Lima jenama kereta ini turun harga selepas SST, Rakyat dah mampu beli setiap hari



GEORGE TOWN
: Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan sekurang-kurangnya  lima jenama kenderaan  menyaksikan penurunan harga antara RM2,000 hingga RM3,000 selepas pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Menurut Guan Eng, lima jenama kenderaan itu termasuklah bagi model Perodua,  Honda,  Toyota,  BMW dan Volkswagen.

Jelas beliau, penurunan harga kenderaan itu adalah selari dengan hasrat kerajaan baharu  untuk menjamin kesejahteraan rakyat berikutan pelaksanaan SST.

"Saya telah memperoleh maklumat bahawa ada beberapa jenis kereta yang harganya jika dibandingkan dengan (ketika dilaksanakan) Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) adalah lebih rendah.

"Ini kerana kita tidak kutip begitu banyak berbanding GST, harga barangan boleh lebih kurang dan ia juga dilaksanakan oleh kerajaan bagi menjamin kesejahteraan rakyat," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Lim berkata bagi harga sebuah kereta Proton Axia harga yang dikenakan selepas pelaksanaan SST adalah RM40,390 berbanding RM41,497 iaitu penurunan sebanyak RM1,107 semasa dikenakan cukai GST.

"Bagi kereta Myvi 1.5 harga kini adalah RM54,090 berbanding RM55,300, Honda Jazz 1.5 berharga RM83,633 (sebelumnya RM85,750), Toyota Vios RM93,200 berbanding dahulu RM93,980 manakala kereta jenis Volkswagen Polo hanya RM74,900 berbanding harga semasa dikenakan GST iaitu RM76,888," katanya.

Selain itu, Lim berkata jenama BMW 118i turut menyaksikan penurunan harga sebanyak RM3,000 iaitu RM185,800 dari RM188,800 sebelum ini.

Sebelum ini, syarikat pengeluar kereta, Perodua mengeluarkan kenyataan berhubung  penurunan harga bagi model tertentu keluarannya antara 1 hingga 3 peratus susulan perlaksanaan SST.

Berikutan itu, bermula 1 September lalu, Perodua telah mengeluarkan senarai harga baharu untuk semua kenderaannya, antara 1 hingga 3 peratus lebih rendah  berbanding 6 peratus dibawah GST.

Turut mengumumkan penurunan harga kenderaan ialah Honda Malaysia yang bertindak menyelaraskan harga model kenderaan dan perkhidmatannya selepas jualan.
Share:

Marah dengan SST, Mercedes rempuh restoran makanan segera



PETALING JAYA: Seorang pemandu lelaki berusia 40 tahun merempuh sebuah premis restoran makanan segera di Sunway Mentari, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 6 pagi itu, tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintendan Azman Shariat, berkata kejadian berlaku ketika lelaki yang bekerja sebagai pengurus itu singgah di restoran berkenaan untuk membeli sarapan.

"Dia dalam perjalanan pulang selepas selesai bekerja singgah di restoran itu untuk membeli sarapan.
"Apabila hendak beredar dari restoran itu, dia tersalah masuk gear dan menyebabkan kereta jenis Mercedes miliknya meluru laju ke depan dan merempuh pintu kaca restoran berkenaan.

"Rempuhan itu menyebabkan kerosakan di bahagian pintu, cermin dan dinding premis serta kereta lelaki itu," katanya dalam satu kenyataan.

Azman berkata, pihak pengurusan restoran makanan segera itu sudah membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

"Kita sudah menjalankan ujian bagi mengesan penggunaan alkohol oleh pemandu itu berkenaan dan didapati negatif.

"Saman kemudian dikeluarkan terhadap pemandu itu mengikut Rule 10 LN 166/59 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kemalangan," katanya.

- Berita Harian - 
Share:

IZZAH TAK PUAS HATI PEGUAM NEGARA GUGUR KES RASUAH GUAN ENG



SHAH ALAM
: Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menggesa Pejabat Peguam Negara tampil memberikan penjelasan berhubung pengguguran pendakwaan terhadap kes rasuah dalam pembelian banglo di bawah harga pasaran melibatkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau turut mengulangi pendirian sama seperti 2013, agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu diberikan kuasa membuat pendakwaan.

