Kit Siang pertahan Penipuan Guan Eng



PETALING JAYA: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, mempertahankan anaknya, Lim Guan Eng, berhubung tindakan Menteri Kewangan itu sendiri yang mendedahkan skandal pentadbiran kerajaan terdahulu.

Katanya, walaupun pendedahan itu akan memberi implikasi positif dan negatif, beliau percaya salah laku perlu didedahkan kepada umum.

"Saya fikir kita harus membincangkan semua kesalahan, skandal dan amalan rasuah kerajaan terdahulu. Perkara sebegitu tidak harus didiamkan," katanya pada sidang media mengumumkan aktivis masyarakat, Heidy Quah, 24, menyertai DAP di sini hari ini.

Beliau mengulas teguran Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Guan Eng, supaya bijak mengimbangi antara kepentingan meyakinkan pelabur asing dan tanggungjawab membongkar penipuan serta penyelewengan kerajaan terdahulu.

Anwar yang juga Ketua Umum PKR dan bekas menteri kewangan, mencadangkan supaya tanggungjawab membongkar salah laku itu diserahkan kepada menteri atau agensi lain.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP, sebelum ini mengumumkan kepada media, ada skandal besar lain membabitkan Kementerian Kewangan akan didedahkan tidak lama lagi.

Antara pendedahan dilakukan Guan Eng ialah bayaran daripada Bank Negara Malaysia dan Khazanah Nasional untuk memenuhi obligasi hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), serta projek saluran paip gas bernilai RM9.4 bilion yang dikendalikan oleh anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan.

Guan Eng dalam reaksi segera terhadap teguran itu, semalam, berkata beliau akan tetap mendedahkan perkara itu kepada umum sebelum menyerahkan skandal salah laku dan penyelewengan pentadbiran Barisan Nasional (BN) itu kepada menteri lain dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau dilaporkan berkata, semua pendedahan skandal kewangan terutama dalam isu 1MDB di media adalah atas arahan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Anwar sendiri sedia maklum perkara itu.

Mengulas lanjut, Kit Siang berkata, tidak salah mendedahkan salah laku itu, malah beliau sudah melakukannya sejak 52 tahun lalu.

"Menteri yang tahu mengenai sesuatu kesalahan, perlu dedahkan bagi mengelakkan daripada ditanya mengenai kenapa mereka tidak dedahkan sesuatu salah laku itu," katanya.

Dalam perkembangan lain, Kit Siang berkata Akta Antiberita Tidak Benar (AATB) 2018 perlu dimansuhkan kerana ia hanya melindungi skandal 1MDB.

"Saya menyokong undang-undang seperti itu, tetapi menentang pihak yang meluluskannya sebelum ini kerana tidak ada kepentingan untuk rakyat," katanya.

Pada sidang media sama yang turut dihadiri Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh, Kit Siang menerima sumbangan daripada Ervin Devadasan, 12, untuk disalurkan ke Tabung Harapan Malaysia.

Ervin menyimpan wang berkenaan kira-kira enam bulan lalu bagi membeli set dram tetapi kemudian mengubah fikiran untuk didermakan kepada tabung itu.

- Berita Harian -
Share:

No comments:

Post a Comment


Popular Posts

Recent Posts

Powered by Blogger.

Blog Archive

Categories

Blog Menarik

Blog Archive