KUALA LUMPUR 16 April - Berbaki tiga minggu sebelum hari pengundian pilihan raya umum ke-14 (PRU14), musim 'demam' itu seolah-olah membuka pintu rezeki pengusaha tudung Chenta Watie Scarf, apabila jualan 'tudung PRU' keluarannya laris dijual bak pisang goreng panas.
Pengarahnya Irdawati Samsudin, 38, berkata
jualan tudung edisi khas bercorak logo lapan parti politik di Malaysia
itu mula dilancarkan menerusi laman Instagram butik tersebut sejak Mac
lepas dan sudah menerima 1,000 tempahan walaupun baharu seminggu
diperkenalkan.
Antara corak logo parti yang ada termasuklah Barisan Nasional (BN), UMNO, Parti Keadilan Rakyat, PAS dan Parti Amanah Negara.
"Pada
awalnya, saya hanya menyasarkan jualan tudung PRU ini antara 2,000
hingga 3,000 sahaja, namun tidak sangka setakat ini sudah terjual hampir
7,000 helai.
"Walaupun kami bercadang untuk
tutup tempahan, melihatkan permintaan luar biasa pelanggan dari seluruh
Malaysia, kami ambil keputusan untuk terus mengambil tempahan yang
hingga kini tidak putus-putus," katanya kepada Bernama, baru-baru ini.
Perniagaan
yang diusahakan bersama suami di Simpang Renggam, Johor sejak 2013 itu
pada mulanya menjual pelbagai jenis tudung, namun pasangan ini mengambil
langkah berbeza dengan mengeluarkan tudung edisi khas Hari Kebangsaan
pada tahun lepas.
"Selepas tudung itu mendapat
sambutan begitu menggalakkan, membuatkan kami terfikir untuk
mengeluarkan tudung edisi khas bersempena hari-hari tertentu di Malaysia
seperti Hari Guru dan Hari Ibu," katanya.
Bagaimanapun
Irdawati berkata pada mulanya beliau turut diselubungi rasa ragu
mengeluarkan tudung bercorak logo parti yang baginya, boleh mengundang
persepsi negatif masyarakat.
"Memandangkan kami
sudah ada mesin cetak khas untuk tudung sendiri di kilang dan PRU14 juga
makin hampir, jadi kenapa tidak kami ambil peluang ini untuk cuba
sesuatu yang baharu.
"Alhamdulillah, setakat ini
kami banyak menerima maklum balas positif daripada pelanggan tentang
kualiti tudung kami berbanding kritikan negatif. Inilah yang membuatkan
kami lebih bersemangat untuk meneruskan jualan tudung seperti ini,"
katanya.
Beliau berkata kebanyakan pelanggan
menyukai tudung bawal jualannya itu yang terdiri daripada kain jenis
satin dan crepe serta dijual pada harga antara RM25 hingga RM59.
"Apa
yang menjadi keistimewaan kami adalah pelanggan boleh mengubah suai
corak tudung mengikut citarasa masing-masing dan setakat ini, tudung PRU
yang paling laris terjual adalah corak BN," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment