipandu Mat Yo tidak beredar menyebabkan Azman meminta pasangan itu beredar.

“Saya minta mereka beredar ke tempat letak kenderaan awam jika mahu berhenti lebih lama supaya tidak mengganggu lalu lintas.

“Tindakan saya mengundang rasa tidak puas hati wanita itu (isteri Mat Yo) yang mempertikaikan tindakan saya, selain mendakwa mereka kerabat diraja dan suaminya bekerja dengan Tengku Mahkota Johor (TMJ).

“Selepas berulang kali meminta mereka beredar, wanita itu mengeluarkan kata-kata kesat serta melakukan provokasi dengan mengatakan saya bodoh dan dayus, selain merakam (menggunakan telefon) dari dalam keretanya,” katanya yang ditemui di Skypark, LTSAAS, semalam.

Elak gambar dirakam

Berikutan itu, Azman menghampiri kereta pasangan berkenaan untuk menghalang wajahnya daripada terus dirakam sebelum wanita terbabit menaikkan cermin kereta.

Katanya, kejadian itu diperhatikan Mat Yo yang keluar dari kereta ketika isterinya melemparkan kata-kata kesat.

“Mungkin kerana melihat tindakan saya menakutkan isterinya, Mat Yo menolak saya beberapa kali sebelum isterinya keluar dari kereta dan menendang celah kangkang hingga menyebabkan saya cedera,” katanya.
- BERITA HARIAN
Share:

No comments:

Post a Comment


Popular Posts

Recent Posts

Powered by Blogger.

Blog Archive

Categories

Blog Menarik

Blog Archive