Katanya, beliau akur dengan persetujuan akan menjadi Perdana Menteri sementara untuk tempoh yang disebut adalah dua tahun.

Dr. Mahathir berkata demikian semasa menjawab soalan da­lam sesi perjumpaan dengan rakyat Malaysia sempena lawatan kerja dua hari beliau ke Brunei Darussalam, di sebuah hotel di sini malam tadi.

Mengenai kebimbangan sekiranya sejarah akan berulang apabila beliau (Dr. Mahathir) tersilap memilih penggantinya untuk menerajui negara, Dr. Mahathir memberitahu, sekiranya rakyat tidak berpuas hati dengan penggantinya, maka rakyat boleh membuat pendirian pada pilihan raya umum.

Perdana Menteri seterusnya menafikan tohmahan yang sering dilemparkan terhadapnya, kononnya beliau adalah ‘ultra Melayu’ kerana menurutnya gelaran itu sama se­perti label Mahafiraun, Mahazalim dan sebagainya semata-ma­ta diberikan oleh musuh politik.

Katanya, beliau me­ngutamakan negara supaya tidak wujud jurang perbezaan begitu ketara antara penduduk pelbagai kaum sehingga boleh mengundang permusuhan dan rusuhan.

Bagaimanapun, tambahnya, isu perkauman akan tetap wujud dalam sesebuah negara berbilang kaum dan bangsa namun usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan baharu tidak akan menjurus kepada ketegangan atau permusuhan dalam negara.

Menjawab soalan hadirin me­ngenai harapannya sebelum ber­undur, Dr. Mahathir memberitahu, beliau mahu mengembalikan zaman kegemilangan Malaysia yang pernah digelar Harimau Asia dan menjadi kebanggaan rakyat.

Sementara itu, dalam sidang akhbar di penghujung lawatannya hari ini, Perdana Menteri berkata, beliau menyatakan kepada Brunei bahawa polisi Malaysia terhadap negara itu tidak berubah dan kekal ingin menjadi negara yang bersahabat baik. 

Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah merupakan pemimpin negara luar pertama yang me­ngunjungi beliau hanya beberapa hari selepas beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.

Antara yang dibincangkan dalam pertemuan dengan Sultan Hassanal Bolkiah termasuk isu berkaitan de­ngan Lebuhraya Pan Borneo, kerjasama berkaitan pengeluaran minyak dalam blok yang dipersetujui dua negara sebelum ini, dan berkaitan Limbang. – BERNAMA