JAM HADIAH DARIPADA PUTERA RAJA ARAB SAUDI ANTARA YANG DIRAMPAS - NAJIB RAZAK SAMAN KERAJAAN



KUALA LUMPUR: Keluarga Datuk Seri Najib Tun Razak memulakan proses undang-undang untuk menuntut semula barangan mereka yang dirampas polis bernilai antara RM900 juta dan RM1.1 bilion.

Keluarga bekas perdana menteri itu turut mengulangi, barangan yang dirampas itu kebanyakannya adalah hadiah daripada rakan-rakan, kenamaan asing termasuk kerabat diraja dalam pelbagai majlis termasuk lawatan rasmi dan acara keluarga seperti sambutan hari jadi, ulang tahun dan majlis perkahwinan.

"Sebahagian daripada barang yang dirampas milik saudara-mara dan pihak ketiga.

"Kami mempertikaikan kuantiti dan penilaian yang diberi dalam sidang akhbar oleh pihak polis memandangkan ia bersifat subjektif dan tertakluk bila hadiah itu diberi," kata Najib dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook dan Twitter beliau pada Khamis.

Beliau menegaskan lagi, kebanyakan barangan itu adalah hadiah terkumpul selama beberapa dekad, dan keluarganya tidak mengetahui berapa banyak yang telah dibayar oleh pemberi yang telah menghadiahkan barangan itu.
Najib berkata sebarang penilaian berdasarkan harga runcit dan pada harga semasa adalah tidak realistik, mungkin terlalu tinggi, yang akan memberikan gambaran menyimpang kerana barang-barang itu diterima sebagai hadiah sepanjang tempoh berpuluh tahun.

Beliau memberikan contoh, polis dalam sidang akhbar menyatakan bahawa jam tangan paling mahal Rolex Daytona yang dikatakan bernilai RM3.4 juta.

"Barang yang dirujuk oleh polis itu merupakan hadiah yang diterima baru-baru ini bersama beberapa barang bernilai yang lain oleh Menteri Dalam Negeri, yang juga seorang putera raja dari negara Timur Tengah yang melawat Malaysia pada Mac tahun ini.

"Sepatutnya pihak polis menyatakan barangan serta item lain yang dirampas itu, diletakkan di dalam sebuah kotak yang tertera lambang diraja sebuah negara asing.

"Fakta ini tidak sepatutnya ditinggalkan," katanya.



Najib juga menegaskan banyak barangan yang disita terkandung di dalam kotak yang dilabelkan oleh staf beliau dengan keterangan, gambar, tarikh hadiah dan identiti si pemberi hadiah.

"Sekiranya polis memanggil anggota keluarga kami untuk soal siasat berhubung perkara ini, kami akan menawarkan kerjasama penuh. Kami juga akan mencuba yang terbaik membantu polis mengenal pasti mereka yang telah menyumbangkan hadiah itu selama beberapa dekad.

Beliau berkata sama seperti kenyataan mengenai hutang inflasi yang melampau, anggaran nilai barangan yang dirampas sengaja diperbesarkan bertujuan untuk membalas dendam serta merupakan serangan politik ke atas keluarganya.

Pada Rabu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata jumlah keseluruhan nilai barangan yang dirampas berkaitan dengan siasatan ke atas bekas perdana menteri antara RM900 juta dan RM1.1 bilion.

Rampasan itu membabitkan serbuan di enam premis milik Najib dan dua anaknya di Putrajaya dan Kuala Lumpur pada 16 dan 17 Mei.

-- BERNAMA
Share:

TIADA PENGESAHAN PDRM BARANG RAMPASAN BERNILAI RM900j MILIK NAJIB RAZAK



KUALA LUMPUR: Jumlah keseluruhan nilai barangan dirampas di kediaman berkaitan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ialah antara RM900 juta hingga RM1.1 bilion, kata Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh.

Dalam sidang akhbar sebentar tadi, beliau berkata, pada 21 Mei hingga 25 Jun lalu, JSJK sudah buat pengiraan dan pemeriksaan barang dirampas.

"Pengiraan dan pemeriksaan ambil masa lama kerana angka adalah besar.

"Lapan pasukan khas terdiri daripada pakar dan pegawai terbabit dalam pengiraan dan pemeriksaan membabitkan 150 anggota," katanya.

Beliau berkata, 25 beg daripada 72 beg mengandungi barang kemas seperti cincin, berlian, gelang dan subang yang keseluruhannya sebanyak 12,000 barang.

"Jumlah pasaran barang kemas yang dirampas berharga kira-kira RM880 juta.

"Cincin sebanyak 2,200 unit, subang 2,800 unit, broch 1,600 unit, tiara 14 unit.

"Barang paling berharga adalah seutas rantai emas white diamond berharga RM6.4 juta," katanya.
Amar Singh berkata, sebanyak 567 beg tangan membabitkan 37 jenama seperti Hermes, Prada dan Chanel berharga kira-kira RM51.3 juta.

Katanya, sebanyak enam beg mengandungi 423 utas jam tangan bernilai RM78 juta membabitkan lebih 100 jenama.
Share:

ECRL: Tidak tahan dikecam, Vincent Tan akhirnya jual saham beliau dalam T7.



KUALA LUMPUR, 27 Jun: Akibat mendapat tekanan yang terlalu kuat dari pelbagai pihak, cukong Berjaya, Vincent Tan akhirnya memutuskan untuk melepaskan semua kepentingannya yang berjumlah 21 juta saham dalam T7 Global Bhd ,  salah satu kontraktor untuk projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).
vincenttan_1530008409
(Gambar Vincent Tan dari NSTP)
Untuk rekod, spekulasi tersebar luas di media sosial mendakwa Vincent Tan membeli saham di syarikat T7, ketika nilai sahamnya jatuh pada 14 mei (30 sen seunit) , kerana tahu bahawa projek ECRL akan diteruskan kemudian oleh kerajaan.
Berikut merupakan kronologi penglibatan beliau dalam pembelian saham tersebut:
15 Mei:  21 juta saham ( atau 5.03%) melalui transaksi terus.
May 21: 1.2 juta saham melalui pasaran terbuka. Meningkatkan pegangan beliau dalam T7 kepada 22.2 juta saham atau 5.29%. (Pada masa yang sama, Lembaga Tabung Haji melepaskan kepentingannya dalam T7 dengan menjual 1 juta saham)

Damage Control: “Saya tidak tahu”

Vincent Tan  sebelum ini dikenali sebagai cukong yang rapat dengan perdana menteri, telah mengeluarkan satu kenyataan semalam, satu cubaan beliau untuk melakukan ‘damage control’.

Beliau mendakwa tidak tahu T7 merupakan kontraktor ECRL ketika beliau membeli saham syarikat tersebut.
“Saya tidak tahu yang T7 Global adalah salah satu kontraktor untuk projek ECRL apabila membeli saham syarikat itu.” – Vincent Tan
dr-evil-austin-powers-yeah-right-meme
Malah, beliau memetik Tun Mahathir menafikan dakwaan kerajaan memutuskan untuk meneruskan projek ECRL kerana dirinya terlibat ada kepentingan dalam T7.
“Perdana Menteri telah menafikan dakwaan bahawa kerajaannya telah memutuskan untuk tidak membatalkan projek ECRL kerana rakannya, Tan Sri Vincent Tan, mempunyai kepentingan dalam projek itu,” – Vincent Tan.
Sehari sebelum itu, Tun Mahathir juga  mengatakan  beliau tidak tahu tentang laporan mengenai penglibatan hartawan Tan Sri Vincent Tan dan T7 Global Bhd dalam projek Kereta Api Pantai Timur (ECRL).
“Saya tidak tahu mengenainya. Saya tidak boleh memberi komen. Anda harus bertanya kepada Vincent Tan,” – Tun Dr Mahathir
betul-ke-saya-apa-pun-tak-tau

Beli pada harga murah, jual pada harga mahal, tetap buat untung.

Biodata-Azrul-Azwar-Ahmad-Tajuddin
(Gambar Azrul Azwar Ahmad Tajudin, dari Berita Semasa)
Sementara itu, bekas  Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia,Azrul Azwar Ahmad Tajudin dalam satu hantaran di facebook beliau, mendakwa Vincent Tan masih mendapat keuntungan yang lumayan dengan penjualan saham T7 kerana membelinya pada harga yang murah kurang dari dua bulan lepas.
 He stands to pocket a handsome amount of gains with the resale/disposal of T7 Global shares after acquiring them at rock bottom prices in less than two months ago. Untung lah!- Azrul Azwar
Azrul juga turut mengajak rakyat supaya meneruskan mendesak sebagai salah-satu instrumen semak dan imbang berkesan dalam sistem pentadbiran negara, lebih-lebih lagi di era “Malaysia Baharu”.
Ini bukti jelas bahawa desakan orang ramai amat penting sebagai salah-satu instrumen semak dan imbang berkesan dalam sistem pentadbiran negara, lebih-lebih lagi di era “Malaysia Baharu”. Ayuh semua! Teruskan pemantauan dan suarakan pendirian anda demi Malaysia yang lebih baik. – Azrul Azwar
Untuk rekod, kerajaan melakukan U-turn dan memutuskan untuk meneruskan projek ECRL kerana sudahpun melakukan pembayaran sebanyak RM20 billion. Menurut menteri kewangan, Lim Guan Eng, adalah tidak masuk akal untuk membatalkan projek tersebut memandangkan bayaran besar telah dibuat.
Ketika kempen PRU 14, Tun Dr Mahathir menyatakan akan membatalkan projek ECRL sekiranya menang di Putrajaya jika mendapati ia tidak berdaya maju dan menguntungkan. Dr Mahathir berkata demikian dalam slot video secara langsung ‘Bicara Dasar: Pentadbiran dan Ekonomi’ disiarkan menerusi Facebook.  – TTKM-
Share:

Bantuan Nelayan Di hentikan Kerana Ia Satu Pembaziran - PM



Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini memberikan pendirian bercanggah dengan Menteri Pertanian Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub berkaitan bantuan bulanan kerajaan kepada nelayan.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam wawancara dengan Malay Mail hari ini berkata kerajaan berhasrat memansuhkan bantuan bulanan antara RM200 hingga RM300 kepada 57,000 nelayan.

Salahuddin dalam sidang media semalam pula menjamin kerajaan akan meneruskan bantuan itu.
Salahuddin ketika dihubungi Malaysiakini berkata beliau sedang mendapatkan penjelasan daripada Pejabat Perdana Menteri berkaitan perkara itu.
Mahathir dalam wawancara itu berkata Putrajaya tidak dapat mengekalkan dasar-dasar era BN kerana kekurangan dana.

Wang salah guna dana kerajaan
“Mereka mampu beri kerana ia wang curi. Atau ia disalah guna daripada dana-dana kerajaan, untuk menjadi popular di kalangan nelayan.

“Kita tidak boleh gunakan wang kerajaan untuk itu, untuk menjadi popular. Kita tiada wang curi untuk diberi pada mereka.

“Jadi kita terpaksa potong. Mereka hilang pendapatan tetap percuma. Kerana kita tidak dapat beri, mereka tidak akan gembira,” beliau dipetik sebagai berkata semalam.

Salahuddin, dalam sidang media selepas mesyuarat kabinet sebelum ini berkata, beliau menerima aduan nelayan bahawa elaun mereka tidak dimasukkan ke dalam bank.

Bagaimanapun, katanya, ini hanya kes terpencil susulan kemungkinan masalah teknikal dengan salah satu bank serta menjadi ia tidak akan dihentikan.

“Saya ingin nyatakan semua elaun sara hidup dah dideposit 11 Jun.
“Secara umum semua bantuan berkaitan bajet akan diteruskan seperti biasa. Rakyat tak usah bimbang bila tukar kerajaan elaun sara hidup dihentikan. Itu tidak berlaku,” katanya.

Katanya, jika ekonomi bertambah baik dan hutang negara dalam kawalan, insentif-insentif kepada rakyat akan disemak semula.

Bantuan kepada nelayan itu diberikan sejak 2008 bagi membantu mengurangkan kos sara hidup mereka.
Hanya nelayan yang turun ke laut sekurang-kurangnya 120 hari setahun layak mendapat bantuan itu.
Share:

Harga Petrol RON95 kekal RM2.20, bukan RM1.50 Seliter



Harga RON95 serta diesel kekal, masing-masing pada RM2.20 seliter dan RM2.18 seliter, sehingga akhir tahun ini, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Kerajaan telah memperuntukkan RM3 bilion subsidi untuk RON95 dan diesel, bagi memastikan harga bahan api ini diapungkan di pasaran.

"Jumlah itu (subsidi) boleh dikurangkan, bergantung kepada harga minyak tetapi saya tidak mahu memberikan angka kerana ia turun naik minggu demi minggu.

"Tetapi anggaran kami adalah RM3 bilion (subsidi) hingga akhir tahun," katanya, sambil menambah bahawa walaupun harga mungkin akan meningkat selepas ini, kerajaan berusaha untuk 'tidak menaikkan harga'.

Mengenai RON97 yang kini mencecah RM2.59 seliter, menteri itu berkata harga akan berdasarkan kepada pergerakan pasaran.

"RON97 tidak menjadi masalah, kerana ia digunakan kenderaan mewah," katanya.

- Bernama
Share:

Kit Siang pertahan Penipuan Guan Eng



PETALING JAYA: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, mempertahankan anaknya, Lim Guan Eng, berhubung tindakan Menteri Kewangan itu sendiri yang mendedahkan skandal pentadbiran kerajaan terdahulu.

Katanya, walaupun pendedahan itu akan memberi implikasi positif dan negatif, beliau percaya salah laku perlu didedahkan kepada umum.

"Saya fikir kita harus membincangkan semua kesalahan, skandal dan amalan rasuah kerajaan terdahulu. Perkara sebegitu tidak harus didiamkan," katanya pada sidang media mengumumkan aktivis masyarakat, Heidy Quah, 24, menyertai DAP di sini hari ini.

Beliau mengulas teguran Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Guan Eng, supaya bijak mengimbangi antara kepentingan meyakinkan pelabur asing dan tanggungjawab membongkar penipuan serta penyelewengan kerajaan terdahulu.

Anwar yang juga Ketua Umum PKR dan bekas menteri kewangan, mencadangkan supaya tanggungjawab membongkar salah laku itu diserahkan kepada menteri atau agensi lain.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP, sebelum ini mengumumkan kepada media, ada skandal besar lain membabitkan Kementerian Kewangan akan didedahkan tidak lama lagi.

Antara pendedahan dilakukan Guan Eng ialah bayaran daripada Bank Negara Malaysia dan Khazanah Nasional untuk memenuhi obligasi hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), serta projek saluran paip gas bernilai RM9.4 bilion yang dikendalikan oleh anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan.

Guan Eng dalam reaksi segera terhadap teguran itu, semalam, berkata beliau akan tetap mendedahkan perkara itu kepada umum sebelum menyerahkan skandal salah laku dan penyelewengan pentadbiran Barisan Nasional (BN) itu kepada menteri lain dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau dilaporkan berkata, semua pendedahan skandal kewangan terutama dalam isu 1MDB di media adalah atas arahan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Anwar sendiri sedia maklum perkara itu.

Mengulas lanjut, Kit Siang berkata, tidak salah mendedahkan salah laku itu, malah beliau sudah melakukannya sejak 52 tahun lalu.

"Menteri yang tahu mengenai sesuatu kesalahan, perlu dedahkan bagi mengelakkan daripada ditanya mengenai kenapa mereka tidak dedahkan sesuatu salah laku itu," katanya.

Dalam perkembangan lain, Kit Siang berkata Akta Antiberita Tidak Benar (AATB) 2018 perlu dimansuhkan kerana ia hanya melindungi skandal 1MDB.

"Saya menyokong undang-undang seperti itu, tetapi menentang pihak yang meluluskannya sebelum ini kerana tidak ada kepentingan untuk rakyat," katanya.

Pada sidang media sama yang turut dihadiri Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh, Kit Siang menerima sumbangan daripada Ervin Devadasan, 12, untuk disalurkan ke Tabung Harapan Malaysia.

Ervin menyimpan wang berkenaan kira-kira enam bulan lalu bagi membeli set dram tetapi kemudian mengubah fikiran untuk didermakan kepada tabung itu.

- Berita Harian -
Share:

Harga Kereta Dijangka Naik Selepas 1 September 2018 - Proton



BERMULA sekarang hingga Ogos 2018, angka jualan kenderaan dijangka meningkat susulan pengurangan kadar GST daripada 6 kepada sifar peratus. Ia juga didorong dengan pengenalan semula SST yang akan berkuatkuasa mulai 1 September depan.

Situasi ini agak berlainan daripada sebelum ini kerana kebiasaanya angka penjualan kenderaan akan menurun selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Abdul Rashid Musa, harga kenderaan dijangka naik selepas pengenalan SST mulai 1 September . Rentetan itu, orang ramai akan mengambil peluang untuk membeli kenderaan pada harga lebih murah sebelum SST dilaksanakan.

Pandangan itu turut dikongsikan oleh Presiden Persatuan Automotif Malaysia, Datuk Aishah Ahmad yang turut menyatakan harga kereta bakal naik mulai 1 September.

KADAR SST 10 PERATUS

Kadar SST yang bakal diperkenalkan semula akan kekal pada 10 peratus. Secara logiknya, pengenalan semula SST mungkin akan membuat harga kenderaan meningkat berbanding GST 6 peratus yang dikenakan sebelum ini. Ya, mengikut perkiraan secara kasar harga kenderaan pasti akan naik. Lagipun kenderaan termasuk dalam klasifikasi barangan mewah.

Namun, pengiraannya tidaklah semudah 10 tolak 6. Jika mahu memastikan harga kenderaan terus murah, Kerajaan perlu memastikan SST lebih rendah berbanding kadar GST. Dalam erti lain, kadar SST perlu di bawah 6 peratus.

Bagi anda yang masih tercari-cari kenderaan baharu, inilah masa terbaik untuk memilikinya pada harga lebih rendah. Tunggu apa lagi?

Sumber - https://pandulaju.com.my
Share:

GUAN ENG JANGAN KELUAR KENYATAAN MENIPU RAKYAT - DSAI



KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihati Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, supaya bijak mengimbangi antara kepentingan meyakinkan pelabur asing dan tanggungjawab membongkar penipuan serta penyelewengan kerajaan terdahulu.

Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) itu berkata, Guan Eng perlu berhati-hati apabila mengeluarkan sebarang kenyataan kerana ia akan digunakan sebagai rujukan oleh pelabur.

Anwar yang juga Ketua Umum PKR dan bekas menteri kewangan, turut mencadangkan supaya tanggungjawab membongkar salah laku itu diserahkan kepada menteri atau agensi lain.

"Saya ada bertemu dan memberitahu Lim Guan Eng bahawa jawatan Menteri Kewangan ini statusnya lebih sensitif.

"Setiap kenyataan (Menteri Kewangan) akan merujuk terus kepada pelabur," katanya dalam rakaman wawancara program terbitan Astro Awani, 'AI' yang akan disiarkan pada Khamis ini.

Anwar ditanya mengenai laporan terbaru oleh Moody's Investors Service yang menyatakan bahawa fasa peralihan kuasa ketika ini mencetuskan ketidaktentuan dasar yang dibimbangi penganalisis akan menyebabkan penarafan negatif terhadap ekonomi negara.

Keadaan itu sekali gus dilihat boleh menjejaskan keyakinan pelabur asing dalam pasaran modal Malaysia.

Anwar mengakui dalam senario semasa, menteri juga bertanggungjawab menyebut mengenai segala bentuk perjanjian dan membongkar penipuan dilakukan kerajaan sebelum ini.

Bagaimanapun, katanya, Guan Eng harus menyerahkan tugas melakukan pendedahan itu kepada menteri lain dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata, langkah itu juga membolehkan Guan Eng lebih fokus terhadap usaha mententeramkan serta meningkatkan keyakinan pelabur.

Beberapa hari lalu, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP, dilaporkan berkata ada skandal besar yang lain membabitkan Kementerian Kewangan akan didedahkan tidak lama lagi.

Agensi berita Singapura, Channel News Asia melaporkan Guan Eng berharap beliau akan dapat mendedahkan setiap skandal dalam tempoh 100 hari pertama kerajaan yang baharu.

Pendedahan yang sudah didedahkan Guan Eng termasuk bayaran daripada Bank Negara Malaysia dan Khazanah Nasional untuk memenuhi obligasi hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), serta projek saluran paip gas bernilai RM9.4 bilion yang dikendalikan oleh anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan.

- Berita Harian - 
Share:

"Papa dah lama rehat di penjara, sekarang masa untuk ambil kembali kuasa" - DSAI



KUALA LUMPUR: "Papa sudah lama berehat di penjara. Sekarang, kita kena terus kerja."
Itu jawapan Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada anak perempuannya, Nurul Nuha yang bertanya sama ada bapanya itu mahu berehat selepas dibebaskan daripada penjara.

Perbualan antara Anwar dan anak keduanya itu adalah antara babak dalam video pendek keluarga berkenaan sempena sambutan Aidilfitri yang dimuat naik di Facebook bekas Timbalan Perdana Menteri itu, hari ini.

Dalam video berdurasi kira-kira dua minit 30 saat itu, Anwar turut berpesan kepada Nurul Nuha bahawa mereka tidak boleh mensia-siakan sokongan rakyat dengan berehat dan memikirkan keselesaan diri.

"Orang tunggu, orang bagi amanah. Kalau kita tidak laksanakan, dokongan mereka itu sia-sia.
"Kalau kita fikir keselesaan kita, samalah macam rejim lama. Oleh itu, kita kena lakukan.

"Matlamatnya nak meringankan beban rakyat. Matlamatnya ialah untuk menjadikan demokrasi itu lebih bermakna bagi keselesaan rakyat.

"Kalau tidak, ia tidak ada apa-apa makna selain daripada kebebasan kita dan pemerintahan baharu. Kita teruskan sedikit sahaja lagi, mudah-mudahan Allah perkenankan, Insya-Allah," katanya sebelum mencium dahi anaknya.

Isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ibrahim yang juga Timbalan Perdana Menteri, kemudian muncul dan berkata, kemenangan PH itu tidak menjanjikan perjuangan mereka lebih mudah.

"Kita mesti lakukan semua (janji). Sebab apa? Kita nak mengisi kemenangan dan kalau boleh dengan sokongan rakyat, kita boleh melakukannya," katanya.

Anwar membalas dengan berkata: "Seperti mana kita lakukan selama ini, kita akan bersama. Susah atau senang," katanya sebelum ketiga-tiga mereka berpelukan.

Video itu kemudian disusuli dengan babak seluruh ahli keluarga Anwar makan malam bersama-sama, sebelum diakhiri dengan ucapan Aidilfitri kepada rakyat Malaysia dengan pesanan 'teruskan perjuangan'.

- BERITA HARIAN - 
Share:

Jangan Guna Alasan Hutang Untuk Tidak Tunai Janji



KUALA LUMPUR - Rakyat diharap dapat memahami keadaan ekonomi negara dibebani dengan hutang besar yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan baharu di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad berusaha sepenuhnya mengembalikan negara kepada landasan.

“Jadi kita harus terima kenyataan seperti Tun Mahathir memberitahu beberapa projek (menifesto) yang kita janji terpaksa ditangguhkan,” katanya.

Menurutnya, Pakatan Harapan (Harapan) membuat janji berdasarkan angka yang diberikan BN.
“Sekarang kita sudah menjadi kerajaan dan mendapati angka itu lebih buruk dari apa yang disebut.
“Sebab itulah unjuran kita kurang tepat,” katanya.

Beliau berkata, Harapan bersyukur dipilih menjadi kerajaan bagi menangani masalah hutang.
“Kita lihat kos projek adalah tinggi, sekiranya rundingan berjaya dibuat dengan pihak-pihak, sudah tentu kita mampu menyelamatkan berbilion ringgit,” katanya.

Menyentuh mengenai kerjasama yang diberikan terhadap Mahathir yang didakwa memenjarakannya, Anwar berkata, beliau seorang yang mudan memaafkan.

“Saya seorang yang mudah untuk memaafkan.
“Ini adalah masa untuk bekerja bersama- sama,” katanya.

Menurutnya, beliau tidak mengalami sebarang masalah melainkan isteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan anak-anaknya.

“Mereka sangat beremosi apabila kami banyak mengadakan rundingan secara serius, namun ianya sudah dijelaskan” katanya.

Ditanya adakah beliau akan kembali ke Parlimen lebih awal, Anwar berkata, perkara itu tidak akan berlaku.

“Jangan risau, tiada apa-apa perkara yang berlaku dalam tempoh dua tahun ini,” katanya.

Share:

5 Sebab Mengapa Zahida Zarik Khan Patut Jadi Ketua Puteri UMNO Malaysia



Apabila menyebut saja nama Zahida Zarik Khan, ramai yang mengenali beliau sebagai individu yang cantik memegang jawatan nombor dua di dalam organisasi Pergerakan Puteri UMNO Malaysia 2013 - 2018.



Ikuti 5 sebab mengapa tuan empunya nama ini wajar dipilih menjadi Ketua Puteri UMNO Malaysia untuk penggal seterusnya.

1. Kepimpinan - secara peribadi mengenali beliau, amat jarang melihat beliau memberi arahan dan membiarkan ahli-ahli bersendirian menjalankan agenda / tugasan sebaliknya beliau dilihat lebih gemar turut serta menjayakan sesuatu agenda / tugasan. Kepimpinan melalui kebersamaan ini amat baik kepada ahli untuk mewujudkan hubungan sama rata.




2. Penjawatan UMNO - ketika ini beliau menjawat jawatan selaku Ketua Puteri UMNO Bahagian Pandan, Naib Ketua Puteri UMNO Malaysia dan juga turut sama di dalam hierarki Majlis Tertinggi UMNO. Pendedahan yang beliau terima selama ini merupakan satu pengalaman terbaik mengurus tadbir sayap parti ini pada masa akan datang.

3. Penjawatan Korporat - dari bidang korporat, beliau memiliki penampilan dan kepujian semasa menjawat kedudukan sebagai Pengerusi Yayasan Pelajaran MARA dan juga Pengerusi MAEPS. Banyak pihak akui mudah berurusan dengan beliau bahkan dilihat gemar turun padang melihat persiapan program yang bakal diadakan.

4. Mesra - mudah didekati dan disenangi ramai sama ada kalangan ahli² UMNO atau tidak dan anak muda. Beliau tidak kekok mengulas pelbagai isu dan paling penting mesra dengan masyarakat walau dalam apa keadaan sekali pun terutama ketika berhadapan mangsa² bencana yang beremosi.


5. Bersederhana - perwatakan beliau yang bersederhana ini membuatkan banyak pihak mempercayai sifat anak muda ini untuk terus menjayakan objektif sayap parti ini. Dalam masa yang sama sifat rendah diri, lemah lembut ternyata disenangi rakan-rakan seperjuangan dan msyarakat luar khususnya.

“Saya ingin memastikan Puteri UMNO terus memperkukuhkan parti dan melakukan transformasi seiring dengan suasana politik ketika ini, khususnya dalam kalangan orang muda,”

- Zahida Zarik Khan

Share:

Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Agong, malam ini



KUALA LUMPUR: Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijadual menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Istana Negara, malam ini.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, ketika mengesahkan perkara itu berkata antara inti pati pertemuan berkenaan terarah kepada usaha merungkai kemelut pelantikan Peguam Negara baharu.

"Betul, Datuk Seri Anwar akan masuk menghadap baginda malam ini dan difahamkan ia berkisar mengenai polemik pelantikan Peguam Negara," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Isu pelantikan Peguam Negara menggantikan Tan Sri Mohamed Apandi Ali, yang ketika ini bercuti tanpa rekod selama 30 hari mulai 15 Mei lalu, tercetus apabila Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad, mengusulkan nama peguam veteran, Tommy Thomas, untuk pertimbangan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu.

Berdasarkan laporan portal The Malaysian Insight, Anwar berkata cadangan Dr Mahathir untuk melantik Thomas sebagai Peguam Negara perlu dihormati kerana ia 'prerogative' atau hak eksklusif Perdana Menteri.

"Kita semua tahu hak untuk memilih Peguam Negara tertakluk kepada bidang kuasa Perdana Menteri berlandaskan demokrasi berparlimen.

"Raja boleh mengutarakan pendapat dan nasihat untuk menangguhkan pelantikan ini buat sementara waktu bagi menjaga sentimen serta perasaan segelintir pihak yang ingin mempertahankan tanggungjawab kerajaan dalam memelihara adat Melayu.

"Kini kebijaksanaan dan pengalaman dalam merungkai kemelut ini diserahkan kepada Majlis Raja-Raja Melayu, kita harap ia berupaya diselesaikan dalam tempoh terdekat," katanya.

Anwar mengakui wujud kegusaran bahawa Peguam Negara yang dilantik dalam kalangan bukan Islam tidak boleh menasihati Raja Melayu mengenai hal ehwal syariah.

Katanya, keprihatinan itu turut disuarakan ketika diperkenan mengadap tujuh sultan yang masing-masing inginkan jaminan bahawa tiada tolak ansur dalam hal syariah dan kepentingan Melayu.
"Saya tidak menjangkakan isu ini akan berlanjutan, apatah lagi bertukar menjadi krisis.

"Pandangan masyarakat di bandar yang lebih liberal mungkin berbeza tetapi penduduk di pedalaman terutama Melayu mungkin mempunyai tanggapan berbeza.

"Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk mempertimbangkan semua pandangan ini," katanya.

- Berita Harian -
Share:

7 PEKARA INI KENAPA TOMMY THOMAS TIDAK LAYAK MENJADI PEGUAM NEGARA



Siapa Tommy Thomas ini ? Ini sejarah beliau :

1. Beliau tegas mengatakan bahawa "Malaysia is not an Islamic State" (The Malaysian Bar, 18 Nov 2005).

Kenapa kerajaan tegang dengan Istana ? Mana tidaknya sumpah agong itu sendiri adalah beliau akan memelihara agama Islam, sudah pasti beliau tidak akan lantik peguam negara yang akan merosakkan teras negara ini.

2. Beliau tidak boleh berbahasa Kebangsaan dengan fasih menurut MAPIM.

Peguam negara mestilah orang yang mampu menguasai bahasa Melayu dengan baik. Bagaimana belau akan menasihati YDPA jika beliau sendiri tidak boleh berbahasa Melayu dengan baik ?

3. Beliau adalah peguam kepada pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng. Di dalam buku beliau, pada tahun 2013 beliau mendesak Kerajaan Malaysia membenarkan mayat Chin Peng dibawa pulang dan ditanam di Malaysia.

Dalam buku yang sama juga, Chin Peng disifatkan sebagai “one of the great liberation fighters of the second half of the twentieth century” dan “a major contributor to Merdeka”.

Sungguh ironi bagaimana orang akan dilantik sebagai peguam negara itu adalah orang yang menyanjung tinggi musuh negara suatu ketika dahulu.

4. Beliau menyifatkan Dasar Ekonomi Baru dan Rukun Negara sebagai tiada asas dalam perlembagaan dan undang-undang (Anything But The Law, 2016)

Hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera yang sudah jelas termaktub di dalam perlembagaan sengaja diseleweng tafsirannya untuk kepentingan golongan hak sama rata.

5. Pada 1 Feb 2014, beliau pernah mempertikaikan kuasa raja-raja dalam krisis perlantikan menteri besar Selangor.

6. Beliau mempertikaikan keputusan Mahkamah dalam kes kalimah Allah (Malay Mail, 25 Okt 2013).

Ketika mana umat Islam berjuang mempertahankan kesucian kalimah Allah daripada menjadi permainan halus dakyah kristian, Tommy Thomas terus menjadi barisan hadapan yang mempertikaikan keputusan mahkamah pada ketika itu.

7.  Beliau adalah bekas peguam yang mewakili Lim Guan Eng, Menteri Kewangan sekarang dalam kes isu banglo yang disiasat oleh SPRM.

Jika Tommy Thomas menjadi Peguam Negara, ia akan bercanggah dengan prinsip keadilan sejagat.  Situasi ini membabitkan kepentingan Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan yang sedang menghadapi dua pertuduhan rasuah di mahkamah yang mana kuasa untuk meneruskan atau menghentikannya berada di dalam tangan Peguam Negara. Sudah tentu ini memungkinkan Tommy memihak kepada Lim Guan Eng.

-------------------------

Kesimpulannya, jawatan Peguam Negara perlu diisi daripada kalangan hakim-hakim dan peguam-peguam kanan yang cakna dan peduli kepada agama Islam dan Raja-raja, bukan hanya kepada prinsip undang-undang dan demokrasi yang selalunya sangat tertakluk kepada political will pemerintah.

Di dalam Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan Yang Di Pertuan Agong menaiki takhta dengan bersumpah dengan nama Allah antara lain memelihara agama Islam pada setiap masa. Ia menjadi tanggungjawab berperlembagaan bagi Yang Di Pertuan Agong memelihara Islam pada setiap masa.

Oleh itu setiap lantikan yang dibuat oleh Yang Di Pertuan Agong, orang yang dilantik itu mestilah berupaya antara lain memelihara Islam pada setiap masa.
Share:

Adakah Agong ‘Mesti’ Bertindak Mengikut Nasihat PM?



oleh: Dr.Fathi Yusof
3 Jun 2018

Sebahagian besar kuasa Yang Di-Pertua Agong (YDPA) perlu dijalankan dengan nasihat kabinet dan Perdana Menteri (PM). Dalam pelantikan Peguam Negara misalnya, Perkara 145(1) Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa YDPA, yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri perlu melantik seorang memenuhi kelayakan sebagai hakim Mahkamah Persekutuan, untuk menjadi Peguam Negara.

Soalnya, adakah YDPA tiada pilihan lain, melainkan mesti mengikut nasihat PM dalam pelantikan Peguam Negara? Perkara 40(1) dan (1A) menyebut keperluan YDPA bertindak mengikut nasihat kabinet dan PM, melainkan dalam beberapa perkara yang sepenuhnya dalam budibicara YDPA.

Peruntukan undang-undang ini perlu dibaca secara menyeluruh dengan melihat kedudukan YDPA sebagai Raja Pemerintah yang disebut sebagai Ketua Negara. Peranan, amanah dan kuasa YDPA dalam pelbagai urusan negara, seperti yang dinyatakan dalam banyak peruntukan Perlembagaan secara praktikalnya diterjemahkan sebagai satu pengiktirafan kedudukan Baginda yang mempunyai budi bicara selepas mendengar nasihat PM atau Kabinet.

Oleh itu, perkataan ‘nasihat’ adalah kekal dengan maksud ‘nasihat’, bukannya satu ketetapan yang mengikat YDPA. Nasihat sifatnya memberikan pandangan dan panduan, bukannya satu bentuk arahan. Penasihat bertanggungjawab untuk menyampaikan nasihat terbaikdengan maklumat yang tepat. Penerima nasihat yang berada pada kedudukan yang lebih tinggi akan menilai nasihat mengkut kebijaksanaan dan hikmahnya.

Hal ini dihuraikan dengan penuh jitu dan indah dalam ucapan DYMM Paduka Seri Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 5 Ogos 2017 di Putrajaya:

“Raja tidak harus rasa tertekan dan tidak semestinya memberikan perkenan jika nasihat yang disembahkan bercanggah dengan tuntutan syarak, menyimpang daripada semangat Perlembagaan, bertentangan dengan keluhuran undang-undang serta melanggar prinsip keadilan sejagat, hingga memungkinkan berlakunya penindasan dan kezaliman. Apabila Raja dirujuk, Duli-duli Baginda hendaklah memberikan pandangan secara bebas tanpa perasaan ragu atau pilih kasih; dan dalam perkara Raja perlu bertindak atas budi bicara, Duli-duli Baginda hendaklah menyempurnakannya dengan hikmah dan kebijaksanaan demi membuktikan Raja bersifat arif, adil lagi saksama, sebagai penimbangtara yang bebas kepada cabang-cabang legislatif, eksekutif dan kehakiman, demi memastikan terlaksana secara bermakna mekanisme semak dan imbang, sekali gus memperkukuhkan amalan demokrasi yang telus…”

Jadi dalam pelantikan Peguam Negara ini, PM berperanan menasihati berkenaan individu yang layak menduduki jawatan berkenaan, manakala YDPA mempunyai kuasa untuk menilai sama ada nasihat itu sesuai atau tidak untuk kepentingan Islam, semangat Perlembagaan dan keadilan sejagat. Dalam hal ini YDPA boleh mendapatkan pandangan Raja-raja Melayu lain. YDPA berhak menolak nasihat yang diberikan jika ia lebih mendatangkan keburukan. Lebih-lebih lagi Perkara 145(5) menyebut bahawa Peguam Negara memegang jawatan selama mana diperkenan oleh YDPA (…the Attorney General shall hold office during the pleasure of the Yang di-Pertuan Agong…).

Jika berlaku penolakan, maka PM bertanggungjawab untuk mencadangkan nama lain sesuai dengan hasrat YDPA. Bagi mengelakkan konflik dan kontroversi, proses ini sepatutnya berlaku secara tertutup dan tanpa sebarang pendedahan kepada media. Ia perlu dilaksanakan melalui jalan muafakat yang penuh dengan adab dan hemah. Penyelesaiannya harus segera dan cekap bagi mengurangkan spekulasi dan persepsi negatif. Apa yang penting institusi Istana perlu dihormati sesuai dengan semangat Perlembgaan dan prinsip rukun negara.

Kita sama-sama doakan isu berkaitan pelantikan Peguam Negara ini dapat diselesaikan dengan penuh harmoni dan mudah-mudahan individu yang dilantik itu benar-benar menghayati prinsip kejujuran, keadilan dan mampu membantu mengukuhkan kedudukan Islam di dalam negara.

Dr Muhammad Fathi Yusof adalah merupakan Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan)

Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur
Share:

Perdana Menteri mesti hormati institusi raja berperlembagaan - Anwar Ibrahim



KUALA LUMPUR: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mentadbir negara ketika ini menghormati institusi raja dan tidak mengikut telunjuk DAP seperti yang didakwa segelintir pihak.

Ketua Umum PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perkara itu turut dimaklumkan dalam beberapa pertemuannya dengan Raja Melayu dan kerabat diraja.

"Saya menjelaskan dakwaan Kerajaan PH tidak menghormati institusi raja itu hanyalah satu tuduhan liar.

"PH bukannya didalangi oleh DAP seperti yang didakwa dalam naratif Barisan Nasional (BN) sepanjang kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu," katanya seperti dilaporkan oleh The Malaysian Insight.

Pada kempen PRU-14, UMNO menggunakan DAP untuk menakut-nakutkan pengundi Melayu daripada memilih PH dengan dakwaan pakatan yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad itu sebenarnya ditunggang oleh Lim Kit Siang dan pemimpin DAP yang lain.

"Saya menjelaskan dasar kerajaan kepada baginda... jangan bimbang kerajaan ini bukan di bawah telunjuk DAP atau berusaha menghakis kuasa raja-raja.

"Kedudukan raja berperlembagaan tidak akan kurang kuasanya, itu yang saya jelaskan," katanya pada satu majlis Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) di Kajang, kelmarin.

Sejak keluar penjara dengan pengampunan penuh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Anwar setakat ini mengadap empat raja-raja Melayu dan kerabat diraja iaitu Johor, Pahang, Kelantan dan Johor.

Kunjungannya itu mencetuskan khabar angin kononnya beliau membelakangkan Dr Mahathir dan sengaja mendekati istana yang diketahui ada hubungan pasang surut dengan perdana menteri.

"Saya hendak tegaskan, tidak ada perbincangan sebegitu (untuk menggugat kedudukan Dr Mahathir) dengan raja-raja," katanya.

Anwar berkata, kunjungan beliau mengadap raja-raja Melayu dan kerabat diraja itu adalah atas jemputan istana dan tidak harus disalah tafsir, malah difitnah sebagai langkah politik untuk menggugat Dr Mahathir.

Katanya, sebagai anak Melayu dan anak Malaysia, yang faham mengenai kedudukan kerajaan raja berperlembagaan, beliau harus memenuhi jemputan itu, terutama selepas dibebaskan dari penjara dengan pengampunan Yang di-Pertuan Agong.

Anwar berkata, pertemuan pertama beliau adalah dengan Yang di-Pertuan Agong, 10 minit sebelum mesyuarat Majlis Pengampunan bermula pada 16 Mei lalu.

Selepas bebas, Anwar berkata, beliau menerima perintah mengadap daripada Sultan Johor.
Dalam pertemuan selama dua jam yang turut disertai anaknya, Nurul Izzah, Anwar berkata, mereka berbincang pelbagai perkara, yang banyak membantu PH sendiri.

"Pertama, isu kedudukan raja berperlembagaan. Adakah ia hendak dihakis? Saya tegaskan semua parti dalam PH sepakat mempertahankan kedudukan raja berperlembagaan.

"Kedua, baginda tanya, kenapa saya sokong Dr Mahathir? Saya kata dia berjasa, dia ada sumbangannya dan saya masa itu dalam penjara dan tidak bertanding.

"Perubahan pula harus aman. Kita mesti yakinkan rakyat bahawa kita bersatu dalam muafakat ini dan membolehkan Dr Mahathir dan Kabinet membuat keputusan yang berani dan tegas.

"Umpamanya, menyiasat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bukannya mudah. Dananya besar, pengaruhnya masih ada dalam kalangan pegawai kerajaan dan pegawai keselamatan," katanya.

Selepas Sultan Johor, Anwar berkata, beliau mengadap Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah; Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah.

"Pertemuan dengan Sultan Selangor sangat baik dan menggembirakan saya. Saya tegaskan kepada baginda, kita akan pastikan kedudukan agama Islam dan bahasa Melayu kekal dan saya akan bantu hal ini dalam pentadbiran Dr Mahathir," katanya.
Share:

Raja – Raja Melayu Tolak Cadangan Peguam Negara Baru



KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di katakan menolak cadangan nama yang diberikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mencalonkan mereka yang bukan Melayu dan Islam sebagai Peguam Negara.

