Perdana Menteri Tidak Tahu Tentang Pelantikan Petron - Menteri Kewangan



PUTRAJAYA - Pelantikan Petron Fuel International Sdn Bhd (Petron) ke dalam panel pembekal bahan api kepada kenderaan kerajaan melalui kad inden dilakukan tanpa campur tangan politik.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan menegaskan keputusan tersebut dibuat secara pentadbiran untuk perjalanan urusan operasi.

“Perkara ini tidak dirujuk sama sekali kepada Perdana Menteri atau Menteri Kewangan malah ia dijalankan tanpa campur tangan politik.

“Pelantikan ke dalam panel ini adalah telus dan tidak berkaitan dengan mana-mana individu yang terlibat dalam politik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN : Lantik Petron timbul konflik kepentingan: Najib]
Menurutnya, Kementerian Kewangan akan memproses sebarang permintaan berdasarkan garis panduan yang terpakai ke atas Petronas, Shell dan Petron.

“Dengan lantikan ini, panel kad inden tersebut sekarang dianggotai oleh Petronas, Shell dan Petron di mana ketiga-tiga syarikat ini mempunyai rangkaian stesen minyak terbesar di Malaysia.

“Sebagai bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib sepatutnya tahu bahawa BHP dan Caltex boleh memohon untuk menjadi ahli panel sekiranya mereka berminat,” katanya.

Mengulas lanjut, Kementerian Kewangan berkata, syarikat Petron hanya dilantik ke dalam panel tersebut pada tahun ini selepas rundingan dua tahun dijalankan.

“Petron telah membuat permohonannya pada 2016 dan pada Disember 2017, syarikat tersebut telah bersetuju memberikan kerajaan penjimatan kecil melalui program kad indennya.

“Rundingan yang bermula di bawah pimpinan Datuk Seri Najib menunjukkan bahawa kerajaan terdahulu tiada halangan menimbang permohonan Petron dan kerajaan terbaharu hanyalah meneruskan proses dalaman mengikut panduan jelas yang sedia ada,” katanya.

Malah katanya, kebenaran ke atas permohonan Petron juga tidak memakan apa-apa kos kepada kerajaan dan proses dalaman ini tidak memerlukan kebenaran Menteri Kewangan.


Sementara itu, Kementerian Kewangan turut mengalu-alukan permohonan daripada pembekal lain bagi menambahkan pilihan dan penjimatan untuk kerajaan serta meningkatkan persaingan di pasaran.

”Jumlah anggota tidak dihadkan oleh Kementerian Kewangan dan ia boleh diluaskan lagi jika pembekal lain membuat permohonan rasmi dengan memberikan kerajaan penjimatan munasabah melalui kad inden.

“Buat masa ini, tiada permohonan telah diterima oleh Kementerian Kewangan daripada mana-mana syarikat pembekal bahan api yang lain,” katanya.


- Sinar Harian -


 
Share:

No comments:

Post a Comment


Popular Posts

Recent Posts

Powered by Blogger.

Blog Archive

Categories

Blog Menarik

Blog Archive