5 Sebab Mengapa Zahida Zarik Khan Patut Jadi Ketua Puteri UMNO Malaysia



Apabila menyebut saja nama Zahida Zarik Khan, ramai yang mengenali beliau sebagai individu yang cantik memegang jawatan nombor dua di dalam organisasi Pergerakan Puteri UMNO Malaysia 2013 - 2018.



Ikuti 5 sebab mengapa tuan empunya nama ini wajar dipilih menjadi Ketua Puteri UMNO Malaysia untuk penggal seterusnya.

1. Kepimpinan - secara peribadi mengenali beliau, amat jarang melihat beliau memberi arahan dan membiarkan ahli-ahli bersendirian menjalankan agenda / tugasan sebaliknya beliau dilihat lebih gemar turut serta menjayakan sesuatu agenda / tugasan. Kepimpinan melalui kebersamaan ini amat baik kepada ahli untuk mewujudkan hubungan sama rata.




2. Penjawatan UMNO - ketika ini beliau menjawat jawatan selaku Ketua Puteri UMNO Bahagian Pandan, Naib Ketua Puteri UMNO Malaysia dan juga turut sama di dalam hierarki Majlis Tertinggi UMNO. Pendedahan yang beliau terima selama ini merupakan satu pengalaman terbaik mengurus tadbir sayap parti ini pada masa akan datang.

3. Penjawatan Korporat - dari bidang korporat, beliau memiliki penampilan dan kepujian semasa menjawat kedudukan sebagai Pengerusi Yayasan Pelajaran MARA dan juga Pengerusi MAEPS. Banyak pihak akui mudah berurusan dengan beliau bahkan dilihat gemar turun padang melihat persiapan program yang bakal diadakan.

4. Mesra - mudah didekati dan disenangi ramai sama ada kalangan ahli² UMNO atau tidak dan anak muda. Beliau tidak kekok mengulas pelbagai isu dan paling penting mesra dengan masyarakat walau dalam apa keadaan sekali pun terutama ketika berhadapan mangsa² bencana yang beremosi.


5. Bersederhana - perwatakan beliau yang bersederhana ini membuatkan banyak pihak mempercayai sifat anak muda ini untuk terus menjayakan objektif sayap parti ini. Dalam masa yang sama sifat rendah diri, lemah lembut ternyata disenangi rakan-rakan seperjuangan dan msyarakat luar khususnya.

“Saya ingin memastikan Puteri UMNO terus memperkukuhkan parti dan melakukan transformasi seiring dengan suasana politik ketika ini, khususnya dalam kalangan orang muda,”

- Zahida Zarik Khan

Share:

Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Agong, malam ini



KUALA LUMPUR: Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijadual menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Istana Negara, malam ini.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, ketika mengesahkan perkara itu berkata antara inti pati pertemuan berkenaan terarah kepada usaha merungkai kemelut pelantikan Peguam Negara baharu.

"Betul, Datuk Seri Anwar akan masuk menghadap baginda malam ini dan difahamkan ia berkisar mengenai polemik pelantikan Peguam Negara," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Isu pelantikan Peguam Negara menggantikan Tan Sri Mohamed Apandi Ali, yang ketika ini bercuti tanpa rekod selama 30 hari mulai 15 Mei lalu, tercetus apabila Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad, mengusulkan nama peguam veteran, Tommy Thomas, untuk pertimbangan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu.

Berdasarkan laporan portal The Malaysian Insight, Anwar berkata cadangan Dr Mahathir untuk melantik Thomas sebagai Peguam Negara perlu dihormati kerana ia 'prerogative' atau hak eksklusif Perdana Menteri.

"Kita semua tahu hak untuk memilih Peguam Negara tertakluk kepada bidang kuasa Perdana Menteri berlandaskan demokrasi berparlimen.

"Raja boleh mengutarakan pendapat dan nasihat untuk menangguhkan pelantikan ini buat sementara waktu bagi menjaga sentimen serta perasaan segelintir pihak yang ingin mempertahankan tanggungjawab kerajaan dalam memelihara adat Melayu.

"Kini kebijaksanaan dan pengalaman dalam merungkai kemelut ini diserahkan kepada Majlis Raja-Raja Melayu, kita harap ia berupaya diselesaikan dalam tempoh terdekat," katanya.

Anwar mengakui wujud kegusaran bahawa Peguam Negara yang dilantik dalam kalangan bukan Islam tidak boleh menasihati Raja Melayu mengenai hal ehwal syariah.

Katanya, keprihatinan itu turut disuarakan ketika diperkenan mengadap tujuh sultan yang masing-masing inginkan jaminan bahawa tiada tolak ansur dalam hal syariah dan kepentingan Melayu.
"Saya tidak menjangkakan isu ini akan berlanjutan, apatah lagi bertukar menjadi krisis.

"Pandangan masyarakat di bandar yang lebih liberal mungkin berbeza tetapi penduduk di pedalaman terutama Melayu mungkin mempunyai tanggapan berbeza.

"Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk mempertimbangkan semua pandangan ini," katanya.

- Berita Harian -
Share:

7 PEKARA INI KENAPA TOMMY THOMAS TIDAK LAYAK MENJADI PEGUAM NEGARA



Siapa Tommy Thomas ini ? Ini sejarah beliau :

1. Beliau tegas mengatakan bahawa "Malaysia is not an Islamic State" (The Malaysian Bar, 18 Nov 2005).

Kenapa kerajaan tegang dengan Istana ? Mana tidaknya sumpah agong itu sendiri adalah beliau akan memelihara agama Islam, sudah pasti beliau tidak akan lantik peguam negara yang akan merosakkan teras negara ini.

2. Beliau tidak boleh berbahasa Kebangsaan dengan fasih menurut MAPIM.

Peguam negara mestilah orang yang mampu menguasai bahasa Melayu dengan baik. Bagaimana belau akan menasihati YDPA jika beliau sendiri tidak boleh berbahasa Melayu dengan baik ?

3. Beliau adalah peguam kepada pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng. Di dalam buku beliau, pada tahun 2013 beliau mendesak Kerajaan Malaysia membenarkan mayat Chin Peng dibawa pulang dan ditanam di Malaysia.

Dalam buku yang sama juga, Chin Peng disifatkan sebagai “one of the great liberation fighters of the second half of the twentieth century” dan “a major contributor to Merdeka”.

Sungguh ironi bagaimana orang akan dilantik sebagai peguam negara itu adalah orang yang menyanjung tinggi musuh negara suatu ketika dahulu.

4. Beliau menyifatkan Dasar Ekonomi Baru dan Rukun Negara sebagai tiada asas dalam perlembagaan dan undang-undang (Anything But The Law, 2016)

Hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera yang sudah jelas termaktub di dalam perlembagaan sengaja diseleweng tafsirannya untuk kepentingan golongan hak sama rata.

5. Pada 1 Feb 2014, beliau pernah mempertikaikan kuasa raja-raja dalam krisis perlantikan menteri besar Selangor.

6. Beliau mempertikaikan keputusan Mahkamah dalam kes kalimah Allah (Malay Mail, 25 Okt 2013).

Ketika mana umat Islam berjuang mempertahankan kesucian kalimah Allah daripada menjadi permainan halus dakyah kristian, Tommy Thomas terus menjadi barisan hadapan yang mempertikaikan keputusan mahkamah pada ketika itu.

7.  Beliau adalah bekas peguam yang mewakili Lim Guan Eng, Menteri Kewangan sekarang dalam kes isu banglo yang disiasat oleh SPRM.

Jika Tommy Thomas menjadi Peguam Negara, ia akan bercanggah dengan prinsip keadilan sejagat.  Situasi ini membabitkan kepentingan Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan yang sedang menghadapi dua pertuduhan rasuah di mahkamah yang mana kuasa untuk meneruskan atau menghentikannya berada di dalam tangan Peguam Negara. Sudah tentu ini memungkinkan Tommy memihak kepada Lim Guan Eng.

