1MDB: Takut Kalah, Tommy tarik diri daripada kes menentang Najib



KUALA LUMPUR 31 Ogos – Peguam Negara, Tommy Thomas menarik diri daripada menjadi ketua pasukan pendakwaan dalam kes menentang bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan pendakwaan berkaitan 1Malaysia Development Bhd. (1MDB). 

Beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini menyatakan telah melantik penggantinya iaitu peguam, Datuk Sulaiman Abdullah untuk mengetuai pasukan pendakwaan berkenaan dan melantik Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwaraya Kanan di bawah Seksyen 376(3) Kanun Tatacara Jenayah.

Tommy memberitahu, penarikan diri daripada pasukan itu disebabkan oleh komitmen yang terlalu berat sebagai Peguam Negara dan juga pendakwa raya selain pelbagai tuntutan lain selaku pegawai undang-undang utama dalam kerajaan.

Sebelum ini, katanya, beliau telah pun membuat persediaan untuk mengendalikan perbicaraan untuk menentang Najib iaitu selama lapan minggu yang telah ditetapkan bermula pada 12 Februari 2019 dan berakhir pada 29 Mac 2019.

“Sulaiman merupakan salah seorang peguam terkemuka negara yang berpengalaman luas dalam undang-undang jenayah termasuk jenayah kolar putih. Kemahirannya tiada tolok bandingnya dan kebijaksanaannya tiada saingannya. Sulaiman berintegriti tinggi dan sesungguhnya merupakan seorang peguam yang berprinsip,” katanya.

Tommy memegang jawatan Peguam Negara dan telah menjadi ketua pasukan pendakwaan menentang Najib selama tiga bulan. -UTUSAN ONLINE
Share:

Pro Anwar mahu BR1M diteruskan, Tun M kata mansuh



GEORGETOWN: Selepas mencetuskan kontroversi kerana mendakwa Tun Dr Mahathir cuba menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani hari ini mahu Bantuan Sara Hidup (BSH) atau Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) diteruskan.

Abdullah berkata, keputusan kerajaan yang mahu mengurangkan seterusnya memansuhkan BR1M, adalah satu pengkhianatan kepada rakyat yang memilih mandat baharu pada pilihan raya lalu.

“Kita tidak boleh khianat manifesto kerana ini adalah janji kita kepada rakyat.

“Kalau nak mansuhkan juga, kos sara hidup seperti minyak dan sebagainya harus turun, baru seimbang,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, malam ini.

Terdahulu, Abdullah yang juga calon Majlis Pimpinan Pusat PKR menyampaikan ucapan pada Majlis Reformasi 20 Tahun Pulau Pinang.

Dr Mahathir dalam kenyataannya semalam dilaporkan berkata, BR1M akan dikurangkan sedikit demi sedikit sebelum dihapuskan dalam masa terdekat.

Mengulas lanjut, Abdullah berkata, beliau akan menentang pemansuhan BR1M dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan menindas rakyat.

Ditanya adakah kritikan berkenaan ditujukan kepada pemimpin tertentu, katanya, beliau menentang sesiapa yang bersetuju dengan pemansuhan BR1M.

“Sesiapa yang bersetuju (dengan cadangan mansuh BR1M), itu yang saya tujukan. Tidak kira saiz atau pangkat mereka,” katanya.

Abdullah sebelum ini mendakwa Dr Mahathir dan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin mendalangi konspirasi untuk menghalang Anwar daripada menjadi Perdana Menteri dan mendapat kerjasama Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau bagaimanapun memohon maaf secara terbuka dan menghantar surat kepada Dr Mahathir pada minggu lalu.
Share:

SURAT TERBUKA BUAT KHAIRY JAMALUDDIN



Catatan Buat Khairy Jamaluddin
1. Saudara salah seorang Ahli Parlimen yang berbakat dan berilmu namun ia bukan bermakna saudara betul segalanya.

2. Dalam hidup berorganisasi dan berjemaah, kita kena ada tolak ansur dan berhemah sesama sahabat perjuangan.

3. Adakala kita tidak setuju, tapi kita diamkan sahaja. Adakala kita rasa perlu bercakap, kita gunalah bahasa yang lunak dan baik sesama sahabat.

4. Memang perit bila hilang jawatan dalam kerajaan dan kemudian kalah dalam pemilihan parti. Namun hidup ini perlu diteruskan.

5. Soalnya bagaimana kita hendak meneruskan hidup ini? Dengan cara marah-marah, kasar dan ego meninggi atau menjadi manusia yang sedar setiap orang ada kelemahan dan kelebihan.

6. Hidup sebagai pembangkang di negara yang dipenuhi pelbagai agama, bangsa, suku kaum, kenegerian dan kedaerahan tidak memerlukan satu naratif tunggal untuk menang pilihan raya.

7. Pakatan Harapan dulu menang pilihan raya kerana mereka meraikan pelbagai pendapat dan perbezaan tanpa menyanggah sesama parti.

8. Kita perlukan pelbagai naratif untuk menghasut pelbagai segmen masyarakat yang mempunyai tahap pemikiran dan persepektif yang berbeza.

9. Dalam Pakatan dulu ada orang seperti Siti Kasim, Syed Sadiq, Rafizi Ramli, Che Gu Bard, Mohd Sabu, Lim Guan Eng, Nga Kor Ming dan Hew Kuan Yau.

10. Mereka ini menarik penyokong dan pengikut dari segmen berlainan.

11. Suatu ketika semua orang takjub dengan pengundi Amerika Syarikat memilih orang kulit hitam sebagai Presiden. Konon inilah keterbukaan alaf baru dan naratif baru politik seluruh dunia.

12. Namun naratif itu tidak kekal lama. Amerika Syarikat kemudiannya menobatkan Donald Trump dengan idea “white supremacy” sebagai Presiden US. Naratif politik sentiasa berubah mengikut keadaan dan situasi.

13. Memang kita perlukan naratif utama untuk menang pilihan raya seperti mana Pakatan ada isu GST, 1MDB dan PTPTN.

14. Tapi itu naratif masa depan berdekatan pilihan raya, hari ini kita perlu wujudkan pemimpin-pemimpin kecil yang memenuhi pelbagai dimensi ketidak puasan hati rakyat yang pelbagai.

15. Dalam politik Malaysia, naratif yang nampak cantik belum tentu menjamin kemenangan dalam pilihan raya.

16. Kita memerlukan sub-sub sektor penentang kerajaan yang bergerak secara gerila dari semasa ke semasa membentuk persepsi rakyat. Apabila semua ini berkumpul nanti barulah ada gerakan besar untuk memenangi pilihan raya.

17. Saya juga tidak bersetuju saranan saudara keluar dari UMNO. Saudara adalah sebahagian aset UMNO hari ini walau banyak kepincangan pemuda di bawah saudara dahulu.

18. Cuma janganlah menggunakan keadaan sekarang untuk memaksa parti memecat saudara.

19. Cukup-cukuplah menjadi enau dalam belukar. Belajarlah menjadi sumur untuk UMNO.

Penulis -
Ab Jalil Backer
Share:

Pelan untuk hadkan tempoh PM mungkin tangguh, Anwar belum layak dari PM



Pelan untuk mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada dua penggal mungkin ditangguhkan kerana ia memerlukan pindaan perlembagaan yang menghendaki sokongan dua pertiga anggota parlimen, maklum Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ini katanya antara pembaharuan yang perlu ditangguhkan sehingga Pakatan Harapan (HARAPAN) mendapatkan sokongan mencukupi di parlimen.

"Satu perkara yang tak mungkin kita lakukan ialah perkara-perkara yang perlu pindaan perlembagaan ini tak dapat dilakukan kerana kita tak punyai dua pertiga ahli dalam parlimen
.
"Tetapi berkenaan perkara-perkara tertentu, jika kita dapati kelakuan dari parti lawan bahawa mereka akan sokong dan memberi sokongan dua pertiga kepada pindaan, barulah kita akan buat tindakan-tindakan yang perlu kelulusan dua pertiga daripada parlimen," kata beliau kepada pemberita pada sidang akhybar selepas mempengerusikan mesyuarat khas kabinet mengenai antirasuah awal hari ini.

