Nama Fatimah
dan Aminah direkodkan sebagai nama-nama paling popular yang didaftarkan
oleh ibu bapa untuk anak-anak mereka dengan Jabatan Pendaftaran Negara.
"Berdasarkan
rekod, nama yang paling popular dan banyak didaftarkan berjumlah 79,936
adalah atas nama Fatimah dan 29,126 atas nama Aminah.
"15,151 pula
atas nama Ah Moi dan 10,866 atas nama Ravi," kata Ketua Pengarah
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Jariah Mohd Said.
Beliau
mendedahkan perkara itu dalam ucapannya pada majlis pelancaran Hari
Pendaftaran Negara di ibu pejabat JPN di Putrajaya, hari ini.
JPN juga
mendapati ada 149 individu yang didaftarkan dengan nama Malaysia
manakala 78 orang didaftarkan dengan nama Merdeka mengambil sempena
peristiwa penting negara.
Menurut
Jariah, JPN telah membantu Jabatan Penerangan untuk mencari 149 individu
bernama Malaysia itu untuk diraikan pada sambutan Hari Malaysia 16
September lepas.
Dalam pada itu, Jariah memberitahu setakat ini 28.4 juta rakyat Malaysia telah mendaftar dan memiliki dokumen pengenalan diri.
"Adalah
tidak munasabah sekiranya masih ada rakyat Malaysia tidak memiliki
dokumen pengenalan diri dan tidak sepatutnya berlaku individu yang telah
dewasa berumur 40 tahun masih belum mempunyai sijil kelahiran,"
katanya.
Justeru beliau menggesa semua pihak supaya memanfaatkan 225 pejabat JPN yang ditempatkan di seluruh negara.
Sementara
itu, sempena musim haji tahun ini, JPN bekerjasama dengan Lembaga Tabung
Haji untuk mengemaskini rekod dan pendaftaran kematian jemaah haji
Malaysia di Mekah dan Madinah.
"Ini
bermakna maklumat kematian akan diterima oleh JPN sebaik sahaja kematian
didaftarkan oleh Pegawai JPN di Pejabat Lembaga Tabung Haji di Mekah
dan Madinah," katanya.
Sehingga 30
September lalu, empat jemaah haji Malaysia di Mekah dan Madinah telah
didaftar meninggal dunia dan rekod kematian mereka telah dimasukkan
secara terus dalam pangkalan data JPN.
"Dalam hal
ini, JPN mengambil inisiatif menghantar terus sijil kematian tersebut
kepada waris si mati yang masing- masing berada di Johor, Perak,
Terengganu dan Kelantan," jelasnya.
Sumber: Semut Hitam (KLIK)
Sumber: Semut Hitam (KLIK)
No comments:
Post a Comment