KUALA LUMPUR 25 Mac - Gurauan juruterbang pesawat Malaysia Airlines
(MAS) MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah kepada kenalan rapatnya bahawa
rakannya itu tidak akan menjumpai pusara Zaharie merupakan satu petanda
yang beliau akan pergi buat selama-lamanya.
Menurut laporan Bernama, Mohaza Mohaza, yang dipercayai kenalan rapat
kepada Zaharie berkata, dia tidak menyangka bahawa gurauan daripada
juruterbang itu pada Hari Raya Aidilfitri lalu di Tanah Perkuburan Jalan
Perak, Pulau Pinang merupakan satu kiasan untuk pergi meninggalkan
semua.
"Zaharie memberitahu saya (secara gurauan) yang saya tidak akan jumpa
kubur atau pusaranya. Inilah rupa maksudnya. Baru saya mengerti.
Pusaranya di Lautan Hindi.
"Al-Fatihah. Semoga Allah SWT mencucuri setinggi-tinggi rahmat ke
atas rohnya dan juga muslimin muslimat pesawat MH370 kesemuanya serta
ditempatkan bersama-sama mereka yang beriman. Amin," katanya.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan
MH370 yang hilang daripada radar sejak 8 Mac berakhir di tengah-tengah
Lautan Hindi di kawasan barat Perth, Australia.
Sementara itu, anak kepada Zaharie, Ahmad Idris Zaharie turut
berkongsi rasa terharu dengan sokongan dan kata-kata semangat dari
sahabat serta kenalan bapanya.
Di laman Facebook 'Friends of Captain Zaharie MH370', Ahmad Idris
menulis "Terima kasih semua untuk sokongan yang diberikan. Aku bersyukur
kepadamu Ya Allah kerana telah meminjamkan aku seorang ayah yang
berdedikasi dan penyayang selama 31 tahun aku ini. Al-Fatihah."
Anak perempuan Ketua Pramugara, Andrew Nari, Maira Elizabeth turut
memuat naik gambar ayahnya dan menulis di laman Twitter, "Rasa begitu
kehilangan, begitu kosong. Saya amat penat. Selamat malam ayah.
"Bagaimana saya boleh kuat? Bagaimana saya boleh tersenyum? Satu
jawapan untuk soalan anda kerana saya percaya pada tuhan dengan kekuatan
dan kepercayaan."
Dalam pada itu, catatan isteri krew MH370, Mohd. Hazrin Hasnan, Intan
Maizura Othaman dalam laman sosial Facebooknya, amat menyentuh hati.
"Pada 8 Mac lalu memang mami dah jangka yang awak sudah berada di
syurga tetapi pada keesokan harinya saya tetap berfikiran positif dan
berharap awak masih hidup dan kembali pulang.
"Hari berlalu dan tiada berita sehingga malam semalam, 24 Mac, pada
pukul 9.30 malam saya menerima berita yang awak dan penumpang lain
sedang berehat di lautan yang sangat dalam, Lautan Hindi. Ia amat
memeranjatkan tetapi Allah lebih menyayangi awak. Saya reda dengan
pemergian awak, B.
"Apa yang berlaku sangat misteri tetapi siapalah kita untuk menyoal
kuasa Allah. Allah pasti ada perancangan yang lebih baik untuk awak dan
saya," katanya.
Tambah Intan, bermula hari ini (semalam), beliau akan menjadi wanita bionik untuk berhadapan realiti.
"Saya akan memberitahu Iman bahawa anak kecil itu kehilangan papanya
sementara Muhammad akan menjadi tiang untuknya teruskan hidup.
Insya-Allah Iman dan Muhammad tidak akan mengecewakan awak," jelasnya.
Jelasnya, cinta terhadap suaminya akan kekal sehingga ke syurga.
"Adakah awak ingat lagi semasa saya memberitahu untuk menjadi
bidadari di syurga? Saya amat cemburu sekarang awak bersama mereka
tetapi tidak mengapa, saya akan bersama awak kemudian. Kan Allah dah
janji mati itu pasti.
"Awak adalah suami dan ayah yang terbaik. Allah maha besar kerana
meminjamkan awak kepada saya walaupun sekadar untuk tempoh yang singkat.
Kenangan itu sangat manis dan terbaik. Semoga Allah tempatkan awak di
tempat orang-orang yang beriman. Saya cinta awak, B," katanya.
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment