KOTA BHARU 29 Mac - Bekas Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik
Mat dengan bergenang air mata hari ini memohon maaf di atas segala
kesilapannya sepanjang 23 tahun mentadbir negeri ini.
Malah beliau yang juga Mursyidul Am Pas menganggap sakit yang
dialaminya sekarang adalah 'kifarat' atas dosa yang dilakukan selama
memimpin negeri ini.
Permohonan maaf itu dibuat ketika beliau menyampaikan kuliah subuh di Masjid Pulau Melaka di sebelah rumahnya di sini pagi ini.
"Maafkan segala kesilapan saya selama saya pimpin Kelantan.
"Ini sakit saya mungkin Allah nak kifarat dosa saya atas apa
kesalahan saya buat selama saya pimpin Kelantan," katanya yang dipetik
daripada akaun laman sosial, Facebooknya di sini hari ini.
Turut hadir di kuliah itu ialah Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Nik Abdul Aziz, 83, merupakan Menteri Besar paling lama dalam sejarah memerintah negeri ini.
Tokoh yang dikenali dengan pelbagai kenyataan kontroversi itu
menerajui pemerintahan negeri ini selama lima penggal bermula pada tahun
1990 sehingga 2013.
Beliau melepaskan teraju pemerintahan kepada timbalannya, Datuk Ahmad
Yakob selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu kerana masalah kesihatan.
Dalam wawancara eksklusif bersama
Mingguan Malaysia pada 12
Januari lalu, beliau buat pertama kalinya mendedahkan mengenai keadaan
kesihatannya seperti masalah prostat sehingga terpaksa membawa beg
plastik untuk menyalurkan air kencing dan bateri bagi menguatkan
jantungnya.
Difahamkan pada masa kini, Nik Abdul Aziz yang lebih dikenali dengan
panggilan 'tok guru' terpaksa lebih kerap berulang alik ke Hospital
Universiti Sains Malaysia untuk menerima rawatan.
Beliau juga tidak hadir pada himpunan Reformasi 2.0 di Kota Bharu yang disertai Anwar kerana tidak sihat.
Bagaimanapun sebaik sahaja beliau melepaskan jawatan tersebut,
keadaan dalaman Pas negeri ini agak berkecamuk dengan pergeseran di
antara pemimpin.
Malah ada di antara pemimpin Pas mula mengkritik kepemimpinan Ahmad
dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dan atas pentas ceramah secara
terbuka.
Artikel Penuh:
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment