Pemilihan UMNO: Perwakilan Wanita Gua Musang 'Mengamuk'

-Gambar Hiasan-

GUA MUSANG 12 Okt. - Pemilihan Wanita UMNO Bahagian Gua Musang di sini hari ini menjadi kecoh apabila seorang perwakilan dari cawangan Paloh bertindak menghempaskan mikrofon ke lantai untuk menunjukkan ketidakpuasan hatinya berikutan senarai pencalonan cawangan itu tidak diterima dan ditolak.

Insiden berlaku ketika persidangan perwakilan Wanita UMNO Gua Musang sedang berlangsung di Balai Rakyat Bukit Cekati di sini kira-kira pukul 11 pagi.

Suasana persidangan ketika itu sebenarnya telah mula 'panas' berikutan beberapa perwakilan cawangan itu menyuarakan rasa tidak puas hati dengan penolakan pencalonan wakil-wakil mereka.

Kemuncak rasa ketidakpuasan hati perwakilan itu ialah apabila seorang wakil mereka tiba-tiba bangun dan mencapai mikrofon untuk bercakap, namun ia dipadamkan, sekali gus mengundang amarahnya lalu bertindak menghempaskan mikrofon terbabit ke lantai.

Keadaan bagaimanapun menjadi reda selepas anggota Jawatankuasa Pemilihan tampil menenangkan perwakilan terbabit seterusnya memintanya meninggal dewan persidangan, namun dia kembali semula kira-kira 10 minit kemudian untuk mengikuti persidangan.

Mengulas insiden tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO Gua Musang, Muhammad Shukri Abdul Aziz berkata, kekecohan disebabkan rasa tidak puas hati perwakilan itu apabila borang pencalonan bagi 21 orang Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian Paloh ditolak.

"Pada 21 September lalu, kumpulan yang terdiri daripada 21 orang ini telah lewat menghantar borang. Mereka menghantar pada pukul 5.01 petang.

"Setelah membuat satu mensyuarat khas AJK dan petugas pemilihan, kita telah sahkan borang itu tidak sah dan tidak diterima. Kes itu telah dirujuk terus ke peringkat UMNO negeri dan Pusat.

"Selepas tidak diterima, kita telah ambil borang tersebut sebagai syarat dan menyerahkan ke peringkat UMNO negeri dan seterusnya ke peringkat pusat," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
- UTUSAN ONLINE
Share:

No comments:

Post a Comment


Popular Posts

Recent Posts

Powered by Blogger.

Blog Archive

Categories

Blog Menarik

Blog Archive