-------------------------

Kesimpulannya, jawatan Peguam Negara perlu diisi daripada kalangan hakim-hakim dan peguam-peguam kanan yang cakna dan peduli kepada agama Islam dan Raja-raja, bukan hanya kepada prinsip undang-undang dan demokrasi yang selalunya sangat tertakluk kepada political will pemerintah.

Di dalam Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan Yang Di Pertuan Agong menaiki takhta dengan bersumpah dengan nama Allah antara lain memelihara agama Islam pada setiap masa. Ia menjadi tanggungjawab berperlembagaan bagi Yang Di Pertuan Agong memelihara Islam pada setiap masa.

Oleh itu setiap lantikan yang dibuat oleh Yang Di Pertuan Agong, orang yang dilantik itu mestilah berupaya antara lain memelihara Islam pada setiap masa.
Share:

Adakah Agong ‘Mesti’ Bertindak Mengikut Nasihat PM?



oleh: Dr.Fathi Yusof
3 Jun 2018

Sebahagian besar kuasa Yang Di-Pertua Agong (YDPA) perlu dijalankan dengan nasihat kabinet dan Perdana Menteri (PM). Dalam pelantikan Peguam Negara misalnya, Perkara 145(1) Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa YDPA, yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri perlu melantik seorang memenuhi kelayakan sebagai hakim Mahkamah Persekutuan, untuk menjadi Peguam Negara.

Soalnya, adakah YDPA tiada pilihan lain, melainkan mesti mengikut nasihat PM dalam pelantikan Peguam Negara? Perkara 40(1) dan (1A) menyebut keperluan YDPA bertindak mengikut nasihat kabinet dan PM, melainkan dalam beberapa perkara yang sepenuhnya dalam budibicara YDPA.

Peruntukan undang-undang ini perlu dibaca secara menyeluruh dengan melihat kedudukan YDPA sebagai Raja Pemerintah yang disebut sebagai Ketua Negara. Peranan, amanah dan kuasa YDPA dalam pelbagai urusan negara, seperti yang dinyatakan dalam banyak peruntukan Perlembagaan secara praktikalnya diterjemahkan sebagai satu pengiktirafan kedudukan Baginda yang mempunyai budi bicara selepas mendengar nasihat PM atau Kabinet.

Oleh itu, perkataan ‘nasihat’ adalah kekal dengan maksud ‘nasihat’, bukannya satu ketetapan yang mengikat YDPA. Nasihat sifatnya memberikan pandangan dan panduan, bukannya satu bentuk arahan. Penasihat bertanggungjawab untuk menyampaikan nasihat terbaikdengan maklumat yang tepat. Penerima nasihat yang berada pada kedudukan yang lebih tinggi akan menilai nasihat mengkut kebijaksanaan dan hikmahnya.

Hal ini dihuraikan dengan penuh jitu dan indah dalam ucapan DYMM Paduka Seri Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 5 Ogos 2017 di Putrajaya:

“Raja tidak harus rasa tertekan dan tidak semestinya memberikan perkenan jika nasihat yang disembahkan bercanggah dengan tuntutan syarak, menyimpang daripada semangat Perlembagaan, bertentangan dengan keluhuran undang-undang serta melanggar prinsip keadilan sejagat, hingga memungkinkan berlakunya penindasan dan kezaliman. Apabila Raja dirujuk, Duli-duli Baginda hendaklah memberikan pandangan secara bebas tanpa perasaan ragu atau pilih kasih; dan dalam perkara Raja perlu bertindak atas budi bicara, Duli-duli Baginda hendaklah menyempurnakannya dengan hikmah dan kebijaksanaan demi membuktikan Raja bersifat arif, adil lagi saksama, sebagai penimbangtara yang bebas kepada cabang-cabang legislatif, eksekutif dan kehakiman, demi memastikan terlaksana secara bermakna mekanisme semak dan imbang, sekali gus memperkukuhkan amalan demokrasi yang telus…”

Jadi dalam pelantikan Peguam Negara ini, PM berperanan menasihati berkenaan individu yang layak menduduki jawatan berkenaan, manakala YDPA mempunyai kuasa untuk menilai sama ada nasihat itu sesuai atau tidak untuk kepentingan Islam, semangat Perlembagaan dan keadilan sejagat. Dalam hal ini YDPA boleh mendapatkan pandangan Raja-raja Melayu lain. YDPA berhak menolak nasihat yang diberikan jika ia lebih mendatangkan keburukan. Lebih-lebih lagi Perkara 145(5) menyebut bahawa Peguam Negara memegang jawatan selama mana diperkenan oleh YDPA (…the Attorney General shall hold office during the pleasure of the Yang di-Pertuan Agong…).

Jika berlaku penolakan, maka PM bertanggungjawab untuk mencadangkan nama lain sesuai dengan hasrat YDPA. Bagi mengelakkan konflik dan kontroversi, proses ini sepatutnya berlaku secara tertutup dan tanpa sebarang pendedahan kepada media. Ia perlu dilaksanakan melalui jalan muafakat yang penuh dengan adab dan hemah. Penyelesaiannya harus segera dan cekap bagi mengurangkan spekulasi dan persepsi negatif. Apa yang penting institusi Istana perlu dihormati sesuai dengan semangat Perlembgaan dan prinsip rukun negara.

Kita sama-sama doakan isu berkaitan pelantikan Peguam Negara ini dapat diselesaikan dengan penuh harmoni dan mudah-mudahan individu yang dilantik itu benar-benar menghayati prinsip kejujuran, keadilan dan mampu membantu mengukuhkan kedudukan Islam di dalam negara.

Dr Muhammad Fathi Yusof adalah merupakan Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan)

Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur
Share:

Perdana Menteri mesti hormati institusi raja berperlembagaan - Anwar Ibrahim



KUALA LUMPUR: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mentadbir negara ketika ini menghormati institusi raja dan tidak mengikut telunjuk DAP seperti yang didakwa segelintir pihak.

Ketua Umum PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perkara itu turut dimaklumkan dalam beberapa pertemuannya dengan Raja Melayu dan kerabat diraja.

"Saya menjelaskan dakwaan Kerajaan PH tidak menghormati institusi raja itu hanyalah satu tuduhan liar.

"PH bukannya didalangi oleh DAP seperti yang didakwa dalam naratif Barisan Nasional (BN) sepanjang kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu," katanya seperti dilaporkan oleh The Malaysian Insight.

Pada kempen PRU-14, UMNO menggunakan DAP untuk menakut-nakutkan pengundi Melayu daripada memilih PH dengan dakwaan pakatan yang diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad itu sebenarnya ditunggang oleh Lim Kit Siang dan pemimpin DAP yang lain.

"Saya menjelaskan dasar kerajaan kepada baginda... jangan bimbang kerajaan ini bukan di bawah telunjuk DAP atau berusaha menghakis kuasa raja-raja.

"Kedudukan raja berperlembagaan tidak akan kurang kuasanya, itu yang saya jelaskan," katanya pada satu majlis Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) di Kajang, kelmarin.

Sejak keluar penjara dengan pengampunan penuh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Anwar setakat ini mengadap empat raja-raja Melayu dan kerabat diraja iaitu Johor, Pahang, Kelantan dan Johor.

Kunjungannya itu mencetuskan khabar angin kononnya beliau membelakangkan Dr Mahathir dan sengaja mendekati istana yang diketahui ada hubungan pasang surut dengan perdana menteri.

"Saya hendak tegaskan, tidak ada perbincangan sebegitu (untuk menggugat kedudukan Dr Mahathir) dengan raja-raja," katanya.

Anwar berkata, kunjungan beliau mengadap raja-raja Melayu dan kerabat diraja itu adalah atas jemputan istana dan tidak harus disalah tafsir, malah difitnah sebagai langkah politik untuk menggugat Dr Mahathir.

Katanya, sebagai anak Melayu dan anak Malaysia, yang faham mengenai kedudukan kerajaan raja berperlembagaan, beliau harus memenuhi jemputan itu, terutama selepas dibebaskan dari penjara dengan pengampunan Yang di-Pertuan Agong.

Anwar berkata, pertemuan pertama beliau adalah dengan Yang di-Pertuan Agong, 10 minit sebelum mesyuarat Majlis Pengampunan bermula pada 16 Mei lalu.

Selepas bebas, Anwar berkata, beliau menerima perintah mengadap daripada Sultan Johor.
Dalam pertemuan selama dua jam yang turut disertai anaknya, Nurul Izzah, Anwar berkata, mereka berbincang pelbagai perkara, yang banyak membantu PH sendiri.

"Pertama, isu kedudukan raja berperlembagaan. Adakah ia hendak dihakis? Saya tegaskan semua parti dalam PH sepakat mempertahankan kedudukan raja berperlembagaan.

"Kedua, baginda tanya, kenapa saya sokong Dr Mahathir? Saya kata dia berjasa, dia ada sumbangannya dan saya masa itu dalam penjara dan tidak bertanding.

"Perubahan pula harus aman. Kita mesti yakinkan rakyat bahawa kita bersatu dalam muafakat ini dan membolehkan Dr Mahathir dan Kabinet membuat keputusan yang berani dan tegas.

"Umpamanya, menyiasat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bukannya mudah. Dananya besar, pengaruhnya masih ada dalam kalangan pegawai kerajaan dan pegawai keselamatan," katanya.

Selepas Sultan Johor, Anwar berkata, beliau mengadap Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah; Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah.

"Pertemuan dengan Sultan Selangor sangat baik dan menggembirakan saya. Saya tegaskan kepada baginda, kita akan pastikan kedudukan agama Islam dan bahasa Melayu kekal dan saya akan bantu hal ini dalam pentadbiran Dr Mahathir," katanya.
Share:

Raja – Raja Melayu Tolak Cadangan Peguam Negara Baru



KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di katakan menolak cadangan nama yang diberikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mencalonkan mereka yang bukan Melayu dan Islam sebagai Peguam Negara.

Menurut portal The Malaysian Insight, Raja-Raja Melayu turut menyokong keputusan Yang di-Pertuan Agong untuk menolak cadangan nama tersebut.

“Sebaliknya, ada beberapa mesej dari Istana, meminta PH menggugurkan nama Thomas (dan) beberapa calon lain dikemukakan oleh Dr Mahathir termasuk seorang bekas hakim mahkamah tinggi dan seorang hakim Mahkamah Rayuan.

“Difahamkan Raja-Raja Melayu yang lain juga menyokong pendirian Yang Di-Pertuan Agong. Mereka dikatakan bertegas seorang peguam negara hendaklah seorang Melayu dan beragama Islam,” memetik laporan yang dikeluarkan oleh portal tersebut.

Perdana Menteri telah menulis kepada Agong memohon perkenan agar Peguam Negara, Mohamed Apandi Ali dipecat dan digantikan dengan Tommy yang dikatakan sebagai pakar perlembagaan, 10 hari lalu.

Namun sehingga kini surat tersebut tidak mendapat sebarang perkenan Seri Paduka Baginda.
Sementara itu penulis politik yang juga merupakan penyokong Tun Mahathir turut membidas mengenai isu tersebut.

“Tiada apa-apa dalam Perlembagaan Persekutuan yang mengatakan bukan Melayu dan bukan Muslim tidak boleh dilantik sebagai peguam negara,” tulisnya.

Beliau juga menulis pelantikan kabinet dan pegawai kanan kerajaan adalah budi bicara mutlak Perdana Menteri.

Ketua Media dan Komunikasi Majlis Penasihat Negara, Datuk A. Kadir Jasin turut menyentuh isu ini di blognya dengan menyatakan Perlembagaan Persekutuan jelas menggariskan batas kuasa raja berperlembagaan. – SuaraTV
Share:

Jom kenali Tommy Thomas, peguam yang Pakatan mahu jadikan Peguam Negara



Sebuah portal berita melaporkan semalam bahawa kerajaan telah mencadangkan Encik Tommy Thomas, seorang peguam berpengalaman untuk menjadi Peguam Negara.

