KUALA LUMPUR: Sebanyak 27% atau 115 daripada 417 barangan mengalami
kenaikan harga antara 0.09% hingga 41.65%, selepas pelaksanaan cukai
jualan dan perkhidmatan (SST), kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam
Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen.
Beliau berkata, 70% atau 291 barangan mencatat penurunan antara 0.11
hingga 37.61%, manakala baki harga 11 barangan tidak berubah berdasarkan
perbandingan harga antara Mei hingga September lalu.
Katanya, 417 barangan itu merangkumi 6 kategori, iaitu 136 barangan
segar, barangan kering (25), barangan berbungkus, tin, pek dan botol
(159), minuman (25), makanan dan barangan bayi (49) serta barangan
kebersihan (23).
Chong berkata, memandangkan SST dikenakan di peringkat pengeluar,
impak cukai jualan ke atas harga barangan keperluan belum ketara pada
awal pelaksanaan.
“Kementerian menjangkakan harga barangan akan menunjukkan perubahan
lebih ketara apabila stok yang dikeluarkan mulai September berada di
pasaran.
“Kementerian akan terus memantau pergerakan harga barangan keperluan
pengguna di pasaran bagi memastikan harga yang dikenakan adalah
berpatutan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Alexander Nanta Linggi (PBB-Kapit) yang
meminta penjelasan harga barangan masih tinggi dan tidak turun, walaupun
sistem percukaian negara kembali kepada SST.
- FMT -
No comments:
Post a Comment