Rafizi Ramli menegaskan Pakatan Harapan telah berjanji menghapuskan cukai eksais bagi menurunkan harga kereta, bukan berusaha mewujudkan perusahaan kereta nasional ketiga.
Naib presiden PKR berkata, sejak Buku Jingga ditulis dalam tahun 2010, komitmen menghapuskan duti eksais kereta, yang dilihat mereka sangat membebankan, tidak pernah berubah.
“Platform dasar yang mahu menghapuskan cukai eksais demi menurunkan harga kereta ini tidak pernah berubah selepas Pakatan Harapan ditubuhkan.
“Tidak ada mana-mana bahagian di dalam kempen Pakatan Harapan atau manifesto Pakatan Harapan yang menyelitkan usaha mewujudkan perusahaan kereta nasional yang ketiga,” katanya.
Buku Jingga dipersetujui oleh Pakatan Rakyat, pendahulu Pakatan Harapan, antara PKR, DAP dan PAS.
Tempat PAS kemudian diganti oleh serpihannya Parti Amanah Negara (AMANAH) dalam gabungan baru.
Menteri Pembangunan Usahawan Mohd Redzuan Yusof, kelmarin berkata, kerajaan sedia melancarkan “projek kereta nasional 3.0” menjelang 2020 seperti dibayangkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Redzuan berkata kerajaan percaya langkah itu akan mencergaskan kembali industri automotif negara dan berpotensi besar.
Dalam kenyataan hari ini, Rafizi menegaskan, cukai eksais banyak dikaitkan dengan usaha melindungi kereta-kereta nasional yang akhirnya menyebabkan harga kereta lebih mahal berbanding negara-negara lain.
Beliau justeru membangkitkan sama ada idea untuk menubuhkan perusahaan kereta nasional yang ketiga akan mendatangkan kesan kewangan yang besar kepada rakyat.
Berikut tiga persoalan yang dibangkitkan Rafizi:
- Berapa pelaburan yang perlu dibuat menggunakan dana awam?
- Badan kerajaan mana yang akan mengambil tanggungjawab melaksanakan projek ini?
- Adakah kerajaan berhasrat menghapuskan cukai eksais untuk mengurangkan harga kereta, apabila kereta nasional ketiga dilancarkan?
No comments:
Post a Comment