Nurul Izzah berkata demikian sebagai menjawab komen pengguna Twitter, Shahidil yang memuat naik kenyataan beliau ketika pertemuan tertutup pemimpin PKR dan SPRM di Bangunan Akademi Pencegahan Rasuah lima tahun lalu.
Kenyataan Nurul Izzah itu menyebut SPRM perlu diberi kuasa membuat pendakwaan kerana Peguam negara yang diberi tanggungjawab menjalankan tugas tersebut terbukti gagal melaksanakan dengan adil.

"Terima kasih kerana mengingatkan. Saya mengulangi pendirian yang sama hari ini. Kita mahukan dan perlukan reformasi sistem," jawab Nurul Izzah.

Pada 21 Ogos 2013, Nurul Izzah berkata dalam usaha mencegah rasuah di negara ini, PKR menyokong SPRM diberi kuasa pendakwaan.

Katanya, SPRM perlu diberi kuasa membuat pendakwaan kerana Peguam negara yang diberi tanggungjawab menjalankan tugas tersebut terbukti gagal melaksanakan dengan adil.

Jelas, sudah banyak kes sebelum ini yang sudah disiasat oleh SPRM tetapi hingga kini tidak dibuat pendakwaan dan butiran siasatan sangat kabur serta tidak diketahui umum.

Tambahnya lagi, dalam bersama SPRM, antara perkara yang turut dibincangkan adalah cadangan SPRM untuk meminda Seksyen 23, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia agar setiap menteri dan ahli keluarga mereka yang mendapat habuan atau projek kerajaan boleh diambil tindakan.

- Astro Awani -
Share:

Raja Arab Saudi Hadiahkan Kelambu Kiswah Kepada Najib Razak



Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bercadang mempamerkan kelambu Kiswah yang dimilikinya di galeri sama ada di Kuala Lumpur atau Pekan.

Mengulas hubungan eratnya dengan raja-raja Arab Saudi, Najib mendedahkan bahawa Almarhum Raja Abdullah Abdulaziz Al-Saud pernah menghadiahkan secara peribadi satu keping kelambu itu yang digunakan untuk melindungi Kaabah genap setahun bagi 2009.

“Kain Kiswah ini dibuat setiap tahun dengan menggunakan 670kg benang sutera dan benang-benang emas dan perak seberat 150kg.

“Bahagian kain Kiswah yang baginda hadiahkan kepada saya amat besar dan seberat 170kg. Ia merupakan bahagian yang paling berharga dan bermakna kerana merupakan bahagian Multazam yang ada banyak tenunan dan hiasan benang perak dan benang emas untuk menutup pintu Kaabah.

“Oleh itu kepada saya, bahagian Kiswah ini boleh dianggap sebagai tidak boleh dinilaikan harga tetapi ada yang memberitahu saya ia bernilai sekurang-kurangnya AS$20 juta,” kata beliau dalam hantaran di Facebook.

Menurut Najib, beliau pernah mempamerkan Kiswah itu di Seri Perdana tetapi tidak pernah memaklumkannya kepada media tempatan kerana Raja Abdullah bimbang perkongsian berita itu mungkin mempunyai kesan kepada negara-negara Islam lain.

“Saya berharap satu hari nanti akan dapat mempamerkannya di suatu galeri di ibu negara ataupun di Pekan,” katanya.

Selain itu, Najib berkata Raja Abdullah juga berpesan kepadanya supaya tidak mendedahkan bahawa baginda pernah memberinya 20,000 tempat haji tambahan (10,000 setiap tahun untuk dua tahun) secara "one-off".

“Kuota tambahan istimewa 20,000 inilah yang digunakan oleh 1MDB untuk menghantar umat Islam yang mereka biayai bagi menunaikan ibadah haji,” katanya.

Najib turut menceritakan dirinya diberi anugerah kehormat tertinggi kerajaan Arab Saudi, King Abdul Aziz Order of Merit (Kelas Pertama) - satu anugerah yang menurutnya tidak pernah diberikan kepada mana-mana perdana menteri Malaysia sebelum ini.

“Memandangkan saya bukan lagi perdana menteri, saya membuat keputusan untuk berkongsi kisah ini kerana ramai yang pernah bertanya dan supaya rakyat Malaysia dapat tahu mengenai hubungan rapat dengan penjaga dua kota suci sebelum ini,” katanya.

