Presiden Turkmenistan Puji Malaysia, Anwar Ibrahim Pula Menghina.


ASHGABAT (TURKMENISTAN), 11 Jun (Bernama) -- Presiden Turkmenistan Gurbanguly Berdimuhamedov memuji Malaysia kerana melaksanakan dasar-dasar yang produktif dan bijaksana dalam membangunkan ekonomi.

Beliau berkata Turkmenistan juga mengagumi Malaysia atas peranan besar dan positifnya dalam rantau Asia Pasifik.

"Buat masa ini hubungan Turkemistan-Malaysia seperti dua sahabat sejati yang menghormati satu sama lain.

"Untuk itu kedua-dua pihak memberi keutamaan kepada memperkukuh dan memperluas kerjasama bersama," katanya pada majlis jamuan malam yang diadakan di Istana Presiden di sini pada Selasa malam bersempena lawatan rasmi kedua Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Turkmenistan.

Yang turut hadir ialah isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar, Duta Malaysia di Turkmenistan Norman Muhamad dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tan Sri Shamsul Azhar Abbas.

Berdimuhamedov berkata sejak mewujudkan hubungan rasmi lebih 20 tahun lalu, Turkmenistan dan Malaysia telah menjalin perasaan saling menghormati dan penuh keyakinan antara satu sama lain.

"Dengan mengukuhkan kerjasama secara menyeluruh berdasarkan semangat persahabatan dan saling memahami antara Turkmenistan and Malaysia, telah memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.

"Hubungan ini membuka peluang untuk melihat ke hadapan dengan penuh yakin dan bekerjasama melalui pendekatan bersama yang bertujuan membentuk perkongsian jangka panjang. Ia juga membantu melindungi suasana aman dan pembangunan mapan di Asia dan seluruh dunia," katanya.

Presiden itu juga berkata perbincangan empat mata dengan Najib pada pada Selasa pagi telah membuktikan bahawa pandangan mereka serupa dalam aspek pembangunan global.

Beliau mengakui Turkmenistan dan Malaysia telah mengadakan dasar-dasar cintakan keamanan dan berkecuali yang menyumbang kepada pembentukan keadaan yang perlu bagi pembangunan terjamin dan mapan di dunia.

"Dalam hubungan ini, kami telah bersetuju untuk bekerjasama rapat dalam rangka kerja pertubuhan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC)dan Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM)," katanya.

Sementara itu, Najib berkata beliau berasa bangga bahawa Malaysia telah menjadi rakan kongsi dalam pembangunan Turkmenistan sejak bertahun lamanya.

"Walaupun hubungan kita telah membesar, masih banyak bidang yang boleh dijalin kerjasama antara kedua-dua negara. Sebagai negara sahabat Turkmenistan, Malaysia berhasrat untuk memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan kita," katannya dalam ucapan beliau.

Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata jumlah dagangan sebanyak US$33.31 juta pada 2013, adalah cerminan kepada potensi sebenar hubungan dua hala kedua-dua negara.

Beliau mengakui bahawa banyak lagi yang boleh dilakukan bersama oleh Malaysia dan Turkmenistan.

"Dengan pelaburan besar berjumlah US$8 bilion oleh syarikat petroleum negara, Petronas, di Turkmenistan, Malaysia telah membuat titik permulaan yang baik.

"Petronas mempunyai rekod cemerlang dalam meneroka bidang baharu dan melabur di wilayah-wilayah baharu. Dan ia merupakan pelabur yang baik, dengan rekod prestasi baik dalam memenuhi tanggungjawab sosial korporatnya," ujar beliau.

Najib menegaskan bahawa kejayaan Petronas akan menarik lebih banyak syarikat Malaysia untuk datang dan melabur di Turkmenistan -- bukan sahaja dalam industri minyak dan gas, tetapi juga bidang-bidang lain.

"Perbankan Islam, industri makanan halal, pembinaan jalan raya dan pelancongan merupakan beberapa bidang yang syarikat-syarikat Malaysia mempunyai kepakaran luas," katanya.

Perdana menteri berkata ketika Malaysia dan Turkmenistan terus membangun, beliau percaya kedua-dua negara boleh memastikan kerjasama menang-menang, dengan Malaysia menjadi rakan kongsi yang baik dalam usaha untuk kemakmuran bersama.

"Saya yakin hubungan antara Malaysia dan Turkmenistan akan terus membesar di setiap peringkat termasuk dalam kalangan generasi muda kita.

"Seperti pokok yang kita tanam bersama hari ini, hubungan kita akan terus kukuh. Dengan penyuburan dan persekitaran yang baik, pokok itu akan tumbuh membesar dan kuat, menghasilkan buah untuk semua. Begitu jugalah dengan hubungan kita. Bersama-sama kita memastikan ia terus membesar dan kukuh untuk manfaat semua," kata Najib.

Terdahulu itu, Najib melawat Monument of Constitution (monumen perlembagaan) dan meletakkan kalungan bunga serta menanam pokok pain di taman berdekatan.

Kira-kira 25 pemimpin dunia telah menanam pokok pain di taman itu sebagai simbol persahabatan dengan Turkmenistan semasa kunjungan rasmi mereka ke negara ini.

-- BERNAMA
Share:

No comments:

Post a Comment


Popular Posts

Recent Posts

Powered by Blogger.

Categories

Blog Menarik