Jika laporan ini benar, maka kami tidak bersetuju dengan cadangan tersebut atas sebab-sebab berikut:-


1. Encik Tommy Thomas merupakan bekas peguam yang mewakili YB Tuan Lim Guan Eng, Menteri Kewangan dalam kes isu banglo yang disiasat oleh SPRM. Apabila pihak AGC memfailkan permohonan menghina mahkamah ke atas YB Lim, Tommy Thomas telah bertindak bagi pihaknya. Baca:-

https://www.malaymail.com/s/1231201/guan-eng-to-set-aside-committal-proceeding-initiated-by-ag

2. Kes perbicaraan YB Lim masih belum selesai dan masih berjalan. Pihak pembelaan telah memaklumkan kepada mahkamah bahawa satu representasi untuk menggugurkan pertuduhan ke atas YB Lim akan dikemukakan kepada pihak AGC dalam masa terdekat. Baca:-

https://www.malaymail.com/s/1633123/guan-eng-to-apply-for-ag-to-drop-corruption-case

3. Jika Encik Tommy Thomas dilantik menjadi Peguam Negara, dan menerima permohonan representasi daripada YB Lim Guan Eng, ia akan terjumlah kepada ‘embarrassment’ dan konflik kepentingan kepada Encik Thomas kerana beliau perlu menimbangkan untuk menarik balik kes terhadap bekas anakguamnya di dalam kes yang mana beliau sendiri pernah terlibat menjadi peguam bertindak bagi pihak YB Lim.

4. Jika Encik Tommy Thomas menolak representasi tersebut dan meneruskan tindakan mendakwa YB Lim, ia juga akan menimbulkan konflik kerana beliau perlu mendakwa bekas anakguamnya sendiri. Either way, beliau akan berada dalam keadaan tidak selesa dan ini boleh mencemar dan mempengaruhi tindakannya sebagai seorang AG kelak.

5. Hubungan peguam-anakguam di antara Encik Tommy Thomas dan YB Lim juga tidak terbatas kepada kes banglo SPRM sahaja malah beliau juga merupakan peguam kepada kerajaan negeri Pulau Pinang apabila dilantik oleh YB Lim pada tahun 2013. Baca:-

https://limguaneng.com/index.php/2013/02/26/announcing-tommy-thomas-as-the-penang-state-governments-counsel-to-sue-the-election-commission-and-the-federal-government-encn/

6. Terlalu banyak konflik kepentingan akan wujud jika Encik Tommy Thomas dilantik menjadi AG. Kedudukan dan penglibatan Encik Tommy dalam kes-kes yang pernah diwakilinya sebelum ini khususnya kes banglo SPRM dan hubungannya dengan YB Lim sebagai anakguam beliau dikhuatiri akan menjejaskan dan meletakkan pejabat Peguam Negara dalam keadaan tidak menyenangkan dan boleh membawa persepsi negatif kepada masyarakat.

7. Kami tidak mempersoalkan tentang kelayakan dan pengalaman yang dimiliki oleh Encik Tommy Thomas namun peranan dan penglibatan Encik Tommy dan memandangkan situasi kes YB Lim yang masih belum selesai serta mengambil kira hubungkait kes ini dengan pejabat Peguam Negara, adalah lebih elok pelantikan Encik Tommy Thomas ditangguhkan sehingga isu ini diselesaikan dahulu.

Like FB 🔴 JUMPA KAT MAHKAMAH sekarang untuk informasi terkini berkaitan isu undang-undang dan hak anda serta ajukan sebarang persoalan & masalah berkaitan undang-undang kepada kami 👨🏻‍⚖️🏛👩🏻‍⚖️

#JumpaKatMahkamah #SeeYouinCourtSayang #KnowYourRights #MalaysianLaw #AskYourLawyer

Sumber - http://thekl-chronicle.blogspot.com/2018/06/jom-kenali-tommy-thomas-peguam-yang.html?m=1
Share:

Popular Posts

Recent Posts

Powered by Blogger.

Categories

Blog Menarik