KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi amaran kepada pengundi pos bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih supaya tidak merakam gambar kertas undi pos dan menyebarkannya di mana-mana laman media sosial.
Pengerusinya,
Azhar Azizan Harun, berkata pengundi pos yang melanggar arahan itu
berdepan tindakan undang-undang dan hukuman sewajarnya jika didapati
bersalah.
“Pengundi diingatkan tidak merakam gambar kertas undi pos dan menularkannya di laman media sosial.
“Sekiranya
dilakukan, tindakan undang-undang akan diambil dan jika disabitkan
serta didapati bersalah, boleh dikenakan hukuman sewajarnya.
“SPR
turut mengingatkan pengundi pos menanda kertas undi yang diterima
dengan betul dan mengembalikannya segera kepada Pegawai Pengurus PRK DUN
Semenyih sebelum jam 5 petang pada hari pengundian 2 Mac ini,” katanya
dalam satu kenyataan media, malam tadi.
Azhar
Azizan berkata, SPR mengeluarkan 234 kertas undi pos bagi PRK DUN
Semenyih membabitkan beberapa kategori iaitu pemilih tidak hadir (PTH)
luar negara, petugas pilihan raya membabitkan polis dan tentera serta
warganegara di luar negara.
Katanya,
seramai 32 pengundi termasuk dalam kategori PTH yang merangkumi
penjawat awam bertugas di luar negara bersama pasangan serta pelajar
sepenuh masa dan pasangan mereka.
Beliau
berkata, pengundi PTH berada di Australia, Jerman, Romania, Russia,
Iran, Austria, India, Maghribi, Jepun, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan
Brunei.
“Kategori
petugas pilihan raya membabitkan 199 orang masing-membabitkan 106 orang
petugas pilihan raya dan 93 orang anggota polis Pasukan Gerakan Am
(PGA).
“SPR
turut menerima tiga permohonan undi pos daripada warganegara yang
berada di luar negara masing-masing di Korea Selatan dan Jepun.
“Tiada kertas undi pos dikeluarkan bagi petugas kesihatan dan keselamatan kerana tiada permohonan diterima,” katanya.
Beliau
berkata, kertas undi pos berkenaan diserahkan kepada pihak Pos Malaysia
Berhad (Pos Malaysia) untuk disampaikan kepada pengundi pos terbabit
semalam, manakala kertas undi pos PGA diserahkan kepada Polis Diraja
Malaysia (PDRM) untuk diserahkan kepada pengundi layak.
Katanya,
proses pengeluaran kertas undi pos dijalankan dengan disaksikan wakil
calon daripada Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Parti
Sosialis Malaysia (PSM) dan Bebas.
Azhar
berkata, SPR turut menjemput pemerhati pilihan raya yang dilantik untuk
menyaksikan proses pengeluaran kertas undi pos itu iaitu Malaysia
Corruption Watch (MCW), Tindak Malaysia dan Institut Darul Ehsan (IDE).
- BERITA HARIAN -
No comments:
Post a Comment