SELANGOR AKAN ADA PILIHANRAYA NEGERI ???

PRK KAJANG

SEPERTI yang diketahui umum, pada 27 Januari 2014 mantan ahli Dun Kajang, Lee Chin Cheh meletakkan jawatan dengan mengejut. Tidak lama kemudian, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan hasratnya untuk bertanding sebagai calon PKR di kerusi Dun tersebut.

Rupa-rupanya, ‘Kajang Move’ ini telah dirancang supaya Anwar boleh menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor. Dikatakan Kajang Move ini akan menjadi batu loncatan bagi Pakatan Rakyat menawan Putrajaya.

Penulis ingin berbincang tentang suatu senario hipotetikal, iaitu apa akan berlaku selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang andai kata, Anwar menang di Kajang pada 23 Mac ini, iaitu tarikh PRK tersebut.

Bidang kuasa untuk melantik menteri besar terletak pada Sultan Selangor menurut perlembagaan negeri Selangor. Menteri besar yang dilantik adalah seorang ahli Dun yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dun.

Selepas dilantik, menteri besar tersebut boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya. Inilah percaturan politik PKR, iaitu Khalid akan meletakkan jawatan untuk membuka ruang kepada Anwar dilantik sebagai menteri besar.

Tetapi, apa akan jadi sekiranya Khalid tidak meletakkan jawatan? Sekiranya ini berlaku, maka pihak-pihak yang mahu menggantikan beliau harus mengusulkan undi tidak percaya di dalam Dun.

Mengusul undi tidak percaya di dalam Dun membawa pelbagai risiko. Apatah lagi sekiranya mereka yang ingin menggantikan Khalid tidak mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan.

Walaupun Pakatan Rakyat mempunyai lebih dari dua pertiga kerusi di Selangor, PKR sebenarnya mempunyai satu kerusi kurang daripada Pas dan DAP masing-masing. Untuk berjaya mengusulkan undi tidak percaya, mereka harus mendapat sokongan ahli-ahli Pas, DAP dan mungkin juga BN.

Sekiranya usul ini diluluskan oleh majoriti Adun, menurut perlembagaan, Khalid harus meletakkan jawatan dirinya dan ahli Exco ataupun memohon supaya baginda Sultan membubarkan Dun. Sekiranya Khalid mimilih yang pertama, maka menteri besar dan Exco yang baharu akan dilantik.

Sekiranya Khalid memilih untuk memohon supaya Dun dibubarkan dan baginda Sultan membubarkan Dun, maka pilihan raya akan berlangsung bagi kerusi-kerusi Dun Selangor.

Apa pula jadi sekiranya permohonan untuk bubarkan Dun ditolak oleh baginda Sultan?

Menurut keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Datuk Seri Mohammad Nizar lawan Datuk Seri Zambry ketika krisis Perak, dalam keadaan tersebut menteri besar dan ahli-ahli Exco akan dianggap telah mengosongkan jawatan-jawatan mereka.

Penulis sendiri tidak bersetuju dengan interpretasi ini, tetapi itulah yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Seperti yang penulis nyatakan tadi, sekiranya Khalid tidak lagi mendapat sokongan majoriti ahli Dun, beliau boleh memohon untuk Dun dibubarkan.

Pilihan raya seluruh negeri juga membawa risiko kepada Pakatan Rakyat kerana mereka mungkin mendapat reaksi yang negatif daripada pengundi. Adakah mereka bersedia mengambil risiko yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran?

Maka, pada jangkaan penulis, sekiranya Khalid tidak meletakkan jawatan secara sukarela selepas PRK Kajang, maka tidak ada apa-apa yang akan berlaku.

Sesiapa yang memenangi PRK Kajang akan terus menjadi Adun biasa dan Khalid akan kekal menjadi menteri besar sehinggalah PRU13 disebabkan oleh risiko yang besar dalam mengusulkan undi tidak percaya.

Tetapi ini semua senario hipotetikal bagi tujuan perbincangan. PRK Kajang belum diputuskan. Apatah lagi senario-senario selepas PRK Kajang yang telah diandaikan di atas.

*Penulis adalah seorang peguam muda

Sumber: SINAR
Share:

No comments:

Post a Comment


Popular Posts

Recent Posts

Powered by Blogger.

Blog Archive

Categories

Blog Menarik

Blog Archive