KUALA LUMPUR: "Papa sudah lama berehat di penjara. Sekarang, kita kena terus kerja."
Itu
jawapan Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim
kepada anak perempuannya, Nurul Nuha yang bertanya sama ada bapanya itu
mahu berehat selepas dibebaskan daripada penjara.
Perbualan
antara Anwar dan anak keduanya itu adalah antara babak dalam video
pendek keluarga berkenaan sempena sambutan Aidilfitri yang dimuat naik
di Facebook bekas Timbalan Perdana Menteri itu, hari ini.
Dalam
video berdurasi kira-kira dua minit 30 saat itu, Anwar turut berpesan
kepada Nurul Nuha bahawa mereka tidak boleh mensia-siakan sokongan
rakyat dengan berehat dan memikirkan keselesaan diri.
"Orang tunggu, orang bagi amanah. Kalau kita tidak laksanakan, dokongan mereka itu sia-sia.
"Kalau kita fikir keselesaan kita, samalah macam rejim lama. Oleh itu, kita kena lakukan.
"Matlamatnya
nak meringankan beban rakyat. Matlamatnya ialah untuk menjadikan
demokrasi itu lebih bermakna bagi keselesaan rakyat.
"Kalau
tidak, ia tidak ada apa-apa makna selain daripada kebebasan kita dan
pemerintahan baharu. Kita teruskan sedikit sahaja lagi, mudah-mudahan
Allah perkenankan, Insya-Allah," katanya sebelum mencium dahi anaknya.
Isterinya,
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ibrahim yang juga Timbalan Perdana
Menteri, kemudian muncul dan berkata, kemenangan PH itu tidak
menjanjikan perjuangan mereka lebih mudah.
"Kita mesti
lakukan semua (janji). Sebab apa? Kita nak mengisi kemenangan dan kalau
boleh dengan sokongan rakyat, kita boleh melakukannya," katanya.
Anwar
membalas dengan berkata: "Seperti mana kita lakukan selama ini, kita
akan bersama. Susah atau senang," katanya sebelum ketiga-tiga mereka
berpelukan.
Video itu kemudian disusuli dengan babak
seluruh ahli keluarga Anwar makan malam bersama-sama, sebelum diakhiri
dengan ucapan Aidilfitri kepada rakyat Malaysia dengan pesanan 'teruskan
perjuangan'.
- BERITA HARIAN -
No comments:
Post a Comment