KUALA LUMPUR: Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim,
dijadual menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Istana
Negara, malam ini.
Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil,
ketika mengesahkan perkara itu berkata antara inti pati pertemuan
berkenaan terarah kepada usaha merungkai kemelut pelantikan Peguam
Negara baharu.
"Betul, Datuk Seri Anwar akan masuk
menghadap baginda malam ini dan difahamkan ia berkisar mengenai polemik
pelantikan Peguam Negara," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.
Isu
pelantikan Peguam Negara menggantikan Tan Sri Mohamed Apandi Ali, yang
ketika ini bercuti tanpa rekod selama 30 hari mulai 15 Mei lalu,
tercetus apabila Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad, mengusulkan nama
peguam veteran, Tommy Thomas, untuk pertimbangan Yang di-Pertuan Agong
dan Majlis Raja-Raja Melayu.
Berdasarkan laporan portal The
Malaysian Insight, Anwar berkata cadangan Dr Mahathir untuk melantik
Thomas sebagai Peguam Negara perlu dihormati kerana ia 'prerogative'
atau hak eksklusif Perdana Menteri.
"Kita semua tahu hak
untuk memilih Peguam Negara tertakluk kepada bidang kuasa Perdana
Menteri berlandaskan demokrasi berparlimen.
"Raja boleh
mengutarakan pendapat dan nasihat untuk menangguhkan pelantikan ini buat
sementara waktu bagi menjaga sentimen serta perasaan segelintir pihak
yang ingin mempertahankan tanggungjawab kerajaan dalam memelihara adat
Melayu.
"Kini kebijaksanaan dan pengalaman dalam merungkai
kemelut ini diserahkan kepada Majlis Raja-Raja Melayu, kita harap ia
berupaya diselesaikan dalam tempoh terdekat," katanya.
Anwar
mengakui wujud kegusaran bahawa Peguam Negara yang dilantik dalam
kalangan bukan Islam tidak boleh menasihati Raja Melayu mengenai hal
ehwal syariah.
Katanya, keprihatinan itu turut disuarakan
ketika diperkenan mengadap tujuh sultan yang masing-masing inginkan
jaminan bahawa tiada tolak ansur dalam hal syariah dan kepentingan
Melayu.
"Saya tidak menjangkakan isu ini akan berlanjutan, apatah lagi bertukar menjadi krisis.
"Pandangan
masyarakat di bandar yang lebih liberal mungkin berbeza tetapi penduduk
di pedalaman terutama Melayu mungkin mempunyai tanggapan berbeza.
"Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk mempertimbangkan semua pandangan ini," katanya.
- Berita Harian -
No comments:
Post a Comment