KUALA LUMPUR: Peguam Datuk Seri Najib
memohon supaya Datuk Sulaiman Abdullah yang dilantik sebagai timbalan
pendakwa raya secara fiat (kebenaran rasmi) oleh peguam negara,
mengemukakan kepada mahkamah surat pelantikannya.
Tan
Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam permohonannya, berkata pihak
pembelaan mahu mendapatkan salinan surat pelantikan itu bagi mengenal
pasti sama ada ia dibuat mengikut Seksyen 376, 377 atau 379 Kanun Acara
Jenayah.
Muhammad Shafee berkata, ia adalah prosedur standard untuk memaklumkan kepada mahkamah berhubung pelantikan itu.
Sulaiman
bagaimanapun bangun dan berhujah bahawa setiap permohonan hendaklah
dibuat berdasarkan kepada apa yang diperuntukkan undang-undang, malah
beliau tidak pernah meminta Muhammmad Shafee mengemukakan salinan sijil
amalan guamannya.
Sulaiman turut mempersoalkan apakah motif di sebalik permohonan Muhammad Shafee itu.
“Apakah sindiran (melalui permohonan itu) ? Adakah hendak menyatakan bahawa saya dan pasukan pendakwaan mengelirukan mahkamah?
“Saya tidak akan memberikan dokumen itu walaupun ada memilikinya...Saya berpegang ini adalah rahsia rasmi kerajaan.
“Oleh
itu saya memohon mahkamab menolak permohonan ini... Apa yang berlaku
sebelum ini sudah berlalu, ini adalah Malaysia Baharu dan kita perlu
teruskan,” katanya.
Muhammad
Shafee kemudian membalas hujahan itu dengan berkata beliau terkejut
dengan jawapan berkenaan kerana mengaitkan perkara berhubung pelantikan
itu dengan rahsia rasmi.
Beliau
berkata, pihaknya hanya mempersoalkan sama ada pelantikan Sulaiman
adalah betul, sehubungan itu memohon untuk mendapatkan dokumen terbabit
bagi mengesahkan ia adalah konsisten.
“Saya
tidak berniat untuk menyindir sesiapa di sini, tetapi sebagai seorang
pegawai awam kamu adalah tertakluk kepada pemerhatian masyarakat awam.
“Jika kamu diberikan kebenaran rasmi mengikut peruntukan, bagaimana ia boleh dikatakan sebagai rahsia rasmi?
“Bagaimana seseorang peguam yang dilantik sebagai secara fiat adalah istimewa? Ia tidak masuk akal,” katanya.
Muhammad Shafee berkata, kerajaan baharu mengutamakan ketelusan.
Sulaiman
kemudian membalas hujahan dan berkata, beliau membantah permohonan
berkenaan kerana tertakluk kepada arahan oleh Peguam Negara dan tindakan
pembelaaan boleh menyebabkan banyak masa terbuang.
Hakim
Mohd Nazlan Mohd Ghazali kemudian memutuskan supaya permohonan itu
dibincangkan pada pengurusan kes akan datang iaitu pada 31 Oktober ini.
- BH -
No comments:
Post a Comment