Tulis Najib lagi, beliau tetap mengekalkan hubungan baik dengan Riyadh selepas kemangkatan Raja Abdullah, di mana penggantinya, Raja Salman mengumumkan pelaburan syarikat Aramco milik Arab Saudi berjumlah AS$7 billion (RM30 bilion) di Pengerang, Johor dalam lawatannya ke Malaysia tahun lalu.

Beliau berkata, RM30 bilion itu diterima Petronas sebelum pilihan raya umum ke-14 dan ia adalah pelaburan terbesar dalam sejarah Malaysia.

Baru-baru ini, kerajaan Pakatan Harapan mengumumkan akan membatalkan Pusat Keamanan Raja Salman di Malaysia baru-baru ini.

Malah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga bertegas Malaysia adalah negara neutral dan tidak akan terheret dalam perang di Timur Tengah, terutama yang membabitkan Arab Saudi.

- Malaysia Kini - 
Share:

Anwar Ibrahim Angkat Sumpah Perdana Menteri Dalam Masa Terdekat



BANDAR SERI BEGAWAN 3 Sept. - Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau akan menyerahkan jawatannya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim mengikut persetujuan yang dicapai dalam Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Katanya, beliau akur dengan persetujuan akan menjadi Perdana Menteri sementara untuk tempoh yang disebut adalah dua tahun.

Dr. Mahathir berkata demikian semasa menjawab soalan da­lam sesi perjumpaan dengan rakyat Malaysia sempena lawatan kerja dua hari beliau ke Brunei Darussalam, di sebuah hotel di sini malam tadi.

Mengenai kebimbangan sekiranya sejarah akan berulang apabila beliau (Dr. Mahathir) tersilap memilih penggantinya untuk menerajui negara, Dr. Mahathir memberitahu, sekiranya rakyat tidak berpuas hati dengan penggantinya, maka rakyat boleh membuat pendirian pada pilihan raya umum.

Perdana Menteri seterusnya menafikan tohmahan yang sering dilemparkan terhadapnya, kononnya beliau adalah ‘ultra Melayu’ kerana menurutnya gelaran itu sama se­perti label Mahafiraun, Mahazalim dan sebagainya semata-ma­ta diberikan oleh musuh politik.

Katanya, beliau me­ngutamakan negara supaya tidak wujud jurang perbezaan begitu ketara antara penduduk pelbagai kaum sehingga boleh mengundang permusuhan dan rusuhan.

Bagaimanapun, tambahnya, isu perkauman akan tetap wujud dalam sesebuah negara berbilang kaum dan bangsa namun usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan baharu tidak akan menjurus kepada ketegangan atau permusuhan dalam negara.

Menjawab soalan hadirin me­ngenai harapannya sebelum ber­undur, Dr. Mahathir memberitahu, beliau mahu mengembalikan zaman kegemilangan Malaysia yang pernah digelar Harimau Asia dan menjadi kebanggaan rakyat.

Sementara itu, dalam sidang akhbar di penghujung lawatannya hari ini, Perdana Menteri berkata, beliau menyatakan kepada Brunei bahawa polisi Malaysia terhadap negara itu tidak berubah dan kekal ingin menjadi negara yang bersahabat baik. 

Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah merupakan pemimpin negara luar pertama yang me­ngunjungi beliau hanya beberapa hari selepas beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.

Antara yang dibincangkan dalam pertemuan dengan Sultan Hassanal Bolkiah termasuk isu berkaitan de­ngan Lebuhraya Pan Borneo, kerjasama berkaitan pengeluaran minyak dalam blok yang dipersetujui dua negara sebelum ini, dan berkaitan Limbang. – BERNAMA
Share:

Perdana Menteri Tidak Tahu Tentang Pelantikan Petron - Menteri Kewangan



PUTRAJAYA - Pelantikan Petron Fuel International Sdn Bhd (Petron) ke dalam panel pembekal bahan api kepada kenderaan kerajaan melalui kad inden dilakukan tanpa campur tangan politik.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan menegaskan keputusan tersebut dibuat secara pentadbiran untuk perjalanan urusan operasi.

“Perkara ini tidak dirujuk sama sekali kepada Perdana Menteri atau Menteri Kewangan malah ia dijalankan tanpa campur tangan politik.

