KUALA LUMPUR: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mentadbir negara
ketika ini menghormati institusi raja dan tidak mengikut telunjuk DAP
seperti yang didakwa segelintir pihak.
Ketua Umum PH, Datuk
Seri Anwar Ibrahim, berkata perkara itu turut dimaklumkan dalam
beberapa pertemuannya dengan Raja Melayu dan kerabat diraja.
"Saya menjelaskan dakwaan Kerajaan PH tidak menghormati institusi raja itu hanyalah satu tuduhan liar.
"PH
bukannya didalangi oleh DAP seperti yang didakwa dalam naratif Barisan
Nasional (BN) sepanjang kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang
lalu," katanya seperti dilaporkan oleh The Malaysian Insight.
Pada
kempen PRU-14, UMNO menggunakan DAP untuk menakut-nakutkan pengundi
Melayu daripada memilih PH dengan dakwaan pakatan yang diketuai Tun Dr
Mahathir Mohamad itu sebenarnya ditunggang oleh Lim Kit Siang dan
pemimpin DAP yang lain.
"Saya menjelaskan dasar kerajaan
kepada baginda... jangan bimbang kerajaan ini bukan di bawah telunjuk
DAP atau berusaha menghakis kuasa raja-raja.
"Kedudukan
raja berperlembagaan tidak akan kurang kuasanya, itu yang saya
jelaskan," katanya pada satu majlis Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
di Kajang, kelmarin.
Sejak keluar penjara dengan
pengampunan penuh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Anwar
setakat ini mengadap empat raja-raja Melayu dan kerabat diraja iaitu
Johor, Pahang, Kelantan dan Johor.
Kunjungannya itu
mencetuskan khabar angin kononnya beliau membelakangkan Dr Mahathir dan
sengaja mendekati istana yang diketahui ada hubungan pasang surut dengan
perdana menteri.
"Saya hendak tegaskan, tidak ada perbincangan sebegitu (untuk menggugat kedudukan Dr Mahathir) dengan raja-raja," katanya.
Anwar
berkata, kunjungan beliau mengadap raja-raja Melayu dan kerabat diraja
itu adalah atas jemputan istana dan tidak harus disalah tafsir, malah
difitnah sebagai langkah politik untuk menggugat Dr Mahathir.
Katanya,
sebagai anak Melayu dan anak Malaysia, yang faham mengenai kedudukan
kerajaan raja berperlembagaan, beliau harus memenuhi jemputan itu,
terutama selepas dibebaskan dari penjara dengan pengampunan Yang
di-Pertuan Agong.
Anwar berkata, pertemuan pertama beliau
adalah dengan Yang di-Pertuan Agong, 10 minit sebelum mesyuarat Majlis
Pengampunan bermula pada 16 Mei lalu.
Selepas bebas, Anwar berkata, beliau menerima perintah mengadap daripada Sultan Johor.
Dalam
pertemuan selama dua jam yang turut disertai anaknya, Nurul Izzah,
Anwar berkata, mereka berbincang pelbagai perkara, yang banyak membantu
PH sendiri.
"Pertama, isu kedudukan raja berperlembagaan.
Adakah ia hendak dihakis? Saya tegaskan semua parti dalam PH sepakat
mempertahankan kedudukan raja berperlembagaan.
"Kedua,
baginda tanya, kenapa saya sokong Dr Mahathir? Saya kata dia berjasa,
dia ada sumbangannya dan saya masa itu dalam penjara dan tidak
bertanding.
"Perubahan pula harus aman. Kita mesti yakinkan
rakyat bahawa kita bersatu dalam muafakat ini dan membolehkan Dr
Mahathir dan Kabinet membuat keputusan yang berani dan tegas.
"Umpamanya,
menyiasat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bukannya
mudah. Dananya besar, pengaruhnya masih ada dalam kalangan pegawai
kerajaan dan pegawai keselamatan," katanya.
Selepas Sultan
Johor, Anwar berkata, beliau mengadap Pemangku Raja Pahang, Tengku
Abdullah Sultan Ahmad Shah; Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah
dan Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah.
"Pertemuan
dengan Sultan Selangor sangat baik dan menggembirakan saya. Saya
tegaskan kepada baginda, kita akan pastikan kedudukan agama Islam dan
bahasa Melayu kekal dan saya akan bantu hal ini dalam pentadbiran Dr
Mahathir," katanya.
No comments:
Post a Comment