Menurut portal The Malaysian Insight, Raja-Raja Melayu turut menyokong keputusan Yang di-Pertuan Agong untuk menolak cadangan nama tersebut.

“Sebaliknya, ada beberapa mesej dari Istana, meminta PH menggugurkan nama Thomas (dan) beberapa calon lain dikemukakan oleh Dr Mahathir termasuk seorang bekas hakim mahkamah tinggi dan seorang hakim Mahkamah Rayuan.

“Difahamkan Raja-Raja Melayu yang lain juga menyokong pendirian Yang Di-Pertuan Agong. Mereka dikatakan bertegas seorang peguam negara hendaklah seorang Melayu dan beragama Islam,” memetik laporan yang dikeluarkan oleh portal tersebut.

Perdana Menteri telah menulis kepada Agong memohon perkenan agar Peguam Negara, Mohamed Apandi Ali dipecat dan digantikan dengan Tommy yang dikatakan sebagai pakar perlembagaan, 10 hari lalu.

Namun sehingga kini surat tersebut tidak mendapat sebarang perkenan Seri Paduka Baginda.
Sementara itu penulis politik yang juga merupakan penyokong Tun Mahathir turut membidas mengenai isu tersebut.

“Tiada apa-apa dalam Perlembagaan Persekutuan yang mengatakan bukan Melayu dan bukan Muslim tidak boleh dilantik sebagai peguam negara,” tulisnya.

Beliau juga menulis pelantikan kabinet dan pegawai kanan kerajaan adalah budi bicara mutlak Perdana Menteri.

Ketua Media dan Komunikasi Majlis Penasihat Negara, Datuk A. Kadir Jasin turut menyentuh isu ini di blognya dengan menyatakan Perlembagaan Persekutuan jelas menggariskan batas kuasa raja berperlembagaan. – SuaraTV
Share:

Jom kenali Tommy Thomas, peguam yang Pakatan mahu jadikan Peguam Negara



Sebuah portal berita melaporkan semalam bahawa kerajaan telah mencadangkan Encik Tommy Thomas, seorang peguam berpengalaman untuk menjadi Peguam Negara.

Jika laporan ini benar, maka kami tidak bersetuju dengan cadangan tersebut atas sebab-sebab berikut:-


1. Encik Tommy Thomas merupakan bekas peguam yang mewakili YB Tuan Lim Guan Eng, Menteri Kewangan dalam kes isu banglo yang disiasat oleh SPRM. Apabila pihak AGC memfailkan permohonan menghina mahkamah ke atas YB Lim, Tommy Thomas telah bertindak bagi pihaknya. Baca:-

https://www.malaymail.com/s/1231201/guan-eng-to-set-aside-committal-proceeding-initiated-by-ag

2. Kes perbicaraan YB Lim masih belum selesai dan masih berjalan. Pihak pembelaan telah memaklumkan kepada mahkamah bahawa satu representasi untuk menggugurkan pertuduhan ke atas YB Lim akan dikemukakan kepada pihak AGC dalam masa terdekat. Baca:-

https://www.malaymail.com/s/1633123/guan-eng-to-apply-for-ag-to-drop-corruption-case

3. Jika Encik Tommy Thomas dilantik menjadi Peguam Negara, dan menerima permohonan representasi daripada YB Lim Guan Eng, ia akan terjumlah kepada ‘embarrassment’ dan konflik kepentingan kepada Encik Thomas kerana beliau perlu menimbangkan untuk menarik balik kes terhadap bekas anakguamnya di dalam kes yang mana beliau sendiri pernah terlibat menjadi peguam bertindak bagi pihak YB Lim.

4. Jika Encik Tommy Thomas menolak representasi tersebut dan meneruskan tindakan mendakwa YB Lim, ia juga akan menimbulkan konflik kerana beliau perlu mendakwa bekas anakguamnya sendiri. Either way, beliau akan berada dalam keadaan tidak selesa dan ini boleh mencemar dan mempengaruhi tindakannya sebagai seorang AG kelak.

5. Hubungan peguam-anakguam di antara Encik Tommy Thomas dan YB Lim juga tidak terbatas kepada kes banglo SPRM sahaja malah beliau juga merupakan peguam kepada kerajaan negeri Pulau Pinang apabila dilantik oleh YB Lim pada tahun 2013. Baca:-

https://limguaneng.com/index.php/2013/02/26/announcing-tommy-thomas-as-the-penang-state-governments-counsel-to-sue-the-election-commission-and-the-federal-government-encn/

6. Terlalu banyak konflik kepentingan akan wujud jika Encik Tommy Thomas dilantik menjadi AG. Kedudukan dan penglibatan Encik Tommy dalam kes-kes yang pernah diwakilinya sebelum ini khususnya kes banglo SPRM dan hubungannya dengan YB Lim sebagai anakguam beliau dikhuatiri akan menjejaskan dan meletakkan pejabat Peguam Negara dalam keadaan tidak menyenangkan dan boleh membawa persepsi negatif kepada masyarakat.

7. Kami tidak mempersoalkan tentang kelayakan dan pengalaman yang dimiliki oleh Encik Tommy Thomas namun peranan dan penglibatan Encik Tommy dan memandangkan situasi kes YB Lim yang masih belum selesai serta mengambil kira hubungkait kes ini dengan pejabat Peguam Negara, adalah lebih elok pelantikan Encik Tommy Thomas ditangguhkan sehingga isu ini diselesaikan dahulu.

Like FB 🔴 JUMPA KAT MAHKAMAH sekarang untuk informasi terkini berkaitan isu undang-undang dan hak anda serta ajukan sebarang persoalan & masalah berkaitan undang-undang kepada kami 👨🏻‍⚖️🏛👩🏻‍⚖️

#JumpaKatMahkamah #SeeYouinCourtSayang #KnowYourRights #MalaysianLaw #AskYourLawyer

Sumber - http://thekl-chronicle.blogspot.com/2018/06/jom-kenali-tommy-thomas-peguam-yang.html?m=1
Share:

Popular Posts

Recent Posts

Powered by Blogger.

Blog Archive

Categories

Blog Menarik

Blog Archive