Menyebut had tempoh jawatan perdana menteri sebagai contoh, Mahathir berkata beliau akan berbincang dengan parti pembangkang tidak lama lagi.

PM akan bincang dengan pembangkang
"Misalnya, apabila kami kata kami mahukan perdana menteri memegang jawatannya selama satu penggal sahaja, kami perlu memiliki kuasa tertentu di parlimen. Beberapa perkara itu memerlukan pindaan perlembagaan.

"Ini antara punca yang menyebabkan kami terpaksa menangguhkan (janji ini) sehinggalah kami mendapat sokongan yang mencukupi," katanya.

Ketika ditanya wartawan jika HARAPANH akan membincangkan dengan parti pembangkang mengenai cadangan pindaan berkenaan, Mahathir berkata: "Kami telah memutuskan hal tersebut sebentar tadi. Selepas ini, saya akan berbincang dengan pihak pembangkang."

Antara janji manifesto HARAPAN pada PRU14 lalu adalah mengehadkan tempoh memegang jawatan perdana menteri selama dua penggal sahaja dan perdana menteri tidak boleh menjawat portfolio menteri kewangan.
Share:

Wang GST RM19 Bilion tidak 'DIROMPAK' cuma Jumlah penuh keperluan Tabung Amanah GST belum dipindahkan


JKDM laporkan kekurangan RM19.4 bilion - T. SUBROMANIAM

PUTRAJAYA 10 Ogos - Tabung Amanah bayaran balik cukai barang dan perkhidmatan (GST) mengalami kekurangan RM19.4 bilion berikutan hanya RM63.5 bilion daripada RM82.9 bilion keperluannya telah dipindahkan ke tabung itu daripada Kumpulan Wang Bersatu Kerajaan Persekutuan.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri T. Subromaniam berkata, keperluan bayaran balik GST sebanyak RM82.9 bilion bagi tempoh dari 1 April 2015 sehingga 31 Mei 2018 itu telah dilaporkan dalam Mesyuarat Tabung Amanah Bulanan yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Perbendaharaan namun jumlah penuh tidak dipindahkan.

"Daripada keperluan pembayaran balik GST sebanyak RM82.9 bilion yang telah dilaporkan, hanya RM63.5 bilion pembayaran balik GST telah dibayar melalui Tabung Amanah bagi sepanjang tempoh yang sama. 

"JKDM (Jabatan Kastam Diraja Malaysia) ada menuntut RM82.9 bilion daripada Mesyuarat Tabung Amanah Bulanan ini untuk tujuan pembayaran balik GST dalam tempoh 1 April 2015 sehingga 31 Mei 2018 tetapi jumlah penuh tidak dipindahkan ke Tabung Amanah.

"Oleh itu, pada 31 Mei 2018, Tabung Amanah masih memerlukan dan mengalami kekurangan untuk membayar tunggakan bayaran balik cukai GST sebanyak RM19.4 bilion," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Ujar beliau, semua kutipan GST dimasukkan dalam Kumpulan Wang Bersatu Kerajaan Persekutuan yang kemudiannya akan dipindahkan kepada Tabung Amanah untuk membolehkan pembayaran balik GST dapat dilaksanakan.

Kelmarin, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pemansuhan) dalam sidang Dewan Rakyat mendakwa bahawa wang bayaran balik GST berjumlah RM19.4 bilion telah hilang akibat 'dirompak' di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Menjawab dakwaan berkenaan, bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam berkata, wang bayaran balik GST itu tidak hilang, sebaliknya digunakan untuk tujuan pembangunan. 

Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar semalam turut menyatakan wang tersebut tidak hilang kerana kutipan GST perlu dimasukkan dahulu ke dalam Kumpulan Wang Disatukan dan keperluan dana yang dimasukkan ke Tabung Amanah dibuat berdasarkan Mesyuarat Pengurusan Aliran Tunai Kerajaan Persekutuan yang diadakan setiap bulan. - UTUSAN ONLINE
Share:

MENTERI TAK TAHU KIRA, TIADA WANG BAYARAN BALIK GST YANG HILANG



PUTRAJAYA 9 Ogos - Tidak berlaku kehilangan wang daripada Tabung Amanah Bayaran balik cukai barang dan perkhidmatan (GST) kerana kesemua kutipan perlu dimasukkan dahulu ke dalam Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Persekutuan.

Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Siregar Abdullah berkata, daripada segi prosedur, keperluan dana untuk dimasukkan tabung bayaran balik GST hanya dibuat selepas Mesyuarat Pengurusan Aliran Tunai Kerajaan Persekutuan yang diadakan setiap bulan.

Katanya, berdasarkan keperluan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, hasil audit terhadap tuntutan bayaran balik dan kedudukan hasil kerajaan, mesyuarat akan membuat keputusan untuk jumlah bayaran balik yang dimasukkan dalam tabung amanah berkenaan.

“Setiap sen dikira, ia adalah duit rakyat, lebih penting ia berada dalam Kumpulan Wang Disatukan, kemudian bila diperlukan, ia akan dikeluarkan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau mengeluarkan kenyataan bagi menafikan pendedahan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng semalam mengenai berlaku kekurangan RM18 bilion dalam Tabung Amanah Bayaran Balik GST dan mendakwa pentadbiran terdahulu menyalahgunakan wang tersebut.

Kelmarin, Guan Eng juga telah mendakwa bayaran balik GST tertangguh sehingga dua tahun kerana pentadbiran terdahulu telah ‘merompaknya’. - UTUSAN ONLINE
Share:

Suri rumah bakal terima sumbangan RM40 cukup untuk belanja sebulan



KUALA LUMPUR 8 Ogos- Surirumah yang berdaftar di bawah program sukarela Insentif Suri dengan kerjasama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bakal menerima sumbangan daripada kerajaan sebanyak RM40 sebulan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, program fasa satu itu melibatkan golongan suri rumah yang terdiri daripada isteri kepada ketua isi rumah, ibu tunggal dan balu yang berdaftar dengan e-Kasih yang hanya perlu menyimpan paling minimum sebanyak RM5 dalam akaun KWSP masing-masing.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, kerajaan kemudian akan menaikkan sumbangan tersebut kepada RM50 dalam fasa kedua yang mana tambahan RM10 itu akan disumbangkan menerusi akaun Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Tetapi memandangkan perlindungan di bawah Perkeso tidak melibatkan suri rumah, ia memerlukan perubahan dari segi undang-undang bagi menjayakan fasa kedua, sama juga dengan fasa ketiga yang mana dua peratus gaji pihak suami akan disumbangkan ke akaun KWSP pihak isteri tetapi fasa ini memerlukan masa kerana kerajaan perlu meminda Akta KWSP 1991 terlebih dahulu.

“Insentif Suri juga merupakan sebahagian daripada janji Pakatan Harapan 100 hari, Alhamdulillah kita dapat melaksanakannya dalam tempoh yang ditetapkan, diharap kita dapat melihat lebih ramai wanita di negara ini menerima perlindungan sosial dan sekuriti untuk masa depan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan skim KWSP untuk suri rumah sempena Persidangan Sekuriti Sosial Antarabangsa 2018 di sini, hari ini.-UTUSAN ONLINE
Share:

'Cinta pertama, cinta abadi'



KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, tegas mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Katanya, kerusi berkenaan mempunyai memori tersendiri dan dianggap sebagai 'cinta abadi'.
"Cinta pertama dan kedua saya ialah Parlimen Lembah Pantai, namun Permatang Pauh adalah cinta abadi saya.

"Saya sangat komited (di Permatang Pauh). Saya ada banyak agenda untuk dilaksanakan di sana dan akan kekal di Permatang Pauh hingga akhir tempoh penggal Parlimen," katanya kepada media di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau ditanya sama ada sedia memberi laluan kepada bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk menduduki kerusi yang pernah diwakili pemimpin PKR itu.

Semalam, Anwar diisytihar menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR, sekali gus membuka ruang untuk Pakatan Harapan (PH) meneruskan pelan melantiknya sebagai Perdana Menteri.

Anwar mendapat pengampunan diraja, baru-baru ini, sekali gus boleh bertanding pada pilihan raya untuk menjadi Ahli Parlimen dan seterusnya diangkat sebagai Perdana Menteri kelapan.

Isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, turut mengesahkan akan mempertahankan kedudukannya sebagai Ahli Parlimen Pandan, selain mahu mengekalkan semua jawatan dalam Kabinet.

Selain menjadi Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah turut memegang portfolio Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Share:

PAKATAN HARAPAN TIDAK SETUJU WUJUDKAN KERETA NASIONAL KE-3



Rafizi Ramli menegaskan Pakatan Harapan telah berjanji menghapuskan cukai eksais bagi menurunkan harga kereta, bukan berusaha mewujudkan perusahaan kereta nasional ketiga.

Naib presiden PKR berkata, sejak Buku Jingga ditulis dalam tahun 2010, komitmen menghapuskan duti eksais kereta, yang dilihat mereka sangat membebankan, tidak pernah berubah.

“Platform dasar yang mahu menghapuskan cukai eksais demi menurunkan harga kereta ini tidak pernah berubah selepas Pakatan Harapan ditubuhkan.

“Tidak ada mana-mana bahagian di dalam kempen Pakatan Harapan atau manifesto Pakatan Harapan yang menyelitkan usaha mewujudkan perusahaan kereta nasional yang ketiga,” katanya.

Buku Jingga dipersetujui oleh Pakatan Rakyat, pendahulu Pakatan Harapan, antara PKR, DAP dan PAS.

Tempat PAS kemudian diganti oleh serpihannya Parti Amanah Negara (AMANAH) dalam gabungan baru.

Menteri Pembangunan Usahawan Mohd Redzuan Yusof, kelmarin berkata, kerajaan sedia melancarkan “projek kereta nasional 3.0” menjelang 2020 seperti dibayangkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Redzuan berkata kerajaan percaya langkah itu akan mencergaskan kembali industri automotif negara dan berpotensi besar.

Dalam kenyataan hari ini, Rafizi menegaskan, cukai eksais banyak dikaitkan dengan usaha melindungi kereta-kereta nasional yang akhirnya menyebabkan harga kereta lebih mahal berbanding negara-negara lain.

Beliau justeru membangkitkan sama ada idea untuk menubuhkan perusahaan kereta nasional yang ketiga akan mendatangkan kesan kewangan yang besar kepada rakyat.
Berikut tiga persoalan yang dibangkitkan Rafizi:
  • Berapa pelaburan yang perlu dibuat menggunakan dana awam?
  • Badan kerajaan mana yang akan mengambil tanggungjawab melaksanakan projek ini?
  • Adakah kerajaan berhasrat menghapuskan cukai eksais untuk mengurangkan harga kereta, apabila kereta nasional ketiga dilancarkan?
Share:

ANWAR AKAN TANDING PARLIMEN UNTUK MENJADI PERDANA MENTERI KE-8



KUALA LUMPUR
: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang baru diangkat semalam akan bertanding merebut kerusi ahli Parlimen.

Pengesahan ini dibuat isterinya yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

"Anwar akan bertanding kerusi Parlimen.
"Bagaimanapun, Parlimen mana-mana itu terpulang," katanya ringkas ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Walau bagaimanapun, tegasnya, semua jawatan yang digalasnya tidak akan dilepaskan bagi memberi laluan kepada suaminya.

"Memang tidak. Insya-Allah (akan kekalkan jawatan semua jawatan termasuk sebagai Ahli Parlimen Pandan," ujarnya.

"Pelantikan Anwar (Presiden PKR) Alhamdulillah," ujarnya.

Semalam, Anwar menang tanpa bertanding bagi kerusi presiden PKR selepas tempoh pencalonan ditutup jam 5 petang.

Anwar menang bagi jawatan presiden kerana tiada individu lain yang mencabar beliau.
Share:

Popular Posts

Recent Posts

Powered by Blogger.

Categories

Blog Menarik