PUTRAJAYA 9 Ogos -
Tidak berlaku kehilangan wang daripada Tabung Amanah Bayaran balik
cukai barang dan perkhidmatan (GST) kerana kesemua kutipan perlu
dimasukkan dahulu ke dalam Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Persekutuan.
Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan,
Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Siregar Abdullah berkata, daripada segi
prosedur, keperluan dana untuk dimasukkan tabung bayaran balik GST hanya
dibuat selepas Mesyuarat Pengurusan Aliran Tunai Kerajaan Persekutuan
yang diadakan setiap bulan.
Katanya, berdasarkan keperluan Jabatan Kastam
Diraja Malaysia, hasil audit terhadap tuntutan bayaran balik dan
kedudukan hasil kerajaan, mesyuarat akan membuat keputusan untuk jumlah
bayaran balik yang dimasukkan dalam tabung amanah berkenaan.
“Setiap sen dikira, ia adalah duit rakyat, lebih
penting ia berada dalam Kumpulan Wang Disatukan, kemudian bila
diperlukan, ia akan dikeluarkan,” katanya dalam sidang akhbar di sini
hari ini.
Beliau mengeluarkan kenyataan bagi menafikan
pendedahan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng semalam mengenai berlaku
kekurangan RM18 bilion dalam Tabung Amanah Bayaran Balik GST dan
mendakwa pentadbiran terdahulu menyalahgunakan wang tersebut.
Kelmarin, Guan Eng juga telah mendakwa bayaran
balik GST tertangguh sehingga dua tahun kerana pentadbiran terdahulu
telah ‘merompaknya’. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment