Ismail Sabri pertahan Najib Razak !


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak harus diberi ruang dan peluang untuk mengemudi pentadbiran kerajaan dengan caranya yang tersendiri, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata setiap perdana menteri mempunyai gaya kepimpinan tersendiri dan secara peribadi mereka mempunyai isu rakyat yang rapat dengan hati masing-masing.

"Malaysia sungguh bertuah kerana dianugerahkan perdana menteri yang sentiasa meletakkan rakyat di tempat paling atas dari zaman Tunku Abdul Rahman Putra, Tun Abdul Razak (Hussein), Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan kini Najib," katanya.

Ismail Sabri (gambar) mengulas tulisan Dr Mahathir menerusi blognya www.chedet.cc pada Isnin lepas yang menarik balik sokongan kepada Najib dan menegur pentadbirannya kerana  berpendapat pemimpin yang tidak ditegur akan percaya segala yang dilakukan oleh mereka adalah baik belaka.

Dr Mahathir menegaskan bahawa beliau tidak berniat meminta Najib meletak jawatan, sebaliknya hanya memberi teguran terhadap perdana menteri.

Berhubung pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dikritik Dr Mahathir, Ismail Sabri berkata pemberian itu sebenarnya menunjukkan keprihatinan Najib kepada permasalahan rakyat ketika kos sara hidup menjadi isu hangat di Malaysia dan seluruh dunia.

Beliau berpandangan Dr Mahathir mempunyai cara tersendiri  menangani implikasi isu kos sara hidup semasa beliau menjadi perdana menteri, tetapi mungkin persekitaran dan betapa mudaratnya isu tersebut ketika itu tidak memerlukan pendekatan seperti diperkenalkan Najib sekarang.

Berhubung kritikan Dr Mahathir BR1M membazir duit negara, Ismail Sabri berpendapat persepsi tersebut salah kerana ia cara baharu pembayaran subsidi kepada yang lebih layak dan kumpulan sasar.
"Apabila subsidi minyak dikurangkan, penjimatan dan subsidi digunakan untuk pemberian BR1M.

Jika tidak, rakyat berpendapatan rendah akan hadapi tekanan akibat kenaikan harga minyak yang memberi kesan kepada kenaikan barangan lain.

"Ini merupakan langkah bijak Najib dalam memastikan kesejahteraan rakyat tidak terjejas sekali gus mengurangkan defisit negara," katanya.

Ismail Sabri berkata dasar Najib tidak mungkin silap sedangkan Malaysia mencapai kadar pertumbuhan 6.4 peratus untuk suku tahun kedua pada tahun ini dan merupakan pencapaian pertumbuhan terbaik dalam kalangan negara Asean.

"Bukan maknanya cara lama tidak bagus tetapi kita wajar memperhalusi dasar kerajaan," kata anggota Majlis Tertinggi Umno itu.

Katanya dasar kerajaan kini digubal dan dipengaruhi statistik baharu, input semasa daripada para pegawai kerajaan, fakta yang diketengahkan oleh rakyat melalui parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) serta mendapat sokongan rakan-rakan dalam kepimpinan kerajaan.

Beliau berpendapat kenyataan Dr Mahathir mengkritik dasar kerajaan dari semasa ke semasa sebagai sesuatu yang sudah menjadi kebiasaan beliau yang terus mengambil berat tentang hal-hal negara.

Ismail Sabri percaya Najib sentiasa terbuka dengan pandangan pelbagai pihak dan mengambil berat setiap kritikan, terutama daripada tokoh negara seperti Dr Mahathir.

Sambil menyifatkan teguran bekas Perdana Menteri itu sebagai teguran bapa kepada anak, katanya, "Alangkah baiknya jika teguran seorang bapa kepada anak tidak dibuat secara terbuka dan bukan di khalayak ramai".

Ismail Sabri yang merupakan Ketua Umno Bahagian Bera mewakili bahagiannya melahirkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan Najib selaku perdana menteri dan Presiden Umno dan menyokong segala dasar yang diperkenalkan selama ini.

Sementara itu di Kedah, Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad menyifatkan kritikan Dr Mahathir itu merupakan pandangan peribadi hasil pemerhatian seorang bekas perdana menteri.

Beliau berkata setiap individu mempunyai pandangan tersendiri terhadap kepimpinan negara, namun apabila pendapat itu datangnya daripada seorang negarawan, ia terus menjadi perhatian umum.

"Apa yang dibuat Datuk Seri Najib, ia sesuai dengan keadaan masa kini, tapi kerajaan wajar melihat teguran ini," katanya kepada pemberita pada Sambutan Merdeka Raya dan Meraikan Bakal Haji Felda Wilayah Alor Setar di Felda Bukit Tangga, Changlun, hari ini.

Mohd Isa yang juga Anggota Parlimen Jempol berkata beliau yakin Najib dapat menguruskan negara dengan baik. – Bernama, 20 Ogos, 2014.
Share:

No comments:

Post a Comment


Popular Posts

Recent Posts

Powered by Blogger.

Blog Archive

Categories

Blog Menarik

Blog Archive