MARANG: PAS hari ini menafikan tidak akan menyokong UMNO dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih seperti didakwa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Setiausaha
Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata PAS tetap menyokong UMNO,
namun tahap komitmen serta kadar pembabitan parti itu berbeza keadaannya
dengan yang dilakukan parti itu pada PRK Parlimen Cameron Highlands
lalu.
Katanya, ia selaras dengan
pendirian konsisten PAS yang meletakkan kepentingan Islam dan Melayu
mengatasi yang lainnya serta mengekalkan hubungan dengan UMNO atas dasar
perpaduan ummah dan solidariti pembangkang.
“Tidak
ada apa-apa perakuan atau surat bertulis berkaitan PAS tidak akan
menyokong UMNO pada PRK Semenyih, namun ada perbincangan secara lisan
antara Dr Mahathir dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
“Secara
lisannya, PAS menyatakan pendirian tidak bertanding dalam PRK DUN
Semenyih dan tahap penyertaan serta komitmen diberikan berbeza dengan
PRK Parlimen Cameron Highlands,” katanya.
Beliau
berkata demikian pada sidang media sejurus selepas Mesyuarat
Jawatankuasa Harian PAS Pusat, di Pejabat Kesatuan Ulama Islam Sedunia
(KUIS) di Masjid Rusila di sini, petang ini.
Bagaimanapun,
ketika ditanya apa yang dimaksudkan dengan tahap komitmen dan kadar
pembabitan yang berbeza, Takiyuddin berkata ia terpulang kepada
pemahaman masing-masing.
Mesyuarat yang
bermula jam 3.15 petang itu dipengerusikan Abdul Hadi dan disertai ahli
jawatankuasanya termasuk Naib Presiden, Idris Ahmad dan Datuk Nik Mohd
Amar Nik Abdullah; Setiausaha Agung, Datuk Takiyuddin Hassan dan Ketua
Dewan Ulama, Datuk Dr Mahfodz Mohamed.
Turut
hadir, Ketua Penerangan Dewan Ulama, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali;
Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan; Ketua Dewan Pemuda, Muhammad
Khalil Abdul Hadi dan Ketua Dewan Muslimat, Nuridah Mohd Salleh.
- BERITA HARIAN -
No comments:
Post a Comment