KUALA LUMPUR: Keterlanjuran Hanipa Maidin (PAN-Sepang) mengibaratkan
dirinya sebagai tuhan menimbulkan hingar-bingar di Dewan Rakyat, petang
tadi.
Bibit kekecohan mula tercetus ketika Hanipa memberi
laluan kepada Datuk Seri Abdul Azeez Rahim (BN-Baling) untuk mencelah
sambil menitip pesanan: "Orang bodoh-bodoh jangan lama eh."
Bingkas
menyuarakan persoalan dengan santun dan nada bersahaja, Abdul Azeez
meminta hujahan dan sindiran disuarakan perlu bersifat adil, tanpa
mengira anggota pembangkang mahu pun kerajaan.
Katanya,
kesanggupan pembangkang membuat derma kilat kononnya untuk menampung kos
guaman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bagi melawan pelbagai
tohmahan juga perlu terpakai terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin
(PPBM-Pagoh).
"Yang Berhormat Pagoh pun kena bela juga
Sepang (Hanipa) sebab beliau (Muhyiddin) pernah dikaitkan mempunyai
skandal dengan bini (isteri) orang," katanya.
Mengelak
daripada menjawab soalan itu, Hanipa sebaliknya berkata, undang-undang
menangani berita palsu mungkin menjadi 'senjata makan tuan' terhadap
Barisan Nasional (BN) selepas pakatan pembangkang menawan Putrajaya pada
Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
"Jadi jangan ingat kamu
semua selamat," katanya lantas mengundang reaksi balas Abdul Azeez yang
menyifatkan kenyataan itu sebagai takbur dan riak kerana hanya tuhan
mempunyai kuasa menentukan segala-galanya.
Terkenal dengan
kelantangan ketika berbahas, Hanipa yang juga seorang peguam berkata:
"Kalau saya tuhan, dari awal saya tak jadikan kamu, menyusahkan orang
saja. Sudah lama saya hapuskan kamu (Abdul Azeez).
"Sebab
saya tak tuhan, tuhan jadikan juga orang macam kamu," katanya lantang
sambil menepuk dada kiri dan menuding ke arah Abdul Azeez.
Tindakan
itu pantas menghangatkan suhu perbahasan Rang Undang-Undang (RUU)
Antiberita Tidak Benar, selain menyaksikan kesepakatan beberapa Ahli
Parlimen BN bangkit mengaminkan doa dibaca Abdul Azeez supaya Hanipa
diberi petunjuk untuk bertaubat.
Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman
Razali (PAS-Kuala Nerus) yang bangkit mencelah ketika suasana dewan
bertukar gamat cuba menarik bekas ahli parti serpihan itu kembali ke
jalan benar.
"Apabila ada perdebatan secara keras
membabitkan isu agama, bila kita menyebut, kalau saya tuhan, saya rasa
tidak cantik dan manis.
"Ini kerana Allah bersifat pengasih
dan maha penyayang. Mungkin kesilapan kerana kita sedang berdebat,
mungkin kita betulkan balik mengikut fakta agama.
"Itu
nasihat tulus daripada saya tanpa niat jahat terhadap Sepang, sahabat
yang saya sayang," katanya memberi isyarat supaya Hanipa menarik balik
kenyataan berkenaan.
Hanipa menyanggah permintaan itu tidak
perlu dituruti kerana menggunakan perkataan 'kalau' ketika menyentuh
mengenai peranan tuhan ketika menyampaikan perbahasannya.
"Saya
tidak akan menarik balik kenyataan. Kuala Nerus (Mohd Khairuddin) tak
boleh pakai, kamu lagi saya tak hormat," katanya mencemuh Menteri di
Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim, yang cuba
meleraikan keadaan.
Mohd Khairuddin yang sebelum itu
kelihatan tenang gagal mengawal emosi apabila berkeras mendesak Hanipa
menarik balik kenyataannya, selaras syariat dan akidah Islam, selain
hadis Nabi Muhammad.
Hanipa lantas menjawab: "Saya juga
belajar agama, please lah (tolonglah). Saya tidak akan tarik balik
kerana tahu apa yang dicakapkan.
"Diamlah, kepala otak
kau," katanya membidas teguran bertali arus Mohd Khairuddin yang hanya
disifatkan sebagai cubaan menjual agama.
- Berita Harian -
No comments:
Post a Comment