KUALA LUMPUR 4 Sept - Pergerakan Pemuda UMNO sebulat suara mencalonkan empat pemimpin utama sayap itu bertanding jawatan Ahli Majlis Tertinggi (MT) dalam pemilihan parti yang akan diadakan Oktober ini. Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, mereka ialah Naib Ketua Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim; Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Pengerusi Biro Ekonomi Pemuda UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan dan Pengerusi Unit Media Baharu Pemuda UMNO, Tun Faisal Ismail Aziz. "Kita sebulat suara beri pengesahan dan sokongan kepada keempat-empat calon ini dan saya sendiri akan minta semua perwakilan pemuda yang akan mengundi untuk majlis tertinggi di mesyuarat bahagian masing-masing beri sokongan tak berbelah-bahagi," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
Mengulas lanjut katanya, keempat-empat calon itu ialah calon rasmi yang mendapat sokongan sebulat suara Jawatankuasa Pemuda UMNO setakat hari ini, namun sekiranya terdapat ahli Pemuda UMNO lain yang berminat mencalonkan diri untuk bertanding sebagai Ahli MT, perkara itu akan dipertimbangkan. Khairy turut mengumumkan empat Exco Pemuda UMNO yang menawarkan diri bertanding jawatan Naib Ketua pergerakan itu pada pemilihan kali ini iaitu Ketua Pemuda UMNO Perak, Khairul Azwan Haron; Exco Pemuda UMNO, Lokman Noor Adam; Ketua Pemuda UMNO Tenom, Jamawi Jaafar dan Ketua Pemuda UMNO Lenggong, Mohd. Iruan Zulkefli. Selain itu, Khairy turut mengumumkan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Zubir Zabidi, akan bertanding jawatan Pengerusi Tetap Pergerakan Pemuda UMNO.
Ditanya berapa ramai ahli Pemuda yang telah menawarkan diri bertanding jawatan Exco pergerakan itu, beliau berkata, jumlah tepat belum dapat dikenalpasti, namun sehingga kini, kira-kira 170 ahli telah menawarkan diri. Sumber: Utusan
No comments:
Post a Comment