PAS kesal dengan tindakan bekas Adun Kajang Lee Chin Cheh dari PKR yang meletakkan jawatan tanpa sebab yang munasabah.
Ketua
Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat Dr Mohd Khairuddin Aman Razali
at-Takiri berkata, pihaknya menuntut penjelasan munasabah daripada PKR
kerana pilihanraya kecil akan mengorbankan banyak masa, tenaga dan harta
rakyat.
“Rakyat melihat
situasi ini dengan penuh prihatin. “Pergolakan kecil politik Selangor
melibatkan jawatan Menteri Besar dan isu PKNS ditambah pula dengan
perletakan jawatan ini boleh memualkan rakyat di saat rakyat dibelenggu
dengan pelbagai isu negara khususnya melibatkan peningkatan kos hidup,”
katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menyifatkannya
sebagai politik picisan, Mohd Khairuddin turut mengingatkan isu ini
mampu menggugat keyakinan rakyat kerana Pakatan Rakyat sepatutnya fokus
kepada mendedahkan kegagalan kerajaan Barisan Nasional (BN) mengurus
ekonomi negara.
Katanya,
Pakatan Rakyat perlu menilai semula sejarah Pilihan Raya Umum ke-12
(PRU12) yang menyaksikan beberapa wakil rakyat dari PKR melompat dan
meninggalkan parti yang telah merugikan dan menggugat keutuhan Pakatan
Rakyat.
Manakala sejarah PRU ke-13 pula dimulakan dengan perletakan jawatan Adun.
“Nasihat ini saya lontarkan sebagai peringatan bersama seluruh warga Pakatan Rakyat khususnya para pemimpinnya,” katanya.
PAS, parti tupperware?
Sementara itu
Ahli Parlimen Temerloh Nasruddin Hassan Tantawi berkata, pihaknya kecewa
kerana PKR tidak pernah berbincang dengan PAS mengenai konflik di
Selangor sehingga menyebabkan berlakunya pilihan raya kecil Kajang.
“PAS ini apa ?
Parti Tupper Ware? Tak bincang sepatah? Tak runding sikit pun? Politik
apa ini? Cara dan skil mana digunakan,” soalnya
Katanya, PKR
tidak sepatutnya mempermainkan amanah rakyat yang berkerja, berjuang dan
mengundi bersungguh-sungguh dalam PRU lalu.
“Saat rakyat
berhempas pulas mencari sesuap nasi berdepan dengan kos sara hidup yang
tinggi, kenaikan harga barang yang melambung.
“Tak pasal-pasal cipta pilihanraya kecil dengan drama realiti perletakan jawatan,” katanya.
Manakala
Pengarah Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia Mohd Sany Hamzan
berkata, pihaknya menuntut penjelasan yang munasabah daripada Lee
terhadap perletakan jawatan beliau secara bertulis kepada Ketua Dewan
pemuda PAS Malaysia dengan kadar segera.
“Sekiranya
penjelasan yang diberikan tidak munasabah maka Jabatan Pilihanraya Dewan
Pemuda PAS Malaysia memberi amaran akan mengeluarkan arahan kepada
seluruh jentera pilihanraya pemuda PAS di semua peringkat untuk tidak
memberikan kerjasama di dalam Pilihanraya Kecil DUN Kajang nanti
sekiranya calon yang ditentukan masih lagi dari kalangan calon PKR,”
tegasnya.
Beliau
menganggap tindakan Lee sebagai satu pengkhianatan amanah yang diberikan
rakyat Selangor serta membelakangkan semangat ‘syura’ di kalangan
Pakatan Rakyat Selangor.
Beliau juga
kecewa terhadap pimpinan PKR Selangor yang mengamalkan agenda ‘politik
egois’ dan ‘besar kepala’ dengan membelakangkan PAS dan DAP Selangor di
dalam kerja buat mereka di Selangor.
“PKR Selangor
berlagak seperti ‘boss besar’ yang boleh mengambil apa saja tindakan
politik yang menguntungkan mereka tanpa persetujuan dan pandangan
rakan-rakan parti PAS dan DAP sedangkan PKR Selangor hanyalah ‘pemegang
saham minoriti’ di dalam Kerajaan PR Selangor,” katanya. - http://addin77.blogspot.com
No comments:
Post a Comment