SYDNEY 30 Mac - Beberapa objek yang ditemukan di Lautan Hindi disahkan bukan daripada pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.
Pihak Berkuasa
Keselamatan Maritim Australia (AMSA) dalam satu kenyataan hari ini
berkata, objek terbabit yang dipungut oleh kapal China dan Australia
dikenal pasti sebagai peralatan untuk menangkap ikan atau sampah.
Bagaimanapun, AMSA tidak menyatakan jumlah atau lokasi tepat objek berkenaan ditemukan.
Sementara itu
menurut AMSA, operasi mencari pesawat MH370 yang memasuki hari ke-23
hari ini memberi fokus di kawasan seluas kira-kira 319,000 kilometer
(km) persegi berpandukan hasil analisis lebih terperinci para penyiasat
nahas kapal terbang.
Katanya, mengikut
perancangan, 10 buah pesawat terlibat dalam gerakan mencari di kawasan
kira-kira 1,850 kilometer di barat Perth.
Lembaga itu juga
berkata, semua kapal di kawasan mencari ditugaskan mengesan dan mengenal
pasti objek yang dilihat pesawat sejak dua hari lalu.
"Cuaca di kawasan
mencari diramal menjadi lebih buruk hari ini dengan hujan renyai dan
awan rendah tetapi operasi mencari dijangka diteruskan," katanya.
Pesawat Boeing
777-200 itu yang membawa 239 penumpang hilang kira-kira sejam selepas
memulakan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.
Perdana Menteri
Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 24 Mac lalu mengumumkan
penerbangan MH370 berakhir di satu kawasan terpencil di selatan Lautan
Hindi.
Menurut AMSA,
pesawat yang mengambil bahagian hari ini adalah dari Australia, Jepun,
China, Korea Selatan, Amerika dan Malaysia serta sebuah jet awam yang
bertindak sebagai penyelaras komunikasi.
Kapal Australia
HMAS Success, kapal Pentadbiran Keselamatan Maritim China Haixun 01,
kapal Biro Penyelamat China Nan Hai Jiu dan kapal tentera laut China
Jinggang Shan tiba di kawasan mencari semalam.
"Enam lagi kapal akan tiba di kawasan itu hari ini," kata kenyataan itu.
Katanya, kapal
frigat kelas ANZAC HMAS Toowoomba meninggalkan Perth petang semalam dan
dijangka tiba di kawasan mencari dalam masa tiga hari.
"Kapal ADV Ocean
Shield pula dijadual berlayar dari Perth lewat hari ini setelah dipasang
alat pengesan kotak hitam dan kenderaan bawah air," kata AMSA. - DPA,
BERNAMA
No comments:
Post a Comment