BELUM TENTU BELIAU BERSALAH,NAJIB PERLU CARI PEGUAM TERBAIK - ANWAR IBRAHIM


JAKARTA: Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata siasatan terhadap Datuk Seri Najib Razak berhubung kes SRC International Sdn Bhd, akan dilakukan secara adil dan bebas.

Anwar meminta semua pihak tidak menjatuhkan hukuman terhadap bekas Perdana Menteri itu sebelum siasatan rapi dan pelaksanaan undang-undang dipatuhi sepenuhnya.

Namun nasihatnya kepada Najib: "Kepada beliau (Najib) nasihat saya, cari peguam bela yang baik," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan bekas Presiden Indonesia Bacharuddin Jusuf Habibie, bersempena sambutan 20 tahun reformasi Indonesia di sini, hari ini.

Anwar yang mendapat pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V pada 16 Mei lalu, berharap apa juga siasatan terhadap Najib akan dilakukan secara adil dan bebas.

Pengampunan penuh Anwar dibentang dan dipertimbangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dan selaras dengan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Anwar, 71, menjalani hukuman lima tahun penjara pada Februari 2015 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan bersalah atas sabitan meliwat.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Datuk Seri Azam Baki sebelum ini berkata Najib dikehendaki hadir ke ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya, Selasa ini, bagi membantu siasatan SPRM melibatkan kes SRC International Sdn Bhd.

SRC International ialah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

Pada 26 Januari 2016, media melaporkan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengesahkan bahawa tiada sebarang kesalahan jenayah dilakukan Najib berkaitan kes membabitkan dana RM2.6 bilion dan SRC International.

Mengenai pertemuan dengan Presiden Indonesia ketiga, Bacharuddin atau lebih dikenali BJ Habibie yang berlangsung hampir tiga jam di kediaman BJ Habibie di Jalan Patra Kuningan, di sini, Anwar berkata pertemuan itu atas undangan BJ Habibie, bersempena sambutan ulang tahun ke-20 Reformasi Indonesia.

Anwar berkata tahun 1998 adalah tahun keramat bagi Malaysia dan Indonesia dan tarikh 21 Mei 1998 diingati rakyat Indonesia sebagai tarikh jatuhnya rejim Orde Lama dan bermulanya zaman peralihan kuasa serta pengukuhan institusi demokrasi yang berlaku dengan pentadbiran Presiden BJ Habibie.

"Sementara itu, pada 2 September 1998 diingati rakyat Malaysia sebagai tarikh bermulanya kejatuhan rejim Barisan Nasional (BN) yang akhirnya selesai hampir dua dekad kemudian pada 9 Mei 2018," katanya.

Anwar berkata pertemuan dan perbincangan dengan BJ Habibie akan mengeratkan lagi hubungan di antara kedua-dua negara serta memperkukuh iltizam melaksana agenda reformasi di Malaysia.

Selain itu Anwar berkata kerajaan PH akan melaksanakan agenda secara lebih spesifik, antaranya mengukuhkan lagi badan kehakiman, kebebasan media yang lebih adil dan program pembasmian kemiskinan yang lebih tersusun. - BERNAMA
Share:

No comments:

Post a Comment


Popular Posts

Recent Posts

Powered by Blogger.

Categories

Blog Menarik