GEORGETOWN- Kementerian Komunikasi dan Multimedia mengarahkan stesen
penyiaran kerajaan, RTM menyediakan laporan berhubung dakwaan cubaan
stesen penyiaran itu mensabotaj kerajaan Persekutuan.
Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, beliau akan melihat perkara itu
terlebih dahulu sebelum membuat ulasan lanjut.
Menurutnya, isu itu diperkatakan malam tadi dan beliau hanya
mengetahuinya pagi ini.
"Ia dibangkitkan malam tadi dan saya melihat siaran itu pagi ini sebelum
ke lapangan terbang. Sehubungan itu, saya telah meminta RTM membuat
laporan dan menyerahkan kepada untuk saya perhalusi.
"Selepas itu, baru saya akan bertindak apa yang perlu," katanya kepada
media tadi selepas melancarkan Terragraf bagi Komunikasi dan Facebook
YTL bagi pasaran pertama di Asia tadi.
Beliau berkata, pihaknya juga meminta RTM untuk menyenaraikan prosedur
operasi standardnya (SOP) dalam penyiaran acara atau program secara
langsung.
"Dalam laporan itu juga, saya meminta agar SOP penyiaran acara siaran
langsung bagi RTM juga disenaraikan untuk saya tahu mengenai butirannya.
"Selepas melihat semua butiran yang dilaporkan, baru saya boleh komen,"
katanya.
Terdahulu, pembantu kepada Menteri Pengangkutan, Lim Swee Kuan
mempersoalkan kemungkinan RTM mensabotaj kerajaan Persekutuan apabila
tidak menyiarkan laporan mengenai menterinya, Anthony Loke.
Katanya melalui satu kenyataan, selain Loke, RTM juga tidak melaporkan
sebarang berita mengenai Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri
Aminuddin Harun sempena sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina
peringkat kebangsaan yang diadakan di Seremban malam tadi.
Tambahnya, surat aduan akan dihantar kepada Menteri Komunikasi dan
Multimedia yang bertanggungjawab ke atas stesen penyiaran berkenaan.
Sambutan rumah terbuka itu diadakan di Dataran Sentrio, Seremban dan
dianjurkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
Ia turut dihadiri Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Timbalan
Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Kewangan,
Lim Guan Eng serta anggota Kabinet.
Berita Asal - Sinar Harian
No comments:
Post a Comment