Raja Arab Saudi Hadiahkan Kelambu Kiswah Kepada Najib Razak



Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bercadang mempamerkan kelambu Kiswah yang dimilikinya di galeri sama ada di Kuala Lumpur atau Pekan.

Mengulas hubungan eratnya dengan raja-raja Arab Saudi, Najib mendedahkan bahawa Almarhum Raja Abdullah Abdulaziz Al-Saud pernah menghadiahkan secara peribadi satu keping kelambu itu yang digunakan untuk melindungi Kaabah genap setahun bagi 2009.

“Kain Kiswah ini dibuat setiap tahun dengan menggunakan 670kg benang sutera dan benang-benang emas dan perak seberat 150kg.

“Bahagian kain Kiswah yang baginda hadiahkan kepada saya amat besar dan seberat 170kg. Ia merupakan bahagian yang paling berharga dan bermakna kerana merupakan bahagian Multazam yang ada banyak tenunan dan hiasan benang perak dan benang emas untuk menutup pintu Kaabah.

“Oleh itu kepada saya, bahagian Kiswah ini boleh dianggap sebagai tidak boleh dinilaikan harga tetapi ada yang memberitahu saya ia bernilai sekurang-kurangnya AS$20 juta,” kata beliau dalam hantaran di Facebook.

Menurut Najib, beliau pernah mempamerkan Kiswah itu di Seri Perdana tetapi tidak pernah memaklumkannya kepada media tempatan kerana Raja Abdullah bimbang perkongsian berita itu mungkin mempunyai kesan kepada negara-negara Islam lain.

“Saya berharap satu hari nanti akan dapat mempamerkannya di suatu galeri di ibu negara ataupun di Pekan,” katanya.

Selain itu, Najib berkata Raja Abdullah juga berpesan kepadanya supaya tidak mendedahkan bahawa baginda pernah memberinya 20,000 tempat haji tambahan (10,000 setiap tahun untuk dua tahun) secara "one-off".

“Kuota tambahan istimewa 20,000 inilah yang digunakan oleh 1MDB untuk menghantar umat Islam yang mereka biayai bagi menunaikan ibadah haji,” katanya.

Najib turut menceritakan dirinya diberi anugerah kehormat tertinggi kerajaan Arab Saudi, King Abdul Aziz Order of Merit (Kelas Pertama) - satu anugerah yang menurutnya tidak pernah diberikan kepada mana-mana perdana menteri Malaysia sebelum ini.

“Memandangkan saya bukan lagi perdana menteri, saya membuat keputusan untuk berkongsi kisah ini kerana ramai yang pernah bertanya dan supaya rakyat Malaysia dapat tahu mengenai hubungan rapat dengan penjaga dua kota suci sebelum ini,” katanya.

Tulis Najib lagi, beliau tetap mengekalkan hubungan baik dengan Riyadh selepas kemangkatan Raja Abdullah, di mana penggantinya, Raja Salman mengumumkan pelaburan syarikat Aramco milik Arab Saudi berjumlah AS$7 billion (RM30 bilion) di Pengerang, Johor dalam lawatannya ke Malaysia tahun lalu.

Beliau berkata, RM30 bilion itu diterima Petronas sebelum pilihan raya umum ke-14 dan ia adalah pelaburan terbesar dalam sejarah Malaysia.

Baru-baru ini, kerajaan Pakatan Harapan mengumumkan akan membatalkan Pusat Keamanan Raja Salman di Malaysia baru-baru ini.

Malah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga bertegas Malaysia adalah negara neutral dan tidak akan terheret dalam perang di Timur Tengah, terutama yang membabitkan Arab Saudi.

- Malaysia Kini - 
Share:

No comments:

Post a Comment


Popular Posts

Recent Posts

Powered by Blogger.

Blog Archive

Categories

Blog Menarik

Blog Archive