“Pelantikan ke dalam panel ini adalah telus dan tidak berkaitan dengan mana-mana individu yang terlibat dalam politik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN : Lantik Petron timbul konflik kepentingan: Najib]
Menurutnya, Kementerian Kewangan akan memproses sebarang permintaan berdasarkan garis panduan yang terpakai ke atas Petronas, Shell dan Petron.

“Dengan lantikan ini, panel kad inden tersebut sekarang dianggotai oleh Petronas, Shell dan Petron di mana ketiga-tiga syarikat ini mempunyai rangkaian stesen minyak terbesar di Malaysia.

“Sebagai bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib sepatutnya tahu bahawa BHP dan Caltex boleh memohon untuk menjadi ahli panel sekiranya mereka berminat,” katanya.

Mengulas lanjut, Kementerian Kewangan berkata, syarikat Petron hanya dilantik ke dalam panel tersebut pada tahun ini selepas rundingan dua tahun dijalankan.

“Petron telah membuat permohonannya pada 2016 dan pada Disember 2017, syarikat tersebut telah bersetuju memberikan kerajaan penjimatan kecil melalui program kad indennya.

“Rundingan yang bermula di bawah pimpinan Datuk Seri Najib menunjukkan bahawa kerajaan terdahulu tiada halangan menimbang permohonan Petron dan kerajaan terbaharu hanyalah meneruskan proses dalaman mengikut panduan jelas yang sedia ada,” katanya.

Malah katanya, kebenaran ke atas permohonan Petron juga tidak memakan apa-apa kos kepada kerajaan dan proses dalaman ini tidak memerlukan kebenaran Menteri Kewangan.


Sementara itu, Kementerian Kewangan turut mengalu-alukan permohonan daripada pembekal lain bagi menambahkan pilihan dan penjimatan untuk kerajaan serta meningkatkan persaingan di pasaran.

”Jumlah anggota tidak dihadkan oleh Kementerian Kewangan dan ia boleh diluaskan lagi jika pembekal lain membuat permohonan rasmi dengan memberikan kerajaan penjimatan munasabah melalui kad inden.

“Buat masa ini, tiada permohonan telah diterima oleh Kementerian Kewangan daripada mana-mana syarikat pembekal bahan api yang lain,” katanya.


- Sinar Harian -


 
Share:

Taknak kena SST jangan berbelanja



KUALA LUMPUR 17 Julai - Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST) adalah berbeza dengan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang didakwa sebagai punca harga barang meningkat.

Disebabkan itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan telah pun meng­u­­mumkan pemansuhan GST dan akan menarik balik perundangan sistem percukaian itu di Parlimen.

“Kita sudah umum sifar GST.Apa yang perlu dilakukan sekarang ialah untuk memastikan Parlimen memansuhkannya.

“SST adalah berbeza, cukai hanya dikenakan apabila membeli. Jika tidak beli, tiada cukai dikenakan. Tetapi GST ini sumber cukai, sama ada beli atau tidak, harga akan tetap meningkat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di lobi Parlimen selepas menghadiri Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen Ke-14 hari ini.

Sementara itu, Dr.Mahathir menegaskan kerajaan tidak akan menyekat sebarang percakapan ataupun kritikan Ahli Parlimen pada sesi perbahasan di Parlimen.

“Esok kita tengoklah tetapi Ahli Parlimen susah sedikit mahu kawal. Biasanya dia nak cakap dan kita punya dasar ialah tidak ada sekatan. Nak cakap apa, cakaplah,” katanya.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dalam titah pembukaan mesyuarat menyatakan keyakinannya sesi perbahasan akan berlangsung dengan berhemah.

Berkenaan titah Seri Paduka, Dr. Mahathir percaya mesejnya ialah supaya kesederhanaan di­terapkan dalam semua perkara termasuklah soal agama.

“Kita harus bertimbang rasa terhadap agama orang yang berlainan daripada kita dan mereka juga harus hormat kita punya agama

“Kalau kita mula cabul agama lain, kita akan terima padahnya,” jelas beliau.

Menyentuh jenaka Seri Paduka yang meminta semua wakil rak­yat duduk dan ‘tidak lari’ sebelum memulakan titah, Dr. Mahathir hanya berkata, ia ditujukan kepada mereka yang berkaitan.
Share:

Popular Posts

Recent Posts

Powered by Blogger.

Categories

Blog Menarik